Siakap Keli
kes buli
Sumber : BERNAMA

KPT Bekerjasama Dengan Kementerian Pertahanan Atasi Kes Buli Di ALK, UPNM

KPT Bekerjasama Dengan Kementerian Pertahanan Atasi Kes Buli Di ALK, UPNM

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) ingin menegaskan bahawa kementerian mengambil  serius terhadap kes buli yang berlaku di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) termasuk kes di Akademi Latihan Ketenteraan (ALK), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM). 

Terbaharu, dilaporkan seorang penuntut tahun satu ALK, UPNM disyaki cedera parah dengan keretakan tulang rusuk dan tulang belakang akibat dipijak penuntut senior dalam kejadian pada 21 Oktober lalu. Kejadian ini dikatakan hanya berlaku sehari sebelum kejadian  membabitkan seorang pelajar yang ditekap menggunakan seterika di bahagian dada  sehingga meninggalkan kesan lecur. 

KPT menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan akan  memberi kerjasama penuh untuk tindakan lanjut. Dalam masa sama, rawatan dan kebajikan pelajar yang cedera itu juga akan terus diberikan sebaiknya.  

PENTADBIRAN UPNM 

UPNM merupakan salah satu daripada 20 UA di bawah KPT namun mempunyai keunikan  dari sudut pentadbirannya kerana ia turut diuruskan oleh Kementerian Pertahanan. Pelajar UPNM tergolong kepada dua (2) kategori iaitu Pelajar Awam (sebanyak 80 peratus) dan  Pegawai Kadet (sebanyak 20 peratus). Dalam hal ini, pengurusan kedua-dua kategori pelajar  ini terbahagi antara pihak UPNM di bawah KPT dan Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) di  bawah Kementerian Pertahanan. 

Pelajar awam di UPNM adalah tertakluk kepada Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971  (AUKU). Manakala pelajar Pegawai Kadet di UPNM tertakluk kepada Akta Angkatan Tentera 1972 dan juga AUKU 1971. Namun begitu, untuk Pegawai Kadet, keseluruhan  pentadbirannya (kecuali akademik) merangkumi Latihan Ketenteraan dan perkara bukan  akademik adalah ditadbir oleh ALK di bawah Kementerian Pertahanan.

Dalam hal ini, KPT  sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Pertahanan bagi memastikan kelancaran setiap  aktiviti dan program yang diatur untuk pelajar UPNM dalam kedua-dua kategori pelajar. 

Keunikan pentadbiran di UPNM sedikit sebanyak memberi kesan kepada tindakan lanjut  apabila berlakunya sesuatu perkara seperti kes buli ini. Dalam perihal disiplin dan tatatertib,  semua pelajar termasuk pelajar kadet ALK ditadbir oleh Jawatan Kuasa Tatatertib Universiti  (JKTT) UPNM. Sekiranya pelajar kadet ALK dikenakan hukuman tatatertib oleh Universiti,  selain dari tindakan susulan yang diambil oleh UPNM berpandukan AUKU 1971, keputusan  tatatertib tersebut akan dilaporkan kepada ALK untuk tindakan selanjutnya oleh Majlis  Angkatan Tentera.

UPNM di bawah KPT bertanggungjawab ke atas urusan pengajaran dan pembelajaran (PdP),  kuliah dan aktiviti atau kegiatan pelajar dari jam 8.00 pagi sehingga jam 5.00 petang, dan  tanggungjawab ALK meliputi perkara disiplin ketenteraan, aktiviti di luar bidang akademik dan  latihan ketenteraan bermula jam 5.00 petang dan ke atas, termasuk hujung minggu atau hari  pelepasan am. Kedua-dua insiden buli yang dilaporkan berlaku di ALK di luar waktu  pengajaran dan pembelajaran.  

LANGKAH TANGANI  

Bagi memastikan keselamatan pelajar di kampus terjamin dan insiden tidak berulang, KPT  akan mengadakan perbincangan komprehensif bersama Kementerian Pertahanan termasuk  mengkaji semula dasar sedia ada untuk memperbaiki sistem disiplin dan prosedur bagi  menangani salah laku buli dengan lebih cekap.  

Selain itu, kerjasama rapat dengan agensi penguatkuasaan akan dijalankan jika terdapat  sebarang pelanggaran serius yang melibatkan undang-undang negara.  

Dalam masa sama, KPT turut berharap agar warga IPT sendiri menjadi ‘mata dan telinga’  dengan berani untuk tampil melaporkan kepada pihak berkaitan sekiranya terdapat kes salah  laku sebegini.  

Kejadian salah laku buli ini sedikit sebanyak memberi imej tidak baik kepada IPT yang menjadi  institusi untuk pembentukan ‘otak dan watak’ iaitu mempunyai tahap pemikiran dan  keperibadian yang seimbang dan baik.  

KPT ingin memberi amaran tegas kepada semua warga IPT untuk tidak melindungi atau terlibat dengan isu buli sebegini. Kementerian tidak akan berkompromi dan tindakan tegas  akan diambil sekiranya didapati bersalah.  

Nurul Naqiyah

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.