Festival Xporia Sains 2024: Stemulasikan Minda Anda Pusat Sains Negara Kuala Lumpur
Kuala Lumpur, 10 November 2024 – Pusat Sains Negara (PSN) mengadakan program tahunan Festival Xporia Sains 2024, dengan tema “STEMulasikan Minda Anda.” Ia telah diadakan dalam suasana meriah dengan kehadiran para guru, murid sekolah, ibu bapa, dan rakan-rakan strategik dari pelbagai kementerian dan agensi.
Program ini diadakan bertujuan untuk menyemarakkan budaya Sains, Teknologi, dan Inovasi (STI) dalam kalangan masyarakat melalui pendekatan pendidikan bukan formal, melibatkan pembelajaran berasaskan pengalaman dan didik hibur. Program Xporia Sains merupakan kemuncak kepada aktiviti STI tahunan PSN yang sentiasa dinanti-nantikan oleh pelbagai lapisan masyarakat di Malaysia.
Bersempena dengan transformasi digital yang semakin pesat, PSN membawa tema yang menekankan pentingnya pendidikan STEM dalam menghadapi perubahan teknologi seperti kecerdasan buatan, robotik, automasi, Internet of Things (IoT), dron, realiti maya, dan data raya. Xporia Sains 2024 yang berlangsung selama tiga hari akan menyajikan pelbagai aktiviti interaktif, pameran, bengkel, pertandingan, dan persembahan sains istimewa, dengan matlamat untuk mencetuskan inspirasi di kalangan murid dan masyarakat umum agar lebih berminat dalam bidang STEM.
MOSTI, menerusi PSN bersama Planetarium Negara, MRANTI, Akademi Sains Malaysia, Yayasan Inovasi Malaysia, dan pelbagai agensi lain, giat melaksanakan program pendidikan bukan formal untuk menyemai minat terhadap sains, teknologi, kejuruteraan, dan matematik dalam kalangan belia. Usaha ini selari dengan matlamat Kerajaan dalam mengukuhkan pembudayaan STI di Malaysia.
Selain itu, MOSTI melalui PSN berharap Xporia Sains 2024 menjadi pencetus dalam mencungkil lebih ramai bakat muda dan menyemai ‘jiwa STEM’ di kalangan generasi akan datang. Dengan kerjasama pelbagai pihak, MOSTI optimis bahawa inisiatif ini akan mengukuhkan lagi budaya STI di Malaysia. Majlis ini diakhiri dengan perasmian penutupan Xporia Sains 2024, sebagai tanda komitmen MOSTI dan PSN dalam memperkukuh pembudayaan STEM di seluruh negara.
Antara aktiviti menarik yang diadakan ialah Pertandingan Si Cilik Adiwira, Zon I STEM, Cabaran Xplorasi Sains, Cabaran Rodaria Xporia, Ceritera Sebalik Radas, Mini Zoo, Kupu-Kupu terbang dan banyak lagi. Selain daripada itu, tahun ini PSN menonjolkan penampilan khas Didi & Friends untuk pengunjung PSN.