Nidzam Jamil Undur Diri Dari Selangor FC
Pasukan bola sepak Gergasi Merah, Selangor FC mengumumkan pengunduran Ketua Jurulatih, Nidzam Jamil yang berkuat kuasa serta-merta.
Menerusi kenyataan rasmi yang dimuat naik di laman Facebook kelab tersebut, Selangor FC menyatakan pihaknya menghormati keputusan Nidzam meletakkan jawatan sebagai pengemudi utama pasukan tersebut.
Pihaknya turut mengucapkan penghargaan terhadap sumbangan beliau sepanjang perkhidmatannya.
BACA: PLKN 3.0 Dilaksana Bermula Januari 2025
“Kelab ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Nidzam Jamil atas sumbangan beliau sepanjang tempoh perkhidmatannya.
“Di bawah bimbingan beliau sebagai Ketua Jurulatih pasukan utama, Selangor FC kini sedang berada di antara kelompok teratas liga, muncul naib juara Piala FA musim ini, serta menduduki tempat teratas Kumpulan H untuk saingan Liga Juara-Juara AFC Dua,” ujarnya.
Selangor FC turut memuji sifat kepimpinan Nidzam yang memupuk semangat kompetitif dalam kalangan pemain pasukan tersebut.
BACA: Cikgu Din Ditempatkan Sementara Di Kelantan, Temani Isterinya – Fadhlina
“Kepimpinan beliau memainkan peranan penting dalam mengekalkan prestasi pasukan sehingga kini,” tambahnya.
Dalam kenyataan yang sama, pihaknya juga mengumumkan bahawa tugas ketua jurulatih pasukan utama akan disandang oleh Abdi Hassan secara interim.
https://www.facebook.com/photo.php?fbid=1084538023677925&set=a.202208511910885&type=3
Abdi bakal mengemudi pasukan tersebut bertemu pasukan Kedah Darul Aman pada Sabtu ini dalam Liga Super sebelum bertemu pasukan Jeonbuk bagi Liga Juara-Juara AFC Dua.
Dalam pada itu, Astro Arena turut melaporkan pasukan Lembah Klang ini sedang mencari peluang menerima pengendali import.
Terdahulu, Nidzam dipilih sebagai Ketua Jurulatih pasukan tersebut apabila Tan Cheng Hoe melepaskan jawatan tersebut pada awal musim 2024/2025.
Perlawanan terakhir bimbingan beliau menyaksikan pasukan Gergasi Merah ini kecundang 3-0 bertembung pasukan JDT Ahad lalu, lapor Sinar Harian.
Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon mengakui pasukan kendalian Nidzam berada di kedudukan terbaik dalam saingan liga.
“Satu jurang besar (dengan JDT), tetapi kita ambil satu perlawanan demi satu perlawanan. Jurang itu bukan satu yang kita nak fokus. Kami mahu fokus kepada diri sendiri. Dapatkan sebanyak mungkin kemenangan. Pasukan dalam kedudukan yang baik. Kita akan perbaiki apa yang kurang dalam perlawanan,” ujarnya.
BACA: RM15 Juta Diperuntuk Jadikan Harimau Malaya Gergasi Bola Sepak Asia
Sumber: Selangor FC, Astro Arena, Sinar Harian