Siakap Keli

KL Chinatown Festival 2024: Rayakan Warisan & Budaya Dari 29 Nov hingga 1 Dis

Dalam usaha meraikan warisan dan kepentingan budaya Chinatown, sekumpulan pemimpin komuniti dan rakan kongsi tempatannya bakal menganjurkan KL Chinatown Festival yang julung-julung kali diadakan mulai 29 November hingga 1 Disember 2024 dalam usaha meraikan warisan serta kepentingan budaya Chinatown sekali gus menjadikan kawasan ini sangat istimewa. Festival ini akan diadakan di seluruh Chinatown termasuk mercu tanda budaya dan seni bina seperti REXKL, Kwai Chai Hong dan Lorong Panggung.

Tidak dilupakan juga pelbagai premis perniagaan, kafe, ruang seni tempatan dan banyak lagi. Festival ini bakal mencipta satu sambutan seni, budaya dan masyarakat yang mendalam lantas mebangkitkan semangat Chinatown melalui penyatuan para pesertanya. 

Chinatown telah sekian lama menjadi tunjang budaya dan landskap bersejarah bagi Kuala Lumpur. Jalan-jalannya yang meriah penuh dengan kekayaan warisan Malaysia memperlihatkan kuil yang berusia berabad lamanya, pasar-pasar yang meriah dan rumah kedai tradisional wujud bersama-sama dengan ruangan moden serta kontemporari termasuk ruang acara muzik, kedai F&B dan galeri seni (contohnya RXPKL, galeri seni digital yang terbesar di Malaysia dan banyak lagi). Gabungan unik antara yang lama dan baharu ini telah membentuk sifat unik Chinatown lalu menjadikannya bukan sahaja khazanah budaya bahkan sebuah simbol masyarakat, kreativiti serta daya tahan.

Bertitik tolak daripada kejayaan sambutan ulang tahun ke-5 REXKL dan mini-festival REXFEST pada tahun 2023, KL Chinatown Festival telah berkembang dari segi skala dan aspirasi. Sambutan kebudayaan selama 3 hari ini menggabungkan pesona dunia lama dengan kreativiti moden yang memaparkan kepelbagaian persembahan muzik dan budaya, binaan seni serta pengalaman kebudayaan. Berdasarkan tema “Together Gather”, festival ini menghimpunkan komuniti tempatan dan kreatif untuk meraikan Chinatown, memupuk inklusiviti dan penglibatan sambil mereka bersama-sama menghidupkan KL Chinatown Festival

“Festival ini diwujudkan untuk menghimpunkan pelbagai pihak penting yang merangkumi perniagaan yang telah lama bertapak hingga ke ruang kontemporari. Semua ini disatukan oleh satu visi bersama demi masa depan Chinatown. Festival ini adalah langkah pertama bagi komitmen kita untuk memastikan Chinatown kekal hidup dan meriah, bukan sekadar ketika ada festival berlangsung tetapi menerusi aktiviti-aktiviti sepanjang tahun yang melibatkan komuniti. Kami mahu memupuk semangat kekitaan dan kreativiti agar dapat memastikan kesan positif yang berkekalan di Chinatown dengan berganding bahu bersama rakan kongsi tempatan,” menurut Shin Chang, pengasas bersama KL Chinatown Festival. 

Dengan kerjasama peniaga-peniaga tempatan di Chinatown, kolaborasi ini menampilkan kepelbagaian budaya dan bakat tempatan yang ada di Malaysia. “Kami menyasarkan kehadiran seramai 10,000 orang ke KL Chinatown Festival pada tahun ini. Festival ini meraikan rakyat Malaysia dari pelbagai pelosok kehidupan sambil mempamerkan keunikan perpaduan budaya yang mentakrifkan Chinatown. Dengan menghayati bakat dan kreativiti tempatan, festival ini turut memperkayakan landskap budaya kita dan menyokong ekonomi tempatan. Anda akan dapat menyaksikan barisan artis tempatan yang menakjubkan termasuk artis indie tempatan seperti babychair, Tasneem, Straw Lim, dan Colbie Ong, bersama DJ/penyanyi Shelhiel, Core Values dan banyak lagi. Persembahan budaya seperti persembahan perkusi pelbagai budaya, opera Cina, serta aktiviti menarik seperti KL Heritage Walk turut menjadi sebahagian daripada festival kami yang pelbagai.” kata Lim Kok Kean, pengasas bersama dan pengarah festival bagi KL Chinatown Festival.

KL Chinatown Festival bukan berkisar tentang satu daerah sahaja; ia adalah sebahagian daripada misi yang lebih besar untuk mengubah mercu tanda penting seperti REXKL, Jalan Sultan, Lorong Panggung dan Kwai Chai Hong menjadi destinasi kebudayaan yang meriah lantas mewujudkan kesan berterusan yang positif. Impak yang berlaku akan menjadi pemacu kepada Chinatown dan kawasan bandar Kuala Lumpur. Festival ini merupakan langkah pertama untuk menyediakan pentas buat edisi masa hadapan. Festival ini berkisar tentang memacu peninggalan budaya Malaysia ke pentas dunia melangkaui Chinatown dan KL sekali gus menjadikan KL sebagai destinasi pelancongan kebudayaan yang memperlihatkan pertembungan antara kreativiti dan perdagangan.

Untuk maklumat lanjut mengenai KL Chinatown Festival, ikuti @klchinatownfest di InstagramFacebook, dan TikTok sekarang!

Nur Farra

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.