Kerjasama Strategik KPDN, MYDIN & Redtick Bagi Penambahbaikan Aplikasi PriceCatcher
SUBANG JAYA, 13 NOVEMBER 2024 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), pasar raya MYDIN dan Redtick pada hari ini telah menjalinkan kerjasama melalui Memorandum Persefahaman (MoU) berkait perkongsian data harga barangan dan produk melalui Aplikasi PriceCatcher. Kerjasama strategik ini dirintis bagi mendaya upaya pengguna untuk meningkatkan akses kepada maklumat berhubung harga barangan di pasaran dan sekali gus membuat perbandingan dan pilihan.
Aplikasi PriceCatcher memaparkan maklumat harga bagi 480 barangan keperluan pengguna yang dikemas kini secara harian (186 item), mingguan (220 item) dan bulanan (74 item). Ini meliputi beberapa kategori seperti barangan segar, barangan kering, barangan berbungkus, susu dan barangan bayi, produk kebersihan dan minuman. Sehingga 7 November 2024, aplikasi ini telah dimuat turun oleh 459,998 pengguna seluruh negara dengan kadar pelawat aktif sebanyak 10,000 seminggu.
Pada masa ini, paparan harga dalam aplikasi PriceCatcher diperolehi sepenuhnya melalui Pegawai Pemantau Harga (PPH) di lapangan menyebabkan data harga yang diperoleh untuk dimuat naik ke dalam aplikasi adalah terhad dari aspek liputan kawasan dan bilangan premis yang terlibat. Sehubungan itu, melalui pemeteraian MoU bersama pasar raya MYDIN dan Redtick menjadi usaha rintis untuk menambahbaik aplikasi ini melalui perkongsian data secara automasi oleh pasar raya terlibat untuk dipaparkan di dalam ruangan “Perkongsian Harga Pasar Raya.”
Komitmen perkongsian data harga oleh pasar raya ini juga merupakan inisiatif serampang dua mata dalam mempromosikan premis kepada pengguna sekali gus menggambarkan ketelusan urus niaga, etika perniagaan yang tinggi dan tidak mengambil kesempatan melalui amalan sorok harga terhadap pengguna selaras dengan konsep Biz-BERKAT.
MoU Perkongsian Data Harga oleh pasar raya Mydin dan Redtick ini akan menjadi penanda aras untuk diperluaskan ke pasar raya dan premis yang lain. KPDN menggalakkan keterlibatan lebih banyak sektor peruncitan dalam perkongsian data harga secara automasi melalui aplikasi PriceCatcher agar memberi lebih banyak manfaat kepada pengguna dalam membuat pilihan dan pertimbangan sebelumberbelanja.
Inisiatif kerjasama strategik di antara KPDN dan sektor peruncitan ini merupakan salah satu pendekatan untuk menambah baik dan memperkukuhkan kefungsian aplikasi PriceCatcher yang akan dijenamakan semula bersesuaian dengan agenda untuk menyemai budaya semak baru beli dalam kalangan pengguna.