Waris Pendeposit Simpan SSPN Terima Manfaat Berjumlah Lebih RM129 Ribu
1. Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melalui Program Ziarah PTPTN Prihatin telah mengunjungi waris Allahyarhamah Hasnatul Adilah binti Hassan iaitu salah seorang pendeposit Simpan SSPN di kediaman beliau di Masjid Tanah, Melaka. Semasa kunjungan ini, YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, Ketua Menteri Melaka dan YBhg. Dato’ Seri Norliza Abdul Rahim, Pengerusi PTPTN telah menyerahkan replika kad manfaat perlindungan takaful dan khairat kematian Simpan SSPN kepada waris Allahyarhamah. Turut hadir, Puan Wan Zawiah Wan Abu Bakar, Pengurus Besar Kanan, Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran PTPTN dan Puan Mas Anisah Ayu Othman, Pengarah Negeri, Pejabat PTPTN Negeri Melaka.
2. Allahyarhamah Hasnatul Adilah binti Hassan, 49 tahun seorang guru meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya pada 8 Jun 2024 lalu. Allahyarhamah merupakan pendeposit Simpan SSPN Prime yang telah membuka akaun untuk dua (2) orang anak pada 15 Jun 2020 dan mempunyai simpanan yang melayakkan beliau menerima manfaat perlindungan takaful berjumlah RM1,230.86 berserta khairat kematian berjumlah RM2,000.00. Ini menjadikan keseluruhan manfaat Simpan SSPN Prime diterima berjumlah RM3,230.86.
3. Allahyarhamah juga telah membuka akaun Simpan SSPN Plus untuk dua (2) orang anak di bawah Pakej Intan dengan komitmen sebanyak RM30.00 sebulan iaitu untuk simpanan RM20.00 dan untuk caruman takaful sebanyak RM10.00. Melalui caruman takaful RM20.00 sebulan (bagi 2 akaun), beliau sebagai pendeposit Simpan SSPN Plus telah dilindungi dengan manfaat perlindungan takaful (kematian kemalangan) berjumlah RM120,000.00 dan khairat kematian berjumlah RM6,000.00. Ini menjadikan keseluruhan manfaat Simpan SSPN Plus yang diterima berjumlah RM126,000.00. Maka jumlah keseluruhan manfaat Simpan SSPN yang diterima adalah berjumlah RM129,230.86.
4. YBhg. Dato’ Seri Norliza Abdul Rahim, Pengerusi PTPTN berkata, “PTPTN berharap penabungan dalam Simpan SSPN dapat membantu meringankan beban kewangan waris pendeposit. Sememangnya nilai manfaat ini tidak dapat mengembalikan nyawa insan yang tersayang, namun dengan manfaat yang diterima dapat memastikan pendidikan anak-anak Allahyarhamah dapat diteruskan dan kelangsungan hidup mereka lebih terjamin. Sebagai sebuah agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), PTPTN sentiasa komited memastikan aspek pendidikan terpelihara.”

5. PTPTN mempunyai dua (2) produk simpanan iaitu Simpan SSPN Prime dan Simpan SSPN Plus yang menawarkan pelbagai kistimewaan dan manfaat. Keistimewaan Simpan SSPN Prime ialah perlindungan takaful percuma secara Ringgit ke Ringgit kepada pendeposit yang mempunyai simpanan RM1,000 dan ke atas sekiranya berlaku kematian/ ilat kekal menyeluruh kepada mereka. Selain itu, pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun, Geran Sepadan sehingga RM10,000.00 bagi satu keluarga yang layak, dividen yang kompetitif, patuh syariah dan simpanan dijamin Kerajaan.
6. Produk Simpan SSPN Plus pula menawarkan enam (6) pakej simpanan yang terdiri daripada simpanan dan perlindungan takaful yang komprehensif dengan komitmen bulanan serendah RM30.00 sebulan iaitu hanya RM1.00 sehari sahaja. Keistimewaan tambahan yang ditawarkan adalah manfaat perlindungan takaful sehingga RM1.2 juta, manfaat khairat kematian kepada pendeposit, pasangan dan anak-anak maksimum lima (5) orang anak, manfaat takaful penyakit kritikal, elaun kemasukan hospital, perlindungan takaful sehingga umur pendeposit 69 tahun dan manfaat ini tertakluk kepada Syarikat Pengendali Takaful yang dipilih oleh pendeposit. Selain itu, komitmen serendah RM30.00 sebulan untuk pakej intan dan tiada pemeriksaan kesihatan kecuali yang ingin membuka akaun pakej Berlian, hanya perlu menjawab tiga (3) soalan kesihatan.
7. Maklumat lanjut berkenaan Simpan SSPN boleh diperoleh melalui portal rasmi www.ptptn.gov.my atau aplikasi myPTPTN untuk perkhidmatan yang lebih mudah, cepat dan selamat.