TVET Sukan: Hasrat Baharu Kementerian Belia Dan Sukan
Puchong, 13 November – Dalam usaha memperkasa tenaga mahir dalam industri sukan tanah air, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengorak langkah baharu dengan memperkenalkan TVET Sukan di Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS). Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh menyatakan hasrat ini semasa Sesi Libat Urus TVET Sukan sempena Simposium Kemahiran ILKBS 2024 (SKIL’24) di Spacerubix, Puchong hari ini.
Sesi Libat Urus TVET Sukan ini diadakan bertujuan untuk mengumpulkan maklum balas daripada pemegang taruh yang terdiri dari pihak industri, persatuan sukan dan agensi peneraju untuk memastikan TVET Sukan yang dirancang adalah selaras dengan keperluan industri.
Data Laporan Awalan Akaun Satelit Sukan 2022 menunjukkan industri sukan telah menyumbang RM49.5 bilion kepada ekonomi negara. Mengambil kira sumbangan ini, KBS telah menawarkan kursus Terapi dan Urutan Sukan dan Perkhidmatan Kedi Golf.
Menjelang 2025, KBS akan menawarkan Kursus Terapi Sukan secara jangka pendek di ILKBS seluruh negara. Kursus ini membuka peluang kemahiran kepada belia untuk menyumbang kepada industri sukan. Sejak 2015, ILKBS telah melahirkan 413 graduan dalam bidang Terapi Sukan dan 523 graduan dalam Perkhidmatan Kedi Golf.
KBS juga akan mula melaksanakan program TVET Sukan dalam bidang Pembinaan dan Penyelenggaraan Fasiliti Sukan, Permotoran Sukan (4 roda dan 2 roda) dan Fotografi Sukan.
Bagi merealisasikan hasrat untuk memacu TVET Sukan, KBS akan mentransformasikan IKBN Kuala Langat kepada Institut Kemahiran Sukan Negara (IKSN) pada tahun 2025. Ini akan menjadikan IKSN sebagai pusat utama TVET Sukan sekaligus berperanan sebagai peneraju bidang Teknologi Sukan di Malaysia.
Kerjasama strategik antara IKSN dengan Majlis Sukan Negara, Institut Sukan Negara, Sepang International Circuit, dan Kelab Golf Negara Subang dijangka akan memperkukuhkan lagi penawaran kursus baharu dalam TVET Sukan.