KPKT Komited Memperkukuh Agenda Bandar Mampan & Pintar Ke Arah Perbandaran Baharu
PUTRAJAYA, 28 Oktober 2024 – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Tuan Nga Kor Ming (YB KM) telah merasmikan Majlis Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia (HPBS) Tahun 2024 Peringkat Kebangsaan di Everly Hotel, Putrajaya pagi ini.
HPBS 2024 bertemakan “Sedaya Upaya Membina Bandar Mampan dan Pintar #DemiPertiwi” bagi mencerminkan komitmen kerajaan dalam mencapai agenda Pembangunan Mampan dan memenuhi matlamat pembangunan mampan atau Sustainable Development Goals (SDG) menjelang tahun 2030 yang telah diluncurkan sejak 2015 bersama 192 anggota lain.
Sambutan HPBS 2024 merupakan anjuran bersama di antara Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia), Pertubuhan Perancang Malaysia (MIP), Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Jabatan Perdana Menteri (JPM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Perbadanan Putrajaya (PPJ) dan Lembaga Perancang Bandar Malaysia (LPBM).
YB KM telah menyampaikan anugerah Malaysia Urban Planning Awards (MUPA) 2024 kepada 21 penerima Anugerah Bandar Mampan 2024, 20 penerima Anugerah Penarafan Bandar Pintar 2024 dan 10 penerima Anugerah Amalan Perancangan Terbaik 2024.
MUPA merupakan platform pengiktirafan dan penghargaan kepada semua pihak termasuk pihak kerajaan, swasta, badan bukan kerajaan (NGO), pemimpin tempatan dan komuniti setempat dalam membangunkan persekitaran sama ada di peringkat kejiranan mahupun perbandaran yang lebih berdaya huni dan inklusif di masa hadapan. (Sila rujuk senarai penerima dan ringkasan anugerah di Lampiran)
Turut dilancarkan ialah National Smart City Platform (NSCP) atau Platform Bandar Pintar Negara di bawah pusat data raya dan analitik perancangan iaitu Malaysia Urban Observatory (MUO). Platform ini menggabungkan data-data bandar pintar dengan maklumat analitik data raya (big data analytic) bagi membolehkan keputusan untuk menyelesaikan isu-isu perbandaran dibuat berdasarkan bukti (evidences based decision making).
Bersempena dengan sambutan HPBS 2024, turut diadakan Persidangan Perancangan Kebangsaan 2024 atau National Planning Congress (NPC) 2024 yang akan dirasmikan oleh YAB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof, Timbalan Perdana Menteri pada 29 Oktober 2024.
Bertemakan “Urbanism Next 3R+: Reimagine, Reinvent, Revitalise, Reconnect”, NPC 2024 turut disertai oleh ahli-ahli Megacity Think Tank Alliance (MeTTA) serta menghimpunkan pelbagai pemegang taruh yang terlibat secara langsung dalam perancangan dan pembangunan bandar dan desa.
Adalah menjadi tanggungjawab semua pihak untuk mendokong tonggak dan gagasan Malaysia MADANI dalam merealisasikan pembangunan mampan demi kesejahteraan komuniti ke arah SDG 2030 dan Agenda Perbandaran Baharu (NUA) di peringkat global.
Perancang bandar dan pengurus bandar akan terus komited berusaha sedaya upaya merancang dan membina bandar mampan dan pintar serta memajukan negara ke arah kesejahteraan komuniti selaras dengan gagasan dan tonggak Malaysia MADANI.
Majlis sambutan HPBS 2024 ini turut dihadiri oleh YBhg. Datuk Wira M Noor Azman bin Taib, Ketua Setiausaha KPKT; YBhg. Datuk TPr Dr. Alias bin Rameli, Ketua Pengarah PLANMalaysia, KPKT; YBhg. Datin TPr Hajah Noraida binti Saludin, Presiden MIP; pegawai pegawai kementerian/ jabatan/ agensi yang berkaitan, wakil-wakil daripada Pihak Berkuasa Tempatan Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, wakil-wakil komuniti tempatan/ persatuan penduduk, institusi pengajian tinggi awam, pemaju hartanah, sektor swasta dan juga persatuan-persatuan yang berkaitan.
SENARAI PENERIMA ANUGERAH BANDAR MAMPAN 2024
SENARAI PENERIMA PENGIKTIRAFAN PENARAFAN BANDAR PINTAR 2024
SENARAI PENERIMA ANUGERAH AMALAN PERANCANGAN TERBAIK 2024 (BEST PLANNING PRACTICE AWARDS 2024)
RINGKASAN ANUGERAH
Anugerah Bandar Mampan Malaysia 2024 adalah berpandukan kepada gerbang MURNInets (Malaysia Urban-Rural National Indicators Network for Sustainable Development) yang telah dilaksanakan semenjak tahun 2002. MURNInets merupakan satu pengiktirafan kepada PBN dan PBT yang telah melaksanakan dan menepati kriteria kemampanan bandar. Sebanyak 153 PBT Semenanjung Malaysia, Wilayah Persekutuan; Sabah dan Sarawak telah menyertai program MURNInets pada tahun ini.
Pengiktirafan Penarafan Bandar Pintar 2024 merupakan inisiatif KPKT melalui PLANMalaysia bertujuan untuk mengiktiraf peranan PBT sebagai “Smart City Early Adopter” yang telah melaksanakan inisiatif Bandar Pintar berpandukan kepada Standard MS ISO 37122. Usaha ini adalah selaras dengan Rangka Kerja Bandar Pintar Malaysia.
Kerangka Strategik Malaysia MADANI (KSMM) yang mana Penarafan Bandar Pintar telah dipilih di bawah KSMM yang dipantau rapat setiap bulan oleh Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Di bawah gagasan Ekonomi MADANI, ia berkaitrapat dengan Teras Strategik 1 iaitu Kemampanan Ekonomi Negara dengan strategi Mempertingkatkan Potensi Ekonomi Wilayah. Sehingga tahun 2025, KSMM telah menyasarkan 63 daripada 156 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mendapat pengiktirafan Smart City Early Adopter.
Anugerah Amalan Perancangan Terbaik 2024
Merupakan inisiatif Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) untuk memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada pihak berkaitan yang telah melaksanakan pemajuan atau projek yang mematuhi garis panduan perancangan dan panduan inisiatif berkaitan yang telah diterima pakai.
Anugerah ini juga turut memberi galakkan dan contoh amalan perancangan terbaik kepada banyak lagi pihak berkenaan untuk turut terlibat sama ada dalam memaju dan membangun persekitaran berpandukan garis panduan perancangan atau panduan inisiatif yang telah diterima pakai.
KPKT melalui Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) dan Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) juga mengambil cakna dan memulakan langkah progresif dengan melaksanakan projek fizikal perintis mesra autisme yang pertama di Malaysia dengan penyaluran bajet sebanyak RM1.43 juta bagi dua (2) projek iaitu Projek Persekitaran Mesra Autisme di Kuching Park, Kuching Sarawak di bawah Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) dan Projek Persekitaran Mesra Autisme di Taman Tasik, Cyberjaya, Selangor di bawah Majlis Perbandaran Sepang (MPSpg).
KPKT akan menghebah luas projek perintis bagi amalan perancangan terbaik ini di masa hadapan untuk memastikan tiada golongan yang tertinggal.