Unilever Food Solutions (UFS) menganjurkan sesi satu jam yang memberikan gambaran sekilas tentang masa hadapan kulinari pada acara Worldchefs Congress & Expo 2024 yang berlangsung di Marina Bay Sands, Singapura pada 21 Oktober lalu. Acara itu menyatukan pencinta kulinari dengan pelbagai citarasa unik dari seluruh dunia.
Bertemakan “Culinary Infinity”, sesi itu disajikan di ‘meja infiniti’ (meja berbentuk simbol infiniti) bersegmen yang melambangkan potensi tanpa had dalam masa hadapan dunia kulinari. Empat kuadran di meja bersegmen ini mewakili empat daripada lapan trend kulinari yang telah dikenal pasti dalam Laporan Trend Menu Masa Hadapan UFS 2024.
Pengalaman itu disemarakkan lagi dengan interpretasi kreatif cara peserta meneroka setiap sudut ‘wilayah trend’. Sebagai contoh, wilayah trend Flavour Shock (Mengujakan Tunas Rasa) mempamerkan letusan cita rasa melalui hidangan seperti Tempura dengan Sos Matcha, Coklat dengan Serbuk Telur Emas, dan Bebola Truffle Tapai Ubi Kayu; setiap satu disajikan di atas batu lava dan obsidian yang berkilau indah.
Di wilayah Local Abundance (Meraikan Kemewahan Sumber Tempatan) pula, tumpuan diberikan kepada potensi yang boleh dicapai melalui penerokaan kelestarian dan bahan-bahan tempatan. Para pengunjung berpeluang ‘memburu’ bahan-bahan tertentu dalam pameran ini seperti buah keras, asam jawa, lengkuas dan temu kunci, sambil mempelajari tanggungjawab bersama dalam memelihara alam sekitar dan kesejahteraan diri.
Sebagai provokasi untuk mencetuskan perbincangan tentang kelestarian, wilayah Low-Waste Menus (Menu Rendah Sisa) dipersembahkan sebagai landskap padang pasir tandus, untuk membangkitkan idea bagaimana bahan yang kelihatan ‘tidak berguna’ boleh diolah menjadi hidangan lazat yang mengujakan.
Wilayah Modernised Comfort Food (Mempermodenkan Makanan Selesa) pula menyatukan masa hadapan dengan nostalgia, di mana citarasa klasik bertemu inovasi baharu, membawa pengunjung kembali ke dapur zaman kanak-kanak mereka melalui hidangan yang menyatukan rasa lama dengan pengalaman baharu.
“Masa hadapan industri kulinari dipenuhi kemungkinan yang tiada batasan. Namun itu bukan cabaran yang harus ditakuti, sebaliknya dijadikan pencetus semangat bagi pengamal perniagaan kulinari untuk mengambil peluang kemungkinan-kemungkinan ini demi membangunkan masa hadapan industri,” kata Vangie Hu, Pengarah Pemasaran Serantau UFS Asia Tenggara. “Kepada para pengunjung, kami berharap sesi perkongsian UFS di Worldchefs Congress ini berjaya membangkitkan selera dalam pengembaraan kulinari masing-masing. Kami turut menyajikan Laporan Trend Menu Masa Hadapan UFS agar para pencinta kulinari kekal ‘berselera’ untuk mengetahui kemungkinan menu masa hadapan seterusnya.”
Muat turun dan ketahui lebih lanjut mengenai Laporan Trend Menu Masa Hadapan UFS di https://www.ufs.com/.