Pada Ogos 2024, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui satu laporan merekodkan 541 kes culik dan melarikan orang dalam tempoh lima tahun sejak 2020 sehingga Julai lalu.
Jumlah kes tertinggi direkodkan pada 2023 dengan 148 kes diikuti 2020 (119 kes), 2021 (104 kes), 2022 (91 kes) manakala Januari sehingga Julai lalu (79 kes). Kes yang berlaku melibatkan daripada pelbagai usia mahupun jantina.
Berikut merupakan panduan keselamatan untuk mengelakkan anda daripada menjadi mangsa jenayah. Sedikit sebanyak ia membantu anda membuat persiapan awal sebelum perkara buruk berlaku.

-
Sentiasa peka dengan keadaan sekeliling anda
Anda perlu sentiasa berwaspada setiap kali berjalan sendirian di tempat letak kenderaan atau laluan yang sunyi. Elakkan daripada leka seperti menggunakan telefon bimbit atau terlibat dalam apa-apa aktiviti yang mengganggu tumpuan anda.
Kepekaan terhadap persekitaran adalah kunci utama untuk mengesan ancaman lebih awal. Gunakan naluri anda untuk mengenal pasti individu atau situasi yang mencurigakan dan segera beredar dari kawasan tersebut dengan pantas.

2. Gunakan jalan pejalan kaki berhampiran jalan raya secara berlawanan arus
Untuk pengetahuan anda, jalan berlawanan arus kenderaan bukanlah satu kesalahan malah ia strategi yang bijak kerana anda dapat melihat dengan jelas terhadap apa yang datang ke arah anda. Dengan cara ini, anda dapat melihat jika ada kenderaan atau individu yang mencurigakan mendekati anda dari jauh.
Ia juga mempersulitkan penjenayah yang cuba menggunakan kenderaan untuk mengekori atau mendekati anda secara tiba-tiba. Berbeza dengan kita berjalan mengikut arus kenderaan. Risiko untuk berlaku perkara tidak baik itu sangat tinggi.

3. Elakkan berjalan seorang diri
Sebagai contoh, cuba sedaya upaya untuk berjalan berhampiran dengan orang sekeliling yang berada di laluan yang sama. Dengan cara ini, penjenayah tidak akan menjurus kepada anda sahaja.
Tegakkan badan, lebarkan dada dan berjalan dengan langkah yang stabil dan yakin. Penjenayah lebih tertarik kepada mangsa yang kelihatan lemah dan tidak berdaya.

4. Tidak menggunakan laluan yang sama
Penjenayah juga mempunyai strategi atau caranya yang tersendiri. Salah satunya, dengan tindakan memerhati orang sekelilingnya untuk mencari mangsa. Kalau kita sentiasa menggunakan laluan yang sama sudah tentu dia akan mempelajari atau menyelidik rutin harian anda.
Untuk mengelakkan perkara ini berlaku, anda perlu ubah laluan dari semasa ke semasa. Hal ini bukan sahaja membuatkan mereka sukar untuk merancang sesuatu yang jahat, tetapi juga memberi anda banyak peluang untuk mengesan apa-apa mencurigakan.

5. Tidak berjalan di kawasan sunyi
Gunakan jalan yang mempunyai pencahayaan lampu jalan. Boleh juga anda menggunakan jalan yang berhampiran dengan kedai atau gerai yang terdapat peniaga. Antara tempat yang sunyi yang lain seperti di parkir bawah tanah, lorong sunyi atau kawasan yang tidak ramai orang.

6. Sentiasa membawa alat keselamatan diri
Alat keselamatan menjadi perkara yang wajib untuk setiap individu terutamanya wanita. Hal ini kerana kudrat atau tenaga seorang wanita tidak dapat melawan serangan yang diterima oleh penjenayah itu. Sediakan alat keselamatan di dalam beg atau tempat yang senang untuk anda capai. Antara alat keselamatan yang boleh disediakan seperti,

7. Jangan biasakan berkongsi lokasi ‘Live’ secara terbuka
Setiap individu gemar memuat naik tentang kehidupan semasa di media sosial. Tetapi tanpa kita sedar, hal ini membawa kepada bahaya. Apa sahaja yang anda muat naik akan menjadi tontonan ramai seperti nama, tempat tinggal, status anda.
Penjenayah boleh menggunakan maklumat anda untuk ke tempat anda sedang berada mahupun boleh juga membuat ugutan terhadap diri anda. Sekiranya anda ingin berkongsi tentang lokasi anda, seeloknya ambil beberapa jam selepas anda meninggalkan tempat tersebut.

8. Maklumkan kepada individu yang dipercayai
Media sosial juga mempunyai manfaat kepada keselamatan diri. Ia boleh digunakan untuk memaklumkan kepada orang yang dipercayai, apabila ingin ke tempat yang tidak pernah pergi atau tempat yang agak jauh. Caranya ialah dengan menghantarkan lokasi ‘live’ anda kepada mereka.

9. Jangan memakai barang berharga yang menarik perhatian
Pilihlah bentuk dan saiz yang sederhana tidak terlalu besar dan selamat apabila dipakai. Hal ini kerana perhiasan juga menjadi tarikan penjenayah. Seandainya perhiasan itu terlalu berharga untuk anda, seeloknya jangan sesekali memakainya bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.
Selain itu, cuba untuk tidak memeluk atau letak beg dibahagian dada kerana ia seolah-olah memberi petanda bahawa anda sedang memegang beg yang mengandungi barang berharga.
10. Waspada ketika menggunakan perkhidmatan pengangkutan
Sekiranya anda merasakan sesuatu yang mencurigakan, segera hubungi seseorang melalui telefon dan hantarkan lokasi anda secara langsung melalui aplikasi seperti WhatsApp. Banyak juga kes yang berlaku berpunca daripada menaiki pengangkutan awam seperti berlaku kehilangan dan ditemui dengan keadaan yang tragis.

Dengan mengamalkan tips ini, anda dapat meningkatkan tahap keselamatan diri dan mengurangkan risiko menjadi mangsa jenayah. Ingatlah, keselamatan anda adalah tanggungjawab anda sendiri, jadi sentiasa berjaga-jaga dan waspada dalam setiap situasi.
Semoga artikel ini bermanfaat bagi anda semua.