Siakap Keli
piring hitam hasilkan bunyi
Kredit: AFP

Hairan, Macam Mana Piring Hitam Rakam & Hasilkan Bunyi?

Hairan, Macam Mana Piring Hitam Rakam & Hasilkan Bunyi? 

Satu alat yang tidak pernah tertinggal dek perubahan zaman, gramofon dan piring hitam boleh dikatakan tidak pernah mati dalam lipatan sejarah. Biarpun kedua alat ini dicipta sekitar 1930-an, ia masih mendapat sambutan hingga ke hari ini.

Naik turun permintaan itu perkara biasa dalam perniagaan, namun sehingga kini, teknologi rakaman dan penghasilan bunyi menerusi sekeping piring berwarna hitam sentiasa menjadi misteri buat mereka yang pertama kali melihatnya.

Timbul pelbagai persoalan mengenai bagaimana piring hitam itu mengeluarkan bunyi.

Justeru kali ini, SK ingin kongsikan dengan anda bagaimana muzik boleh disimpan dalam piring hitam dan dapat dimainkan semula. Ini tujuh proses penghasilan bunyi piring hitam yang dikongsi laman EverPresent.

Kredit: AFP

Proses penghasilan piring hitam

1. Rakaman

Proses pertama yang perlu dilakukan sebelum piring hitam dapat dihasilkan ialah membuat rakaman lagu di studio terlebih dahulu. Jika dilihat dari sudut yang kita ‘nampak’, proses ini melibatkan rakaman muzik dan nyanyian di sebalik dinding kaca.

Namun, terdapat satu perkara penting yang perlu anda tahu. Proses ini sebenarnya melibatkan rakaman gelombang yang terhasil.

Jika anda masih ingat, sewaktu kita pelajari mata pelajaran Sains dahulu, setiap pergerakan menyebabkan getaran zarah-zarah lalu menghasilkan gelombang. Semua bunyi yang dapat ditangkap oleh telinga kita terhasil dalam bentuk gelombang. Gelombang inilah yang menjadi asas dalam penghasilan piring hitam.

BACA: Nostalgia, Ini Rupanya Pencipta Asal Lagu “Ringtone” Ikonik Nokia

2. Rekod induk

Setelah rakaman dibuat, rekod induk disimpan sebagai templat bagi membuat salinan. Mengikut peredaran zaman, templat kini disimpan dalam bentuk fail audio digital berkualiti tinggi.

3. Pressing

Proses ini menggunakan mesin larik untuk menghasilkan acuan utama. Rekod induk dimasukkan ke dalam mesin larik. Kemudian, satu cakera aluminium bersalut sampang, sejenis lakuer pengilat, diukir menggunakan jarum bermata berlian mengikut gelombang bunyi dari rekod induk membentuk alur yang mengelilingi cakera tersebut.

Setelah siap, cakera aluminium ini dijadikan acuan utama untuk menghasilkan piring hitam.

Proses diteruskan dengan pencairan pelet plastik yang kemudiannya ditekan dengan acuan utama, menghasilkan sebuah plastik vinyl beralur. Pelet plastik dicairkan kemudian acuan utama ditekan di atas plastik vinyl supaya alur yang sama terhasil di permukaan vinyl.

“Alur ini merupakan bentuk variasi yang ada dalam muzik tersebut, iaitu perubahan kelantangan, nada dan naik turun suara. Secara asasnya, alur ini bentuk fizikal gelombang bunyi muzik tersebut,” katanya.

Kredit: Tobias Schwarz/AFP

Proses piring hitam hasilkan bunyi

4. Main semula

Bagi memainkan semula piring hitam yang sudah siap, peti nyanyi atau gramofon diperlukan. Alat tersebut mempunyai jarum bermata berlian atau batu permata nilam yang akan diletak di atas piring hitam, mengikut semula alur yang ada. Jarum halus tersebut akan bergetar berulang kali apabila melalui alur-alur itu.

5. Tranduksi

Proses ini melibatkan perubahan pergerakan fizikal jarum tadi kepada isyarat elektrik seperti yang dihasilkan oleh para pemuzik dan penyanyi ketika rakaman di dalam studio. Perubahan ini berlaku dalam satu kartrij yang memegang jarum halus berkenaan.

BACA: Tak Pernah Guna Tapi Bateri Habis? Ini Cara Jimat Bateri “Remote Spare” Kereta

6. Penguatan isyarat

Isyarat elektrik yang terhasil dihantar untuk melalui satu alat lain pula yang menguatkan isyarat tersebut.

7. Penghasilan bunyi

Peringkat terakhir, isyarat yang telah dikuatkan tadi dihantar ke pembesar suara. Di situ, pembesar suara akan mengubah semula isyarat elektrik menjadi gelombang bunyi yang serupa dengan muzik yang dirakam di awal proses.

Jadi, itulah proses lengkap penghasilan bunyi piring hitam. SK harap perkongsian ini dapat menjawab persoalan di fikiran anda.

BACA: Video Terbaru Pukau Mata, Ramai Minta Sofyank Buat Filem Fantasi

Sumber: EverPresent, Arma Yusof

Azizah Najib

Menulis tanpa henti

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.