Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2024 Berhubung Dengan Kewarganegaraan
KUALA LUMPUR –Dewan Rakyat telah meluluskan pindaan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan 2024 berhubung dengan kewarganegaraan pada hari ini. Pindaan utama membabitkan Bahagian II Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan memberikan hak kesamarataan jantina selaras dengan Perkara 8(2) kepada salah seorang ibu atau bapa warganegara Malaysia untuk mendaftarkan kewarganegaraan anaknya yang lahir di luar negara untuk memperoleh kewarganegaraan melalui kuat kuasa undang-undang.
Pindaan ini juga selari dengan manifesto kesemua gabungan politik utama di Malaysia dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU 15).
2. Pindaan Perlembagaan ini merupakan rentetan daripada kes mahkamah yang dibawa oleh Pertubuhan Family Frontiers, Suriani Kempe serta enam lagi wanita (plaintif) melawan Kerajaan Malaysia pada tahun 2021. Kes mahkamah tersebut berkisar tentang isu pemberian kewarganegaraan Malaysia kepada anak seorang wanita yang lahir di luar Malaysia bawah Perkara 14. Susulan itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mengemukakan satu Kertas Cadangan bagi maksud meminda Perlembagaan mengenai kewarganegaraan Malaysia. Lanjutan daripada itu, Jemaah Menteri telah bersetuju dengan cadangan tersebut untuk dilaksanakan. Pindaan Perlembagaan berhubung dengan kewarganegaraan telah dipersembahkan dan mendapat perkenan Majlis Raja-Raja serta kerajaan Sabah dan Sarawak untuk dibentangkan di Parlimen.
3. Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2024 berhubung dengan kewarganegaraan kemudiannya dibentangkan untuk bacaan kali pertama dalam sesi Mesyuarat Pertama, Penggal Ketiga Parlimen Kelima Belas tahun 2024 pada 25 Mac 2024 manakala bacaan kali kedua dalam Dewan Rakyat pada 27 Mac 2024 untuk dibahaskan dan dibuat undian pada persidangan Parlimen hari ini.
4. Mesyuarat Majlis Raja-Raja (MRR) ke-261 bertarikh pada 22 Februari 2023 menzahirkan bahawa RUU ini tidak boleh dibuat pemindaan hanya dengan memasukkan perkataan “ibu” sahaja kerana tiada elemen kawalan. Elemen kawalan telah diminta untuk diwujudkan agar pemberian taraf kewarganegaraan tidak diberikan kepada golongan yang tidak selayaknya serta diperketat.
5. Kerajaan sedia maklum bahawa suatu undang-undang itu bukannya bersifat statik sebaliknya dinamik. Kesemua pindaan butiran RUU mengambil kira kebaikan kepada rakyat dan negara serta selaras dengan amalan antarabangsa. Selaras dengan perkenan MRR, maka wajarlah pindaan RUU ini mendapat sokongan sebulat suara Ahli-ahli Parlimen. KDN juga telah mengadakan sesi libat urus dengan pelbagai pihak berkepentingan dan pemegang taruh seperti ahli-ahli akademik, badan-badan bukan kerajaan dan sebagainya bagi memastikan pindaan RUU ini mendapat pandangan serta sokongan pelbagai pihak.
KDN sentiasa memastikan segala RUU yang berkaitan dengan KDN serta agensi bawahnya memenuhi keperluan dan bertepatan dengan keadaan semasa demi memastikan kemaslahatan dan kepentingan rakyat seterusnya negara terpelihara.