Gandingan Padu Amsyar Leee & Fadhilah Intan Menerusi Alkisah Jiwa
KUALA LUMPUR, 21 OKTOBER 2024 – MENYEBUTKAN nama Amsyar Leee, pastinya sebahagian besar peminat akan teringatkan keunikan pelbagai karakter suara yang sering dilagukan olehnya. Kebolehan penyanyi ini meniru pelbagai suara artis popular sedikit sebanyak memberikan kelebihan kepadanya untuk lebih dikenali umum.
Menongkah arus 2024, Amsyar kini hadir dengan buah tangan terbaru untuk peminat dengan judul Alkisah Jiwa yang baru sahaja dilancarkan pada 11 Oktober yang lalu. Tidak keseorangan, naskhah kali ini begitu istimewa apabila beliau bergandingan dengan Fadhilah Intan yang juga merupakan penyanyi popular dengan lagu Dawai dari Indonesia.
Menariknya, Alkisah Jiwa bukan sekadar sebuah lagu balada tetapi merupakan paduan antara dua jiwa yang pastinya membuatkan pendengar terbuai dan terhanyut dalam emosi.
Jelas Amsyar, kolaborasi bersama Fadhilah begitu istimewa di matanya memandangkan penyanyi berkenaan pandai menyesuaikan emosi dengan patah-patah lirik yang terkandung di dalam Alkisah Jiwa.

“Saya melihat dia sebagai antara penyanyi berbakat besar dan mampu memberikan emosi kepada setiap naskhah yang dibawakan. Fadhilah bukan sahaja mempunyai suara yang baik tetapi ada banyak lagi kelebihan yang ada padanya.
“Dia mampu memberikan ‘nyawa’ kepada Alkisah Jiwa dan seterusnya menghidupkan lagu ini dengan baik sehingga memikat hati pendengar,” kata Amsyar.
Alkisah Jiwa merupakan lagu ciptaan Hendro Djasmoro dan Albert Juwono, manakala lirik pula adalah hasil tulisan Hendro Djasmoro. Lagu ini juga merupakan kerjasama antara Warner Music Malaysia dan Resonate Music Indonesia.
Kisah yang ditulis juga begitu dekat di hati dan Amsyar mengakui sudah jatuh cinta dengan melodi lagu ini saat kali pertama diperdengarkan kepadanya. Ia digarap dengan penuh makna dan perlu disampaikan dengan sepenuh jiwa.
“Alkisah Jiwa sebenarnya berkisah tentang perjalanan hati dan perasaan. Tidak mudah sebenarnya untuk menempuh liku-liku hidup memandangkan banyak halangan yang perlu dilalui.
“Namun dalam setiap langkah, akan ada cinta dan harapan yang menanti. Apa yang paling penting setiap insan perlu ada kekuatan jiwa untuk terus kuat. Percayalah ada keindahan yang akan menanti di hadapan,” tambah penyanyi yang berusia 25 tahun ini lagi.
Mengulas mengenai pengalaman kolaborasi kali ini, pemilik nama sebenar Muhammad Amir Syafiq Mohd Sadri ini begitu teruja dengan kesungguhan yang ditunjukkan oleh Fadhilah ketika mereka merakamkan lagu berkenaan.

Beliau menyifatkan penyanyi yang popular dengan lagu Dawai itu mudah didekati, mesra dan tidak lokek berkongsi pengalaman saat proses rakaman berlangsung di Jakarta beberapa bulan yang lalu.
Walaupun ini merupakan kerjasama pertama mereka, Fadhilah banyak memberikan maklum balas saat beberapa cabaran kecil dihadapi ketika rakaman berlangsung terutama untuk menyatukan harmoni dan melaraskan suara.
Segala-galanya dapat diatasi dengan baik memandangkan mereka berdua sudah berpengalaman seraya mengharapkan maklum balas positif daripada peminat dari Malaysia mahupun Indonesia.
Tambah menarik, pembikinan muzik video (MV) juga dilakukan di Jakarta bagi memberikan kesegaran dan kelainan kepada karya terbaharu Amsyar ini.
“Ini merupakan pengalaman baharu saya dapat bekerjasama dengan produksi di sana. Pihak produksi begitu teliti mencipta momen bagi memastikan mood setiap babak kena dengan lirik yang disampaikan.
“Hasilnya begitu indah dan saya mengharapkan maklum balas positif daripada peminat,” tambah Amsyar yang sudah merancang untuk mengeluarkan beberapa karya lagi dalam beberapa projek yang sedang dirancang.
Alkisah Jiwa sudah dilancarkan secara rasmi mulai 11 Oktober lalu di kesemua pelantar digital. MV pula boleh ditonton melalui YouTube Fadhilah Intan mulai 12 Oktober lalu.