Projek Kampung Angkat Madani Kementerian Belia Dan Sukan Malaysia (KBS)
Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS) melalui Projek Kampung Angkat MADANI mengambil langkah proaktif untuk memperkasakan komuniti desa di bawah inisiatif Kerajaan MADANI. Ini adalah selaras dengan seruan YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia yang menekankan kepentingan memajukan kawasan kampung untuk kesejahteraan masyarakat luar bandar.
Bagi mencapai objektif ini, KBS telah memilih dua kampung iaitu Kampung Long Latei dan Kampung Long Suling yang terletak di Ulu Baram, Telang Usan, Miri, Sarawak sebagai Kampung Angkat MADANI.
Pusat Belia Antarabangsa (IYC) agensi di bawah KBS, bertindak sebagai rakan pelaksana bersama dengan NGO Persatuan Gerakan Kemanusiaan Malaysia (MyHumanitarian), yang pernah menjalankan Projek Bekalan Saluran Air Bersih di kawasan tersebut.
Projek ini merangkumi pelbagai usaha untuk menaiktaraf kemudahan di kampung serta pembangunan belia di kawasan pedalaman. Beberapa kemajuan penting telah dicapai sejak projek ini dimulakan pada Ogos 2024 termasuk:
a) Pemasangan Lampu Jalan Solar: Sebanyak 60 unit lampu jalan berkuasa solar telah dipasang di Kampung Long Latei (30 unit) dan Kampung Long Suling (30 unit) bagi meningkatkan keselamatan dan kemudahan penduduk kampung pada waktu malam.
b) Naiktaraf Tangki Air: Tangki air di kedua-dua kampung telah dinaiktaraf dengan pembinaan bumbung untuk mengawal suhu air dan memanjangkan jangka hayat tangki, terutama dalam cuaca panas.
c) Pembinaan Insinerator baharu: Insinerator telah dibina di kedua-dua kampung untuk membantu penduduk melupuskan sampah dengan cara yang lebih mesra alam, selain mengitar semula sisa pembakaran untuk dijadikan baja.
d) Projek-projek sedang berjalan: Pembinaan atap baharu untuk 118 rumah panjang, pembaikan jalan, menaiktaraf gelanggang futsal, serta pembinaan gelanggang serbaguna masih dalam proses dan dijangka siap pada penghujung Disember 2024.
Selain dari projek fizikal, pengisian ilmu berupa latihan Pembangunan Belia dilaksanakan bagi tujuan membina kemahiran yang memberi manfaat kepada komuniti belia di kampung tersebut. Sebanyak tiga siri kursus telah berjaya dijalankan untuk membekalkan belia di Telang Usan dengan kemahiran baharu yang dapat meningkatkan peluang ekonomi mereka.
Seramai 150 orang peserta belia dari kampung sekitar Telang Usan telah mengambil bahagian dalam setiap siri kursus yang diadakan di Kampung Long Latei:
a) Kursus Asas Rekreasi dan Eco Host (16-18 Ogos 2024): Latihan ini memfokuskan kepada kemahiran rekreasi dan hospitaliti untuk menjana pendapatan melalui sektor pelancongan.
b) Kursus Keselamatan dan Keterjaminan Makanan (5-7 September 2024): Memberi pendedahan kepada belia tentang aspek keselamatan dan keperluan memastikan makanan yang dihasilkan adalah terjamin.
c) Kursus Pembuatan Barangan Kraftangan dan Penyelenggaraan Kereta Diesel (19-21 September 2024): Kursus ini membantu belia mempelajari kemahiran praktikal untuk membaiki kenderaan dan membuat barangan kraftangan yang boleh dijual sebagai sumber pendapatan.
Kursus-kursus ini memberi manfaat besar kepada belia yang dikenali sebagai ‘local heroes’ di mana kemahiran yang telah mereka perolehi boleh digunakan untuk meningkatkan taraf ekonomi penduduk kampung dan menjana pendapatan secara mandiri.
Projek Kampung Angkat MADANI ini dijangka akan memberi impak positif yang berpanjangan kepada penduduk kampung dengan menyediakan kemudahan yang lebih baik serta peluang ekonomi yang lebih luas, selari dengan matlamat Kerajaan MADANI untuk kesejahteraan semua.