JPJ Akan Jalankan Ops Khas Motosikal 2024 Selama Dua Bulan
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memaklumkan pihaknya akan melaksanakan Operasi Khas Motosikal Tahun 2024 selama dua bulan pada hujung tahun ini.
Menurut hantaran yang dimuat naik di laman Facebook rasmi JPJ, operasi berkenaan akan bermula pada 1 November dan diadakan di seluruh negara.
“Operasi ini menyasarkan penunggang dan pemilik motosikal bagi pematuhan undang-undang di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan Kaedah-Kaedah di bawahnya,” kata hantaran itu.
Tambah JPJ, Ops Khas Motosikal dilaksanakan susulan daripada statistik yang membimbangkan dengan peningkatan trend kadar kemalangan dengan kematian secara bulanan melibatkan penunggang motosikal.
Berdasarkan rekod Polis Diraja Malaysia (PDRM), rekod kemalangan melibatkan motosikal adalah sebanyak 1,908 kes atau kira-kira 70 peratus.
JPJ akan memfokuskan kepada 8 kesalahan utama
JPJ memaklumkan strategi penguatkuasaan secara berfokus ini adalah untuk memantau, mengesan dan mengambil tindakan terhadap penunggang dan pemilik motosikal yang gagal mematuhi peraturan-peraturan yang sedang berkuatkuasa.
Difahamkan, operasi ini dilaksanakan untuk mengurangkan jumlah kematian dan kecederaan akibat kemalangan jalan raya bagi tempoh sukuan ke-3 dan ke-4 tahun 2024.
Lanjutan daripada itu, pihak JPJ akan menfokuskan kepada lapan kesalahan utama seperti berikut:
- Tiada Lesen Memandu
- Tiada Lesen Kenderaan Motor (LKM)/Tamat Tempoh
- Tiada Perlindungan Insurans
- Melanggar Isyarat Lalu Lintas (Lampu Merah)
- Ubahsuai Kenderaan (Extreme)
- Tidak Memakai Topi Keledar
- Lumba Haram
- Kesalahan Lain (Teknikal)
Usaha mengurangkan kadar kemalangan dan kematian akibat nahas jalan raya
Sehubungan itu, JPJ memohon kerjasama pengguna jalan raya terutamanya penunggang atau pembonceng motosikal untuk sentiasa mematuhi undang-undag dan peraturan jalan raya.
Malah, penunggang atau pembonceng motosikal perlu menanamkan sifat toleransi bersama pengguna jalan raya yang lain demi keutamaan keselamatan ketika di jalan raya.
“Usaha ini juga adalah untuk meminimumkan kadar kemalangan dan kematian akibat nahas jalan raya di negara selaras dengan Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (PKJRM),” ujar JPJ lagi.
Dalam pada itu, pihak JPJ turut menyeru orang ramai untuk melaporkan sebarang aduan kesalahan trafik secara terus atau real time menerusi Aplikasi MyJPJ : e.Aduan@JPJ.
Orang ramai juga boleh mengirimkan emel kepada [email protected] berserta dengan butiran lengkap aduan.
https://www.facebook.com/jabatanpengangkutanjalanmalaysia/posts/pfbid02gRmLtAL4uJCid4i1sSBZoNxs2ucktsmPaQi4tFWRnHttiUbcTudizp2HtJ1cVxXUl
BACA: Tertanya-tanya, Rupanya Ini Beza Deepavali & Diwali Yang Ramai Tak Tahu