Wanita Patah Kaki Ketika Naiki Gelongsor Di Lapangan Terbang Singapura
Percutian selama tiga hari ke Singapura seorang wanita warga Malaysia bertukar malang apabila dia patah kaki kanan sewaktu menaiki gelongsor tiub di Terminal 4 Lapangan Terbang Changi pada Isnin lalu, lapor Mothership.
Sewaktu kejadian, mangsa, 23, difahamkan telah berada di lapangan terbang berkenaan untuk penerbangan pulang ke Malaysia, yang dijadualkan berlepas pada 8:55 malam waktu tempatan.
Berikutan mempunyai sedikit waktu, mangsa ingin cuba menaiki gelongsor tersebut bersama rakan-rakannya.
Selepas kali pertama menaiki gelongsor tersebut, dia menyedari reka bentuk selekoh permainan itu agak berbahaya.
Bagaimanapun, mangsa menyedari rasa sakit pada bahagian kaki kanannya selepas menaiki kali kedua. Ia ekoran kakinya tersangkut sewaktu menuruni gelongsor berkenaan dan tidak mampu berdiri.
Mangsa kemudian meminta bantuan daripada kakitangan terminal sebelum dibawa ke Hospital Besar Changi (CGH) menaiki ambulans.
Hasil pemeriksaan, doktor mengesahkan dua tulang di betis kanannya patah.
Dalam pada itu, mangsa turut mendedahkan beberapa rakannya turut mengalami kesan melecet pada badan sewaktu menaiki gelongsor berkenaan.
Sewaktu dihubungi Motherships, wanita terbabit memberitahu kecederaan itu mengambil masa lima hingga tujuh hari untuk bengkaknya reda.
Dia juga perlu menjalani pembedahan termasuk menampal plat keluli pada kakinya.
Oleh itu, wanita tersebut turut menasihati orang ramai agar berhati-hati sewaktu menaiki gelongsor di lapangan terbang berkenaan.
Walaupun maklum balas telah dihantar kepada Changi Airport Group (CAG), dia menjelaskan masih tiada respon dikeluarkan.
Sumber: Motherships