Siakap Keli
majlis anugerah tangan emas perdana menteri

Majlis Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri (MATEPM) Dan Anugerah Tokoh Mahir (ATM) 2024 

Majlis Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri (MATEPM) Dan Anugerah Tokoh Mahir (ATM) 2024 

Putrajaya, 13 November 2024 – Majlis Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri  sememangnya merupakan acara tahunan yang dinantikan oleh pengamal Pendidikan dan  Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Malaysia. Anugerah ini merupakan acara tahunan peringkat kebangsaan bagi memberi pengiktirafan kepada individu yang cemerlang dalam pertandingan kemahiran peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Anugerah  Tangan Emas Perdana Menteri merupakan anugerah tertinggi yang diberikan kepada  pemenang terbaik keseluruhan dalam Pertandingan WorldSkills Malaysia Belia (WSMB)  dan WorldSkills Malaysia Pengajar (WSMP). 

Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) turut menganjurkan pertandingan JuniorSkills  Malaysia (JSM) dan WorldSkills Malaysia University Challenge (WSMUC). JSM  diperkenalkan bertujuan memilih dan mengiktiraf pelajar sekolah berumur 16 tahun dan ke bawah yang mempunyai potensi.

Ia memberi pendedahan mengenai Pendidikan dan  Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) pada peringkat lebih awal di kalangan pelajar-pelajar sekolah untuk memupuk minat generasi muda untuk menceburi kerjaya berasaskan kemahiran. Selain itu juga, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) bersama JPK telah mengambil  inisiatif untuk melaksanakan Pertandingan Kemahiran WSMUC 2024 yang merupakan  penganjuran program kali ketiga.

majlis anugerah tangan emas perdana menteri

Pertandingan di kalangan pelajar dan belia dari Institut  Pengajian Tinggi Awam dan Swasta (IPTA/IPTS) ini bertujuan untuk memperkenalkan  Future Skills iaitu bidang-bidang yang berkaitan dengan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0). 

Majlis berprestij ini juga turut menjadi platform penyampaian Anugerah Tokoh Mahir (ATM). Penganugerahan ini adalah bagi memberi penghargaan dan pengiktirafan terhadap peranan, sokongan dan sumbangan individu dalam memartabatkan bidang kemahiran ke peringkat peringkat nasional dan antarabangsa.

Anugerah ini akan diberikan kepada calon  yang aktif menggerakkan dan mempunyai pencapaian cemerlang dalam membangunkan  bidang latihan kemahiran serta sesuai dijadikan ikon dan sumber inspirasi kepada  masyarakat.  

majlis anugerah tangan emas perdana menteri

Penganjuran program seumpama ini merupakan antara usaha untuk memberi pengiktirafan  kepada belia dan tenaga pengajar yang telah menunjukkan kecemerlangan dalam bidang  masing-masing seterusnya dapat mempromosikan TVET di Malaysia. Majlis yang  disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof ini telah mengumpulkan lebih 1500 orang warga kemahiran dari pelbagai agensi awam dan  swasta dari seluruh negara. 

Pertandingan WorldSkills Malaysia Belia (WSMB), WorldSkills Malaysia Pengajar (WSMP),  Junior Skills Malaysia (JSM) dan WorldSkills Malaysia University Challenge (WSMUC) telah melibatkan penyertaan berjumlah seramai 1,537 orang di peringkat pra-kelayakan dan  penyertaan berjumlah seramai 457 orang di peringkat akhir. Pertandingan telah bermula  pada 14 Mei dan berakhir pada 4 Oktober 2024. Sebanyak 37 bidang dipertandingkan bagi  kategori belia (WSMB), 7 bidang kategori pengajar (WSMP) dan 4 bidang kategori junior  (JSM).  

Penganjuran pertandingan WSMB, WSMP dan JSM diurus setiakan oleh JPK dan KKR,  manakala pertandingan WSMUC pula diurus setiakan oleh JPK dan UniKL. Sejumlah lebih  23 tapak telah dijadikan lokasi pertandingan peringkat pra-kelayakan dan peringkat akhir.  Antaranya ABM Wilayah Timur, CIAST Shah Alam, Fanuc Mechatronics Klang, GIATMARA  GMI Bangi, KKTM Kuantan, KV SAS Banting, MyBIM Center Kuala Lumpur, PLPP Bangi,  Taylor’s University Subang Jaya, UiTM Cawangan Pulau Pinang, UniKL MFI, UniKL MIAT, UniKL MIDI, UniKL MITEC, UniKL MIIT, UniKL RCMP, UniKL MICET, UTeM Melaka,  WISDEC Banting, Hap Seng Body & Paint, TAR UMT, PERHEBAT, CIDB Tech Johor  Bharu, IKBN Kuala Langat, ILP Kuala Langat, Kolej Komuniti Selayang, PERHEBAT dan  IKM TSYA.

Majlis pengiktirafan ini diharap dapat mengubah persepsi masyarakat terhadap TVET  dengan memperlihatkan bidang ini sebagai pilihan kerjaya yang berprestij dan berpotensi  tinggi sekaligus menarik lebih ramai bakat muda. Komitmen dan iltizam yang tinggi antara  semua pihak yang berkepentingan berkaitan TVET dan sokongan pihak industri, pasti berjaya merealisasikan agenda pemerkasaan TVET seterusnya menjadi negara maju  berpendapatan tinggi tercapai seperti yang dihasratkan. Semoga TVET akan terus  berkembang dan menjadi pilihan utama dalam mencorak masa hadapan masyarakat. 

Nurul Naqiyah

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.