Kejadian Kegagalan Cerun Di Laluan Persekutuan FT185 Jalan Simpang Pulai
Ipoh, Perak – YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Kerja Raya telah turun padang hari ini ke Jalan Persekutuan FT185 Simpang Pulai – Blue Valley (Cameron Highlands) Seksyen 42.70 untuk meninjau sendiri keadaan kegagalan cerun yang berlaku baru-baru ini.
2. Pada 23 Oktober 2024 sekitar jam 8.00 pagi, Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Kinta telah menerima satu laporan kejadian tanah runtuh di Jalan Persekutuan FT185, Jalan Simpang Pulai – Blue Valley (Cameron Highlands) Seksyen 42.70, Daerah Kinta. Anggaran ketinggian runtuhan cerun adalah 70 meter dengan kelebaran sepanjang 100 meter.
3. Pelan Pengurusan Trafik di lokasi kejadian telah dilaksanakan serta-merta dengan penutupan satu lorong dengan kawalan dan pemantauan 24 jam dari pihak konsesi pada hari yang sama. Sepanjang tempoh pemantauan, didapati runtuhan cerun masih aktif dan penutupan jalan di kedua-dua lorong dilaksanakan sepenuhnya berkuatkuasa 25 Oktober 2024 jam 5.00 petang bagi mengelakkan risiko kemalangan.
4. Jalan alternatif telah dikenalpasti iaitu melalui laluan FT059, Jalan Tapah – Cameron Highlands. Kenyataan penutupan jalan dan laluan alternatif telah dikeluarkan di media sosial dan papan tanda amaran telah dipasang di lokasi-lokasi strategik bagi memudahkan pengguna jalan raya merancang perjalanan dan menggunakan laluan alternatif tersebut.
5. Siasatan lanjut telah dijalankan oleh Cawangan Kejuruteraan Cerun (CKC), Ibu Pejabat JKR Malaysia bagi mengenalpasti punca runtuhan dan kaedah pembaikan yang akan dilaksanakan. Pemantauan berterusan dijalankan sebagai langkah persediaan awal untuk sebarang kemungkinan yang akan berlaku.
6. Kerja-kerja pembersihan tanah secara kecemasan telah dilaksanakan di tapak bermula pada 1 November 2024. Skop kerja kecemasan yang telah diluluskan di lokasi tanah runtuh tersebut antara lain meliputi kerja pembersihan tanah, pemasangan plastik kanvas serta pemasangan gabion. Pihak JKR menjangkakan keseluruhan kerja sebagaimana dalam Skop Kerja Kecemasan akan siap pada hujung Disember 2024 manakala laluan kepada semua trafik bagi laluan tersebut dijangka akan dibuka semula pada 25 November 2024.
7. Berdasarkan siasatan dan kajian, CKC-JKR mengesyorkan kerja pembaikan kekal dilaksana segera menggunakan kaedah kerja samada (i) Soil Nailing dan Gunite atau (ii) Slope Reprofile, Soil Nailing Dan Hydroseeding atau (iii) Rockshed.
8. Bahagian Perancang Jalan, Kementerian Kerja Raya telah memajukan permohonan peruntukan dan kelulusan Projek Rolling Plan 5, Rancangan Malaysia Ke-12 untuk kerja pembaikan kekal bagi cerun ini.