Program Sanggar Puisi Perpaduan 2024 Memupuk Benih Perpaduan Melalui Bahasa & Sastera
KUALA LUMPUR, 5 November 2024 – YB Datuk Aaron Ago Dagang. Menteri Perpaduan Negara telah menyempurnakan Majlis Perasmian Sanggar Puisi Perpaduan 2024 Perpaduan Dirai, Bahasa Disantuni di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur.
Program anjuran Kementerian Perpaduan Negara (KPN) menerusi Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka dan Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian, Kementerian Pendidikan Malaysia ini bertujuan untuk menyemarak dan membugarkan budaya membaca menerusi wahana sastera dan budaya, di mana genre puisi dipilih kerana ia merupakan wadah bagi pembentukan identiti, budaya dan jati diri bagi sesuatu bangsa.
YB Datuk Aaron Ago Dagang berkata pelaksanaan program ini juga suatu platform untuk membangkitkan minat dan cinta terhadap puisi, serta memupuk benih perpaduan melalui keindahan bahasa dan sastera dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang bangsa, agama dan budaya.
Menteri Perpaduan Negara turut mengumumkan bahawa Perpustakaan Negara Malaysia akan menganjurkan program sebegini secara berterusan seperti Festival Puisi Rakyat pada masa akan datang dengan mengundang penyair dari pelbagai etnik dan bahasa untuk mendeklamasikan puisi. Beliau juga menyeru agar rakyat Malaysia terus menjadikan bahasa dan sastera sebagai jambatan perpaduan serta sebagai wadah yang menghubungkan jiwa-jiwa kita sebagai satu bangsa Malaysia yang harmoni.
Untuk rekod, pelbagai pengisian telah diadakan bagi menyemarakkan program Sanggar Puisi pada tahun ini seperti Sayembara Novel Perpaduan, Pertandingan Penulisan Sajak, Syair dan Pantun Perpaduan, Sesi Bimbingan Teknik Penulisan dan Penyampaian Puisi Perpaduan, Karnival Bahasa Melayu Peringkat Kebangsaan dan Pameran Puisi Perpaduan telah dilaksanakan mulai 15 Mei hingga 5 November 2024 dengan disertai oleh seramai 1,340 orang.
KPN berharap program seperti ini berupaya meningkatkan lagi kesepaduan dan penyatuan masyarakat Malaysia pada masa akan datang. Di samping itu, ia sebagai usaha mempelbagaikan aktiviti yang dapat memupuk keharmonian masyarakat melalui penciptaan puisi moden dan tradisional dengan pendekatan semangat perpaduan atau moment of unity.