CIDB Raikan Pencapaian Cemerlang Dalam Keselamatan & Kesihatan, Kemampanan Alam Sekitar Dan Kualiti
KUALA LUMPUR, 22 Oktober 2024: Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) hari ini meraikan 122 penggiat industri yang berjaya meraih pencapaian cemerlang di dalam keselamatan & kesihatan, kemampanan alam sekitar dan kualiti sempena Hari QUEST 2024.
QUEST 2024 sebelum ini dikenali dengan nama SHEQ Day, iaitu Hari Safety & Health, Environment and Quality, bertujuan untuk mengiktiraf dan menganugerah pemain industri yang berupaya melaksanakan projek pembinaan dengan menjaga kualiti hasil kerja, kelestarian alam sekitar serta menitikberatkan aspek keselamatan dan kesihatan. Majlis pengiktirafan tahunan ini dijenamakan semula dengan nama QUEST bagi memperluaskan lagi pengiktirafan kepada program-program berkaitan pengurusan kualiti dan keupayaan kontraktor.
Pada tahun 2023, sebanyak 150 projek telah dinilai di bawah Safety and Health Assessment in Construction (SHASSIC), berbanding 107 pada tahun sebelumnya. Sebanyak 37 projek dinilai di bawah the Malaysian Carbon Reduction and Environmental Sustainability Tool (MyCREST), berbanding 30 pada tahun sebelumnya.
Sementara itu, 300 projek pula telah dinilai di menggunakan Quality Assessment System in Construction (QLASSIC), berbanding 248 pada tahun sebelumnya, manakala 1 Projek infrastruktur telah dinilai di bawah Sustainable Infrastructure Rating Tool (Sustainable INFRASTAR).
Ini jelas menunjukkan peningkatan dalam keprihatinan industri untuk mengamalkan standard yang lebih tinggi bagi memastikan industri pembinaan Malaysia kekal relevan dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.
Pada tahun ini, sebanyak 38 projek akan menerima pengiktirafan pencapaian terbaik, merangkumi pencapaian cemerlang, tertinggi dan khas. Jumlah keseluruhan penerima adalah 71 syarikat, satu pencapaian yang membanggakan. Pencapaian ini menunjukkan amalam keselamatan, kesihatan dan kualiti sebagai teras budaya kerja dalam industri pembinaan.
“Dalam konteks Malaysia MADANI, konsep pembinaan mampan bukan sekadar tanggungjawab sosial. Ia adalah pelaburan ke dalam masa depan generasi akan datang. Kita perlu memastikan bahawa infrastruktur yang kita bina hari ini tidak akan menjadi beban alam sekitar esok.
Inisiatif MyCREST dan Sustainable INFRASTAR adalah langkah awal, tetapi kita perlu mempercepatkan penggunaan teknologi hijau dalam pembinaan dengan lebih menyeluruh”, kata Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Kerja Raya Malaysia semasa ucapan perasmiannya.
Katanya, QLASSIC adalah satu lagi penanda aras penting yang menunjukkan bahawa Malaysia sedang menuju ke arah kualiti pembinaan bertaraf dunia.
Daripada 300 projek dinilai, pencapaian skor tertinggi adalah 89%. Ini adalah bukti bahawa Malaysia mampu mencapai standard global dalam aspek kualiti pembinaan. Dalam dunia yang semakin berdaya saing, kualiti boleh menjadi faktor yang membezakan syarikat-syarikat Malaysia daripada pesaing antarabangsa. Penilaian QLASSIC adalah satu langkah ke arah menetapkan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pembinaan di rantau ini.
“QUEST 2024 juga membawa dimensi baharu yang lebih menyeluruh dan inklusif. Sebagai langkah progresif, CIDB kini memperkenalkan anugerah untuk mengiktiraf penggiat industri yang telah mencapai prestasi yang memberangsangkan di dalam penilaian Program Penilaian Keupayaan dan Kemampuan Kontraktor (SCORE), dan juga yang berjaya melalui proses audit Contractor’s Quality Management System
(CQMS), di mana pelaksanaan CQMS ini turut menyumbang kepada pemarkahan SCORE,” kata Sr Mohd Zaid Zakaria, Ketua Eksekutif CIDB Malaysia.
Majlis pengiktirafan QUEST ini diadakan untuk menggalakkan saingan yang sihat di antara penggiat industri, serta meningkatkan kualiti, keselamatan dan kemampanan alam sekitar dalam projek pembinaan agar industri pembinaan Malaysia dapat menjadi satu industri yang bertaraf dunia, kompetitif dan mampan.