Siakap Keli

“Potret Dalam Duit Kertas Pun Tak Kenal,” Ini Reaksi Ibu Bapa Pelaksanaan Semula PLKN 3.0

Ada cara tak nak elak daripada terlibat PLKN 3.0? Ada pengalaman escape yang berjaya tak? Apa akibat “lari” PLKN? Kelakar, tapi inilah antara persoalan yang kami jumpa di laman Reddit serta di ruangan komen mengenai berita PLKN 3.0.

Soalan yang sama kami ajukan kepada pengikut Facebook Siakap Keli dan hasilnya, pelbagai respon kami terima daripada mereka, baik yang bersetuju mahupun yang menolak pelaksanaannya. 

Saya sebagai penulis tidak berpeluang mengikuti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang lalu, tetapi ada beberapa orang rakan yang graduate PLKN dan rata-rata mereka memberikan ulasan yang positif.  Menurut mereka, pengalaman mengikuti PLKN telah banyak memberi impak positif terhadap semangat patriotisme dan jati diri mereka sebagai warga negara. Salah satu aspek yang mereka tekankan ialah bagaimana PLKN berjaya menyatukan peserta dari pelbagai latar belakang bangsa Melayu, Cina, dan India.  

Kesannya, semangat perpaduan antara kaum menjadi lebih kukuh, dan perasaan cinta terhadap negara semakin mendalam. Ini jelas menunjukkan bahawa PLKN bukan hanya memberi manfaat daripada segi kemahiran fizikal dan mental, tetapi juga memainkan peranan penting dalam mempererat hubungan sesama rakyat Malaysia.

PLKN 3.0 dilaksana bermula Januari 2025

Umum tahu, kerajaan mengumumkan pelaksanaan PLKN 3.0 yang akan bermula secara berperingkat bermula Januari tahun 2025. Kerajaan dalam Belanjawan 2025 juga turut mewar-warkan, peruntukan RM50 juta kepada Kementerian Pertahanan bagi memangku program PLKN 3.0 secara rintis dengan konsep baharu. 

Pengumuman ini menjadi lebih hangat apabila had umur peserta ditetapkan seawal umur 16 hingga 35 tahun.  Untuk rekod, PLKN diperkenalkan pada 2004 melibatkan pemilihan rawak belia berumur 18 tahun.  Namun, PLKN 3.0 pemilihan had umur bermula seawal 16 tahun, dua tahun awal daripada sebelumnya.  Bagaimana reaksi ibu bapa? 

Penulis berkesempatan menemuramah ibu bapa yang terdiri daripada kenalan terdekat mengenai pelaksanaan semula program ini. 

“Anak saudara saya merupakan bekas peserta PLKN 2006.  Sempat bertanyakan pengalamannya ketika dimasukkan ke PLKN Chenderiang, Tapah, Perak ketika itu. Awalnya, saya skeptikal kerana mana mungkin dalam tempoh tiga (3) bulan perkhidmatan, boleh mengubah sikap seorang anak muda kan? Ternyata saya salah. Menurutnya, banyak pelajaran kehidupan yang diterapkan. Belajar susah sebelum nak senang katanya. Sekaligus mengenang kesusahan dan perit jerih pejuang tanah air kita. Saya setuju program ini diwujudkan semula.  Malu bila tengok segelintir anak muda tak tau latar belakang gambar potret dalam duit kertas ringgit kita.  Tuanku Abdul Rahman tak kenal? Kalau berterusan, siapa lagi yang layak memimpin tanah air ini?”

– Pekerja swasta, Mohd Syafiq Salleh, 39 

“Kenapa asyik tuju yang buruk bila yang baik lagi banyak? Kerajaan dah umumkan pelaksanaan kali ini dengan pembaharuan dan penambahbaikan. Mungkin dulu ada beberapa modul yang tidak lengkap tetapi, saya percaya program ini bagus, ubah pola fikiran serta sahsiah diri. Jangan perlekeh usaha kerajaan, diri sendiri betulkan dulu. 

Lihat ini sebagai peluang.”

– Pekerja swasta, Nurul Haziqah

“Saya bersyukur sebenarnya bila program ini dilaksanakan semula.  Kalau dulu, ada yang sampai sukarela nak masuk PLKN.  Banyak yang saya baca, rata-rata peserta dulu bagi ulasan positif.  Bagi saya, ia menjadi salah satu platform atau perjalanan baru selepas alam persekolahan yang mampu mematangkan mereka.  

Saya harap program ini boleh menjadikan mereka lebih berdisiplin, menghormati satu sama lain tak kira bangsa dan umur serta bantu mereka cari hala tuju hidup yang sebenar. Tak salah nak jadi influencer atau YouTuber sekalipun, tetapi bagaimana untuk jadi seorang influencer yang berkualiti, menjadi contoh yang baik, role model sebenar sehingga mampu mengharumkan nama negara?”

– Pekerja swasta, Siti Rozita

“Wajar dilaksanakan semula program PLKN.  Anak-anak zaman sekarang perlu diterapkan asas berdikari.  Dengan modul yang bagus, PLKN mampu mencegah mereka dengan pelbagai cabaran dan gelombang arus kemajuan yang mungkin segelintir daripadanya terpengaruh dengan gejala tidak bermoral seperti lumba motor haram, buli, dadah dan sebagainya. 

Perubahan zaman dan pengaruh budaya mempengaruhi semangat atau jiwa remaja kini. Orang muda tidak dapat memikirkan ini semua kerana mereka tidak dilatih untuk memikirkan perkara-perkara ini. Pengaruh media juga sangat kuat. Jadi dalam konteks Khidmat Negara, kalau ia disusun dengan baik dan bijak oleh pihak yang diberi kuasa, ia akan memberi kesan yang baik juga. 

Tidak semua, tetapi dapat dilihat mereka ini kurang berminat dengan isu-isu kenegaraan apatah lagi soal pembentukan negara bangsa.  Pelaksanaan PLKN dilihat dapat menyuntik dan memupuk kembali nilai-nilai kenegaraan, khususnya dalam membangkitkan semangat patriotisme dan nasionalisme, seterusnya dapat mencorakkan pembentukan negara bangsa dalam kalangan generasi muda. Perubahan pemikiran gagasan negara bangsa dan kepentingan konsep kenegaraan juga dapat disesuaikan dengan jiwa dan naluri mereka.”

– Guru, Nur Ain Afiqah 

“Pada saya tak ada yang tak bagus.  Lepas habis SPM, baguslah dapat peluang seperti ini.  Selama ini mereka hanya terdedah dengan alam persekolahan sahaja, belum tahu macam mana dunia luar yang sebenar.  

Saya harap dalam program itu mereka didedahkan dengan budaya kerja sebenar. Apa yang majikan mahu? Bagaimana budaya kerja dalam sesebuah organisasi? Sebagai seorang pengusaha, saya ingin lihat anak muda kita mempunyai sikap yang berkualiti seperti jujur, amanah, ikhlas, bertanggungjawab, berkeyakinan, menunaikan janji, komitmen diri, di samping kemahiran kepimpinan dan kemahiran membuat pilihan. 

Ini fasa mereka mencari-cari identiti diri.  Saya yakin program ini akan amat membantu mereka menjadi pelapis negara seterusnya, berjiwa patriotik, juga berdaya saing dengan nilai-nilai murni yang tinggi.”

– Pengusaha lukisan mesin dan industri, Mohd

Nur Farra

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.