BHAM Seru Gaya Hidup Aktif Untuk Tulang Yang Sihat Sempena Hari Sukan & Hari Osteoporosis
KUALA LUMPUR, 15 October 2024 – Sempena sambutan berkembar Hari Sukan Negara 2024 dan Hari Osteoporosis Sedunia pada 20 Oktober, Bone Health Alliance Malaysia (BHAM) menyeru rakyat Malaysia untuk mengamalkan gaya hidup aktif seiring usia bagi mencegah dan menangani osteoporosis, yang semakin membimbangkan sebagai isu kesihatan awam di negara ini.
Sejak Malaysia secara rasmi mencapai status negara tua pada 20211, negara kini berhadapan dengan unjuran peningkatan 3.5 kali ganda dalam kes patah tulang pinggul antara 2018 dan 2050 — peningkatan tertinggi di Asia2.
Trend yang membimbangkan ini dijangka membebankan sistem penjagaan kesihatan dengan kos melebihi MYR530 juta (AS$125 juta) menjelang 20502, menekankan keperluan mendesak bagi langkah pencegahan yang lebih berkesan dan peningkatan kesedaran awam.
Sebagai tindak balas kepada ancaman osteoporosis dan peningkatan kes patah tulang rapuh di Malaysia, BHAM memperhebatkan usahanya dengan menyokong program ‘Sukan untuk Warga Emas’ anjuran Kementerian Belia & Sukan.
Sokongan BHAM terhadap program ini dipamerkan semasa acara ‘Hari Sukan Negara – Jom Gerak’ pada 12 Oktober di Taman Rimba Kiara, Taman Tun Dr Ismail, di mana pakar perubatan dari perikatan tersebut turut serta mendidik masyarakat, terutamanya warga emas, mengenai kepentingan menjaga kesihatan tulang. Penilaian risiko kesihatan tulang secara percuma juga disediakan untuk orang ramai pada hari tersebut.
Acara Jom Gerak Hari Sukan Negara telah dirasmikan oleh YB Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan, yang mempunyai visi untuk Malaysia sebagai sebuah negara yang aktif bersukan serta mengutamakan kepentingan rakyat untuk bersukan demi gaya hidup yang lebih sihat.
“Walaupun Hari Sukan Negara adalah sambutan tahunan, matlamat kami adalah untuk memupuk budaya di mana rakyat Malaysia terus aktif bersukan untuk mengekalkan kesihatan yang baik. Dengan lebih 103 jenis sukan yang telah diwartakan, setiap individu dalam masyarakat pasti dapat menemui sukan yang sesuai dengan mereka, dan insentif pelepasan cukai kerajaan sehingga RM1,000
untuk peralatan dan bimbingan sukan adalah peluang yang baik untuk menggalakkan gaya hidup sihat ini,” kata YB Hannah Yeoh. “Jika setiap rakyat Malaysia kekal aktif secara fizikal, kita boleh mengalihkan lebih banyak bajet untuk membina kemudahan yang lebih baik serta mencipta lebih banyak peluang pertumbuhan.
Pada masa ini, sebahagian besar bajet digunakan untuk merawat masalah kesihatan yang sebenarnya boleh dicegah dengan senaman yang kerap. Untuk mengurangkan kos ini dalam jangka masa panjang, kita memerlukan penduduk yang lebih sihat dan aktif.'”
Acara ‘Hari Sukan Negara – Jom Gerak’ dianjurkan bersama oleh Majalah Feminine, Kementerian Belia dan Sukan, Pejabat Ahli Parlimen Segambut, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Komuniti Madani, dan Friends of Bukit Kiara. Pertubuhan bukan kerajaan seperti Bone Health Alliance Malaysia dan Diabetes Malaysia turut memberi sokongan.
Acara ini merupakan sebahagian daripada sambutan Hari Sukan Negara yang diadakan di seluruh negara, menarik lebih 30,000 peserta dengan penyertaan dalam 64 aktiviti berbeza. Acara ini menampilkan keterangkuman yang luas, melibatkan warga emas, orang kurang upaya, dan kanak-kanak.
Sejak ditubuhkan pada 2020, BHAM telah memperjuangkan langkah-langkah proaktif seperti pemeriksaan kesihatan tulang berkala dan perundingan dengan profesional penjagaan kesihatan bagi meningkatkan diagnosis serta rawatan osteoporosis. Aktiviti fizikal yang konsisten, bermula dari usia muda, juga penting untuk membina dan mengekalkan kekuatan tulang sepanjang hayat
Walaupun osteoporosis merupakan penyakit lazim, ia masih kurang didiagnosis di Malaysia. Tahap kesedaran yang rendah, salah tanggapan, dan kurangnya pemahaman tentang penyakit ini menyumbang kepada masalah ini. Menurut tinjauan yang dijalankan oleh BHAM, 96% responden tidak mempunyai kesedaran tentang faktor risiko yang berkaitan dengan osteoporosis3.
Selain itu, selepas mengalami patah tulang rapuh, 80% pesakit masih tidak didiagnosis atau dirawat untuk osteoporosis, menyebabkan risiko tinggi untuk mengalami patah tulang berulang dalam tempoh dua tahun pertama selepas patah tulang awal 4.
Diagnosis awal melalui imbasan ketumpatan tulang sangat penting untuk mencegah patah tulang dan mengurangkan kos penjagaan kesihatan jangka panjang. Sistem kesihatan Malaysia perlu mengutamakan akses kepada program saringan yang mampu milik, terutamanya untuk kumpulan berisiko tinggi seperti wanita selepas menopaus.
Kempen kesedaran awam juga sama penting dalam mendidik orang ramai tentang kepentingan pemeriksaan awal bagi mencegah kemerosotan tulang yang serius. Di samping itu, mewujudkan pendaftaran pesakit berpusat dan membiayai kajian berskala besar mengenai patah tulang akan memainkan peranan penting dalam membangunkan laluan penjagaan yang berkesan dan bersepadu untuk pengurusan kesihatan tulang,” kata Prof Madya Dr Jeyakantha Ratnasingam, Jawatankuasa Persatuan Osteoporosis Malaysia (MOS).
“Usaha saringan komuniti BHAM pada tahun 2024 telah mendedahkan jurang yang membimbangkan dalam kesedaran masyarakat mengenai osteoporosis, di mana ramai yang tidak menyedari status kesihatan tulang mereka. Data menunjukkan kelaziman ketumpatan tulang rendah yang lebih tinggi daripada jangkaan dalam kalangan golongan dewasa berusia, dengan 37% dikenal pasti berisiko sederhana hingga tinggi untuk osteoporosis.
Selain itu, komorbiditi atau penyakit bersamaan seperti diabetes dan arthritis rheumatoid turut dikesan, masing-masing dalam 11% dan 7% daripada mereka yang disaring. Pengesanan awal melalui saringan adalah sangat penting,” kata Cik Choo Yem Kuen, Presiden Persatuan Kesedaran Osteoporosis Kuala Lumpur dan Selangor (OASKLS).
Yayasan Osteoporosis Antarabangsa (IOF) juga melaporkan bahawa 80% pesakit di seluruh dunia masih tidak didiagnosis atau dirawat untuk osteoporosis selepas mengalami patah tulang5. Di Malaysia, kurang daripada satu dalam empat pesakit berjaya mendapatkan semula mobiliti penuh dalam tempoh enam bulan selepas patah tulang5, menekankan keperluan yang mendesak untuk program penyelarasan penjagaan selepas patah tulang seperti Perkhidmatan Perhubungan Fraktur (FLS).
“Program ini memastikan pesakit menerima rawatan dan penjagaan susulan yang diperlukan untuk mencegah patah tulang berulang, yang penting untuk mengekalkan mobiliti dan kebebasan. Kesihatan tulang perlu dijadikan keutamaan sebagai isu kesihatan awam, dengan menggalakkan usaha bersama di peringkat kebangsaan, negeri, dan tempatan untuk meningkatkan kesedaran serta melaksanakan inisiatif yang berkesan.
Sudah tiba masanya untuk kita beralih kepada pendekatan baru dalam pengurusan kesihatan tulang, memastikan pesakit menerima standard penjagaan tertinggi sebelum, semasa, dan selepas pembedahan. Dengan menangani isu ini secara proaktif, kita boleh memperbaiki hasil rawatan pesakit dan meningkatkan kualiti hidup secara keseluruhan,” kata Dato Dr Lee Joon Kiong, Presiden, Fragility Fracture Network of Malaysia (FFNM).
Untuk maklumat lanjut, ikuti BHAM di Facebook: https://www.facebook.com/BoneHealthAllianceMY