Program Ziarah PTPTN Prihatin: Penyerahan Sumbangan CSR Kepada Waris Mangsa Tragedi UiTM Dungun
1. Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dengan penuh rasa dukacita melalui Program Ziarah PTPTN Prihatin telah menziarahi waris kepada salah seorang mangsa tragedi nahas kemalangan jalan raya pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Dungun, Terengganu iaitu Allahyarham Khairil Anwar bin Jamaludin. Sesi ziarah dan penyerahan sumbangan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) telah diadakan di kediaman waris Allahyarham di Kampung Pandan Dalam, Ampang, Selangor. Sesi penyerahan sumbangan telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Seri Norliza Abdul Rahim, Pengerusi PTPTN.
Turut hadir YBrs. Puan Zawiah Wan Abu Bakar, Pengurus Besar Kanan PTPTN dan Puan Rohaida binti Deris, Pengarah Negeri, Pejabat PTPTN Negeri Selangor.
2. Allahyarham Khairil Anwar, 20 tahun merupakan salah seorang penuntut Ijazah Sarjana Muda Perakaunan UiTM Kampus Dungun, Terengganu. Allahyarham juga merupakan salah seorang peminjam PTPTN. Semasa sesi ziarah tersebut, PTPTN telah memberikan surat pengesahan penyelesaian keseluruhan hutang pinjaman bagi pengajian peringkat Ijazah Allahyarham berjumlah RM7,092.51 dan khairat kematian berjumlah RM1,500 melalui Skim Perlindungan Takaful Berkelompok pinjaman pendidikan PTPTN. Selain itu, PTPTN turut menyerahkan sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) berupa wang tunai berjumlah RM2,000 dan sumbangan kotak makanan kepada waris Allahyarham.
3. Tragedi yang berlaku pada 9 Oktober 2024 lalu telah meninggalkan kesan yang mendalam kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham. PTPTN sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang menjadi peneraju tabung pendidikan tinggi utama negara, akan terus komited dalam melaksanakan program-program CSR dan menjaga kebajikan peminjamnya. Dengan keprihatinan PTPTN ini mampu membantu meringankan beban yang ditanggung oleh waris peminjam PTPTN.
4. Menurut YBhg. Dato’ Seri Norliza, Pengerusi PTPTN, “Ketabahan keluarga Allahyarham dalam menghadapi tragedi ini adalah sesuatu yang sangat menginspirasikan. Kami di PTPTN ingin menyampaikan rasa simpati yang mendalam kepada keluarga Allahyarham. Semoga dengan sumbangan ini, dapat memberikan sedikit kelegaan dan sokongan kepada waris Allahyarham dalam waktu yang sukar ini. Setiap sumbangan yang berikan adalah tanda keprihatinan PTPTN dan harapan untuk masa hadapan yang lebih baik bagi keluarga yang terlibat.”
5. Skim Pinjaman Pendidikan PTPTN dengan perlindungan takaful berkelompok adalah bertujuan untuk melindungi jumlah pinjaman yang telah dikeluarkan oleh PTPTN kepada peminjam untuk tempoh 24 jam sehari dan meliputi seluruh dunia sekiranya berlaku kematian atau keilatan kekal menyeluruh. Di bawah konsep perlindungan takaful berkelompok ini, amaun pinjaman yang dikeluarkan oleh PTPTN kepada semua pinjaman akan mendapat perlindungan sepenuhnya daripada syarikat pengendali takaful yang dilantik oleh PTPTN.
6. Bagi mana-mana peminjam yang telah meninggal dunia atau mengalami keilatan, waris/ penuntut perlu membuat tuntutan dengan melengkapkan Borang Permohonan Tuntutan Takaful yang boleh diperolehi melalui portal rasmi www.ptptn.gov.my. Borang Permohonan Tuntutan Takaful beserta dokumen sokongan yang diperlukan hendaklah dikemukakan ke Pejabat PTPTN Negeri/ Cawangan yang berhampiran atau diposkan ke Ibu Pejabat PTPTN, Menara PTPTN, Kuala Lumpur.