Dua Projek Hospital Akan Dilaksanakan Di Seri Iskandar Dan Manjung
BANDAR SERI ISKANDAR, PERAK – Hari ini telah berlangsung sesi penyerahan dua projek pembinaan hospital kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selaku pemilik projek. YB Datuk Seri Dr. Haji Dzulkefly Ahmad, Menteri Kesihatan Malaysia, dan YBhg. Dato’ Seri Azman bin Ibrahim, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya (KKR) serta Pengurusan Tertinggi dari KKM dan KKR telah bersama-sama dalam majlis penyerahan ini.
2. Projek pertama yang diserahkan ialah pembinaan Hospital Seri Iskandar (HSI), Perak yang diluluskan dalam RMK-10 dengan kos kontrak semasa (sehingga 18 November 2024) bernilai RM153.18 juta. Projek ini dilaksanakan secara konvensional dalaman di bawah seliaan Pengarah Pasukan Projek Khas 1 (PPK1), Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia selaku Pegawai Penguasa. Tarikh milik tapak adalah pada 29 Oktober 2021 dan Perakuan Siap Kerja (CPC) bagi pembinaan projek ini telah dikeluarkan pada 28 Oktober 2024 mengikut jadual tarikh siap asal.
3. Pembangunan HSI dilaksanakan di atas tapak seluas 26.783 hektar (66.183 ekar) yang terletak di Lot 3, Bandar Seri Iskandar, Daerah Perak Tengah. Lokasi HSI amat strategik dibangunkan bersebelahan dengan Lebuhraya Ipoh-Lumut, berdekatan dengan kawasan perniagaan Bandar Seri Iskandar (2.2 kilometer) dan Bandar Universiti Petronas (600 meter).
4. Dengan adanya HSI, penduduk Bandar Seri Iskandar tidak perlu ke Hospital Changkat Melintang, Bota yang terletak kira-kira 16.1 km untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan. Ini sekaligus membantu Hospital Changkat Melintang untuk memberikan perkhidmatan lebih selesa kepada pesakit setempat kerana fasiliti sedia ada di hospital tersebut sudah tidak dapat menampung pertambahan jumlah pelanggan yang semakin meningkat untuk menerima rawatan dan perubatan.
5. Skop penyiapan projek HSI ini merangkumi pembinaan Blok Utama Hospital tiga tingkat berkapasiti 76 katil, Blok Mekanikal dan Elektrikal, tempat letak kereta berbumbung, blok sokongan seperti pondok pengawal, rumah sampah domestik, klinikal serta garaj ambulan. Pelaksanaan pembinaan projek ini menggunakan kaedah Sistem Binaan Berindustri atau Industrialised Building System (IBS) dengan memperolehi penilaian skor IBS melebihi 70%.
6. HSI dijangka berkeupayaan meningkatkan taraf perkhidmatan kesihatan kepada penduduk Bandar Seri Iskandar dan Daerah Perak Tengah melalui fasiliti perkhidmatan lawatan pakar (visiting specialist’s services) dari hospital berdekatan seperti Hospital Raja Perempuan Bainun, Hospital Teluk Intan dan Hospital Manjung. Selain itu HSI juga bakal menjadi pusat rujukan kepada klinik kesihatan berdekatan di dalam Daerah Perak Tengah.
7. Projek kedua yang berjaya diserahkan hari ini ialah projek pembinaan Blok Tambahan Hospital Seri Manjung (HSM), Perak. Tapak pembangunan Blok Tambahan HSM ini terletak di Lot 28673, Mukim Setiawan Daerah Manjung iaitu di tapak asal Hospital Daerah Manjung dengan keluasan 46.088 ekar.
8. Pembinaan Blok Tambahan HSM ini dibuat secara Reka dan Bina di bawah seliaan Pengarah JKR Negeri Perak selaku Pegawai Penguasa dengan kos kontrak semasa (sehingga 18 November 2024) bernilai RM65.14 juta. Tarikh Milik Tapak adalah pada 24 November 2020 dan Perakuan Siap Kerja (CPC) bagi pembinaan projek ini telah dikeluarkan pada 27 Ogos 2024.
9. Skop penyiapan projek Blok Tambahan hospital ini merangkumi pembinaan 22 Klinik Pakar, pusat jagaan harian (16 observation beds, 10 recliner), endoscope (2 suites dan 1 bronchoscopy room), empat dewan bedah, Unit Respiratori dan Hemodinamik (RHU), Wad Psikiatri (20 katil), Wad Pelbagai Disiplin (20 katil) dan jambatan penghubung berbumbung ke bangunan hospital sedia ada. Selain itu, turut dilaksanakan kerja menaik taraf bekalan elektrik di HSM serta peralatan perubatan. Pelaksanaan pembinaan projek ini turut menggunakan kaedah IBS dengan pencapaian skor IBS melebihi 70%.
10. Penaik tarafan infrastruktur HSM ini akan dapat meningkatkan taraf kesihatan penduduk sekitar dengan akses kepada perkhidmatan pakar seperti perkhidmatan pakar telinga, hidung dan tekak (ENT), pergigian dan psikiatri yang sekaligus dapat mengurangkan tempoh temujanji bagi pesakit yang memerlukan rawatan.
11. KKR ingin merakamkan penghargaan kepada KKM atas kepercayaan serta kerjasama dalam semua aspek pembinaan, khususnya dalam penyeliaan di tapak sehingga projek ini dapat disiapkan dengan jayanya. Segala pengalaman dan pengajaran (experience and lesson learned) amat berguna untuk dijadikan panduan dalam pelaksanaan projek – projek sebegini di masa hadapan ke arah pengurusan projek yang terbaik dari konteks kualiti, kos dan masa.
12. KKR turut menyeru kepada pihak kontraktor untuk terus melaksanakan tanggungjawab dalam tempoh tanggungan kecacatan (DLP) di mana pihak JKR akan terus memantau proses-proses pasca penyerahan bangunan supaya tiada perkara yang tertangguh dan dilaksanakan mengikut peraturan yang berkuatkuasa.