Siakap Keli
risiko psikososial di tempat kerja

JKKP Lancar Garis Panduan Pentaksiran & Pengurusan Risiko Psikososial Di Tempat Kerja 2024

JKKP Lancar Garis Panduan Pentaksiran & Pengurusan Risiko Psikososial Di Tempat Kerja 2024

Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) melalui Jabatan Keselamatan  dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) serta Majlis Negara bagi Keselamatan  dan Kesihatan Pekerjaan (MNKKP) pada hari ini telah menganjurkan Karnival Kesihatan Pekerjaan KESUMA MADANI Peringkat Kebangsaan 2024 dan Majlis Pelancaran Garis Panduan Pentaksiran  dan Pengurusan Risiko Psikososial di Tempat Kerja 2024.

Majlis perasmian karnival yang diadakan di Setia City Convention Centre, Setia  Alam, Selangor ini telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia Datuk  Azman bin Mohd Yusof, Ketua Setiausaha KESUMA. 

Isu psikososial dalam kalangan tenaga kerja Malaysia semakin  meruncing. Tinjauan Kebangsaan Kesihatan & Morbiditi (NHMS) 2023  menunjukkan 4.6% populasi dewasa di Malaysia mengalami simptom  kemurungan.  

Di peringkat global, 15% pekerja mengalami isu psikososial. Lebih  membimbangkan, perkara ini telah menyebabkan kerugian bernilai 1 trilion  USD akibat kehilangan produktiviti, kehilangan 12 billion hari bekerja dan  50% kehilangan kos secara tidak langsung. 

Statistik ini memberi penekanan yang mendesak berkaitan keperluan strategi komprehensif dalam menangani kesejahteraan mental di  persekitaran profesional. Kesan negatif ini bukan sahaja dirasai oleh  individu, tetapi juga memberi impak kepada produktiviti organisasi dan  ekonomi negara.

risiko psikososial di tempat kerja

Sehubungan itu, KESUMA melalui JKKP sentiasa menekankan kepentingan kesihatan psikososial dalam memastikan kesejahteraan  pekerja di seluruh negara. Ini termasuklah melalui pelancaran “Garis  Panduan Pentaksiran dan Pengurusan Risiko Psikososial Pekerjaan  di Tempat Kerja 2024”. Garis panduan ini bertujuan mengurangkan risiko  psikososial di tempat kerja dan mempromosikan persekitaran kerja yang  lebih sihat serta menyokong kesejahteraan pekerja.  

Bagi memudahkan pelaksanaan garis panduan tersebut, JKKP juga menganjurkan seminar khas pada hari ini yang menyasarkan profesional  HR dan pengamal Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP). Seminar  ini memberikan penerangan terperinci mengenai kandungan dan aplikasi  garis panduan, serta pandangan daripada pakar kesihatan mental  terkemuka dari sektor swasta dan awam.  

risiko psikososial di tempat kerja

Peningkatan isu psikososial di tempat kerja memerlukan tindakan segera  daripada semua pihak berkepentingan. Dengan melengkapkan ahli  profesional bersama pengetahuan yang diperlukan, organisasi dapat  mengenal pasti dan mengurangkan faktor tekanan sebelum ia menjadi  lebih serius. Selain itu, ia memupuk budaya kerja yang memberi  penekanan terhadap kesejahteraan pekerja bagi meningkatkan  produktiviti dan moral, seterusnya membantu menaikkan pencapaian  organisasi. 

Dengan mengambil langkah proaktif melalui penerapan garis panduan  baharu ini, tempat kerja di Malaysia boleh membuat perubahan signifikan  dalam menyokong kesejahteraan pekerja. Ini bukan sahaja memberi  manfaat kepada individu dan organisasi, tetapi juga menyumbang kepada  kesejahteraan ekonomi dan sosial negara. 

Nurul Naqiyah

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.