Siakap Keli
air 2040
Sumber : BERNAMA

AIR 2040 Bakal Jadikan Malaysia Sebagai Hab Air Serantau

AIR 2040 Bakal Jadikan Malaysia Sebagai Hab Air Serantau

KUALA LUMPUR, 29 Oktober 2024 – Timbalan Perdana Menteri  merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, YAB  Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof telah hadir ke Majlis Perasmian Pelan Hala Tuju Transformasi Air 2040 (AIR 2040) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur hari  ini.  

Pelan Hala Tuju Transformasi Air 2040 (AIR 2040) berpotensi memacu  Malaysia sebagai hab utama sektor air bagi negara-negara serantau. Sebagai salah satu agenda nasional, AIR 2040 bertujuan mentransformasikan sektor air negara menjadi mampan dan  pemangkin pembangunan ekonomi, menjamin bekalan air berkualiti  dan memajukan bidang sains, teknologi, inovasi dan ekonomi (STIE). 

YAB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof dalam ucapannya  menekankan bahawa peningkatan pelaburan dalam teknologi air,  penyelidikan dan pembangunan kemahiran mampu menjadikan  Malaysia sebagai pusat kecemerlangan dalam sektor ini. Langkah ini  bukan sahaja bakal menarik pelaburan asing, malahan turut  mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti untuk rakyat Malaysia. 

AIR 2040 yang dilaksanakan dalam tempoh 20 tahun menerusi empat  fasa di bawah Rancangan Malaysia ini bakal memacu keterjaminan  dalam aspek kesejahteraan rakyat melalui penerapan lapan (8)  pemacu perubahan untuk memperkasa lanskap sektor air negara secara holistik, iaitu: 

i. pembiayaan alternatif – pembangunan model perniagaan dan  kewangan baharu untuk memastikan sektor industri air berdaya saing,  menarik dan menguntungkan; 

ii. sektor ekonomi baharu – sektor air sebagai sebuah sektor ekonomi  baharu negara;

iii. adaptasi perubahan iklim – kesiapsiagaan untuk mengurangkan  impak risiko air terhadap infrastruktur dan masyarakat (peningkatan  tahap perlindungan (ARI) reka bentuk struktur) dalam usaha  mempersiap situasi rakyat bagi menghadapi impak perubahan iklim.

iv. air maya dan jejak air – mengenalpasti kegunaan air maya (air yang diperlukan dalam penghasilan suatu produk pertanian atau kegunaan  kehidupan seharian seperti yang terkandung dalam makanan seperti  sayuran dan buah) dan jejak air (proses kiraan air secara saintifik  bermula dari bahan mentah sehingga proses akhir pengeluaran  sesuatu produk) dalam sektor ekonomi;

v. advokasi dan kesedaran awam – peningkatan kesedaran yang  ketara terhadap konsep Pengurusan Sumber Air Bersepadu (IWRM) merentasi semua peringkat.;

vi. integrasi data – penubuhan Pusat Data dan Penyelidikan,  Pembangunan, Pengkomersialan dan Inovasi (RDIC) untuk  membangunkan kepakaran dan teknologi inovatif dalam sektor air;

vii. teknologi pintar – kesiapsiagaan sektor air ke arah pelaksanaan  IR4.0 dan penggunaan teknologi pintar untuk pembangunan sektor air  secara total; dan  

viii. Neksus Tenaga-Makanan-Air – pengurusan sumber air secara  mampan bagi memastikan kesinambungan sosial dan ekonomi negara. 

Menjelang tahun 2040, air bakal menjadi aset ekonomi yang signifikan kerana potensinya untuk menjana pendapatan adalah besar meskipun  buat masa ini pengurusannya belum memberikan pulangan ekonomi  yang optimum.

Sebagai perbandingan, sektor industri berintensifkan tenaga kini menyumbang kira-kira 28% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan 25% daripada jumlah keseluruhan tenaga  kerja negara. Manakala sumbangan sektor air adalah jauh lebih  rendah dan masih tidak dapat dikira dengan tepat.  

Dalam memastikan kejayaan AIR 2040, Kerajaan akan mengukuhkan kawalan terhadap pencemaran dan keberkesanan pengurusan sumber  air. Kerjasama dan sokongan daripada semua pihak, termasuk sektor  awam, swasta, komuniti, dan organisasi bukan kerajaan, adalah amat  penting bagi memastikan pelaksanaan AIR 2040 dapat dilaksanakan dengan jayanya serta mencapai keberhasilan yang dihasratkan.

Pelan  Hala Tuju Transformasi Air 2040 membawa manfaat besar kepada  kesejahteraan rakyat dengan menjamin bekalan air bersih yang  konsisten dan berkualiti, penting untuk kesihatan dan kehidupan seharian. Pengurusan air yang lebih cekap mampu mengurangkan  risiko bencana seperti banjir dan kemarau demi memastikan  keselamatan dan kestabilan persekitaran bagi komuniti di seluruh  negara. 

Nurul Naqiyah

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.