Realiti Pahit Perlu Ditelan, Ini Daerah Tertinggi Kemiskinan Bandar & Paling Ramai Asnaf Di Selangor
Dahulu, bila bercakap tentang ‘masyarakat bandar’, ramai yang beranggapan ia sinonim dengan golongan yang berkemampuan atau berpendapatan tinggi.
Mereka sering kali dianggap menikmati pelbagai keselesaan dan kemewahan yang ditawarkan oleh kehidupan di kota.
Bagaimanapun, dengan keadaan semasa, tanggapan itu mungkin sudah tidak lagi relevan.
Tidak dapat dinafikan, keadaan ekonomi yang kian mencabar kini meresahkan banyak pihak.
Ia tidak hanya semakin menghimpit penduduk luar bandar, malah turut membelenggu golongan yang tinggal di bandar.
Realitinya, ramai yang ‘terperangkap’ dalam kesempitan hidup di kota yang kononnya dipenuhi peluang.
Di sebalik kehidupan di tengah kota yang serba moden, wujud realiti pahit yang harus ditelan oleh ramai, iaitu kewujudan golongan miskin bandar yang semakin ketara.
Kos sara hidup yang melambung, harga barangan yang terus meningkat dan pendapatan yang tidak mencukupi untuk menampung keperluan harian kini mencipta jurang yang semakin luas.
Apa itu kemiskinan bandar, dan daerah mana di Selangor yang mencatatkan kemiskinan bandar tertinggi?
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS), Mohd Sabirin Mohd Sarbini, menjelaskan bahawa definisi miskin bandar meliputi pelbagai aspek.
Ini termasuk individu atau sesebuah isi rumah yang miskin dari segi kewangan serta pelbagai faktor lain merangkumi aspek kesihatan dan pendidikan.
Menurut beliau, LZS mengklasifikasikan miskin bandar berdasarkan faktor geografi, dengan memberi tumpuan kepada empat daerah utama di Selangor.
Walau bagaimanapun, LZS tetap menangani masalah asnaf yang memerlukan bantuan terutamanya fakir dan miskin di sembilan daerah di Selangor.
Tambah beliau, daripada sembilan daerah tersebut, LZS mengenal pasti empat daerah dengan kadar kemiskinan bandar tertinggi, iaitu Petaling, Klang, Gombak dan Hulu Langat.
Ujar beliau lagi, data LZS menunjukkan bahawa daripada 68,000 keseluruhan asnaf fakir dan miskin di Selangor, Petaling mencatatkan jumlah tertinggi penerima asnaf berdaftar.
Ini sekali gus menjadikan Petaling sebagai daerah dengan kadar kemiskinan bandar tertinggi di Selangor.
Bagaimana LZS mengenal pasti golongan miskin bandar?
Menurut Mohd Sabirin, LZS mengenal pasti golongan miskin bandar melalui beberapa pendekatan, dibantu oleh hampir 2,000 Penolong Amil Kariah (PAK) yang berperanan aktif menjejak golongan asnaf fakir dan miskin.

Mereka turun ke lokasi yang dikenal pasti menerusi program yang dikenali sebagai Skuad Jejak Kemiskinan (SJK).
Berdasarkan LZS , operasi ini bertujuan mencari, menyiasat dan membantu individu atau keluarga yang layak menerima bantuan zakat, seterusnya disenaraikan sebagai asnaf fakir atau miskin.
Penduduk yang terlibat akan diminta mengisi borang bancian siasatan untuk menentukan haddul kifayah (garis penentuan kemiskinan), dan permohonan mereka akan disemak serta-merta sebelum diproses untuk kelayakan.

Selain itu, PAK yang dilantik di seluruh negeri Selangor berperanan sebagai pemudahcara antara LZS dengan masyarakat, khususnya asnaf LZS.
Mohd Sabirin berkata, LZS yakin bahawa PAK yang dilantik lebih mengenali lokaliti mereka, dan ini pastinya membantu dalam mengesan golongan miskin bandar dengan lebih berkesan.
Tidak hanya itu, LZS juga membuka ruang kepada golongan yang memerlukan untuk datang secara terus ke cawangan-cawangan LZS di sekitar Selangor.
Bagaimana LZS membantu golongan miskin bandar?
LZS memainkan peranan penting dalam membantu golongan miskin bandar yang terjejas oleh pelbagai cabaran ekonomi dan sosial.
Pendekatan yang digunakan melibatkan usaha menyeluruh untuk memastikan mereka yang memerlukan mendapat sokongan yang sewajarnya bagi membina kehidupan yang lebih baik dan keluar daripada kancah kemiskinan.
Melalui pelbagai program dan inisiatif, LZS berusaha meringankan beban hidup golongan ini dengan menyediakan bantuan asas, pendidikan serta peluang pekerjaan.
Mengulas lanjut berkenaan bantuan asas, Mohd Sabirin berkata, sebanyak 18,000 penerima bantuan makanan bulanan secara konsisten tanpa gagal.
Bantuan kewangan bulanan juga disalurkan dengan jumlah peruntukan tidak kurang daripada RM250 juta setiap bulan, selain bantuan tempat tinggal kepada penerima yang layak.
Di samping itu, LZS memberi tumpuan kepada pembangunan golongan miskin bandar melalui bantuan pendidikan.
Kata Mohd Sabirin, salah satu inisiatif yang dilaksanakan adalah memberi fokus kepada generasi kedua (kanak-kanak) dalam pendidikan, bermula dari sekolah rendah hingga ke universiti.
Bahkan, setelah tamat pengajian, LZS akan membantu dalam mencari pekerjaan yang sesuai dengan kemahiran atau keperluan individu, selain memberikan insentif sebanyak RM700 pada bulan pertama bekerja.
Bagi generasi pertama (ibu bapa) pula, Mohd Sabirin berkata, LZS menyediakan bantuan kelangsungan hidup, di samping bantuan pembangunan seperti bantuan modal perniagaan serta kursus-kursus yang dapat meningkatkan kemahiran dan lain-lain.
Tidak hanya itu, platform pendidikan untuk ketua keluarga yang berpendapatan rendah, terutamanya bagi mereka yang berusia antara 25 hingga 35 tahun.
Jelas Mohd Sabirin, berdasarkan data LZS, daripada 68,000 ketua keluarga yang berdaftar, hanya empat peratus mempunyai pendidikan Diploma atau Ijazah dan ke atas, manakala 83 peratus hanya berkelulusan SPM dan 11 peratus tidak mempunyai pendidikan.
Oleh itu, dengan memberikan pendidikan yang selayaknya kepada golongan ini, mereka berpeluang untuk mendapatkan pekerjaan yang lebih baik dan meningkatkan pendapatan demi kelangsungan hidup.
Selain itu, Mohd Sabirin menyatakan bahawa LZS juga melaksanakan kajian di kawasan perumahan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) atau Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) untuk mengatasi isu sosial yang turut menyumbang kepada kemiskinan bandar.
Dalam usaha ini, LZS telah mewujudkan projek Al-Biruni Zakat Selangor, yang berfungsi sebagai pusat inovasi dan pembelajaran untuk menyantuni kanak-kanak miskin bandar.
Melalui inisiatif Al-Biruni, LZS menyediakan ruang belajar dan sosial yang selamat serta kondusif, yang menawarkan bantuan akademik kepada kanak-kanak tersebut.

Ini bertujuan membantu kanak-kanak yang cemerlang dalam pelajaran tetapi terhalang kerana kemiskinan dan kekurangan kemudahan, selain mengurangkan masalah sosial.
Jelas Mohd Sabirin, kanak-kanak di kawasan terlibat akan mengikuti modul 4M (membaca, menulis, mengira dan mengaji) dengan penilaian dilakukan setiap tiga bulan untuk memantau perkembangan akademik mereka.

Bukan itu sahaja, pelbagai aktiviti lain turut disediakan, termasuk solat berjemaah, menyiapkan kerja rumah, usrah santai, riadah, sukan serta program khas yang melibatkan sukarelawan dan NGO.

Bagaimana masyarakat boleh menyumbang dalam membantu golongan yang memerlukan, termasuk golongan miskin bandar?
Sebagai rakyat yang prihatin, kita mempunyai tanggungjawab untuk membantu golongan yang memerlukan, termasuk golongan miskin bandar.
Salah satu cara terbaik untuk memberikan sumbangan adalah dengan membayar zakat.
Anda boleh mengunjungi mana-mana cawangan LZS yang berdekatan untuk membuat pembayaran zakat secara tunai.
Selain itu, anda juga boleh membuat pembayaran zakat secara dalam talian (online).
Untuk maklumat lanjut dan proses pembayaran, sila klik di sini.
Jalankan kewajipan anda, mari kita sama-sama melaksanakan tanggungjawab demi kesejahteraan semua
Zakat adalah salah satu rukun Islam yang bukan sahaja memenuhi kewajipan agama, tetapi juga memainkan peranan besar dalam membantu mereka yang berada dalam keadaan sukar.
Dengan membayar zakat, kita memberikan peluang kepada individu dan keluarga untuk memperbaiki taraf hidup mereka.
Setiap sen yang kita sumbangkan akan disalurkan secara langsung kepada golongan yang memerlukan, memastikan bantuan sampai kepada mereka yang tepat.
Ini tidak hanya membantu individu yang memerlukan, tetapi juga menyemarakkan semangat kebersamaan dan keprihatinan dalam masyarakat kita.