Siakap Keli
Tahun Hadapan Makin Mencabar

Tahun Hadapan Makin Mencabar, Ini ‘Plan’ Terbaik Malaysia Nak Hadapi ‘Pergolakan 2025’

Tahun Hadapan Makin Mencabar, Ini ‘Plan’ Terbaik Malaysia Nak Hadapi ‘Pergolakan 2025’

Pejam celik, pejam celik, rupanya tidak kurang dua bulan je lagi nak masuk ke tahun 2025. Walaupun dirasakan waktu berjalan begitu pantas, namun pelbagai cabaran dan perubahan yang berlaku sepanjang tahun ini berjaya kita tempuhi dan hadapi. Walau bagai#manapun, kita tidak menolak bahawa tahun hadapan mungkin makin mencabar daripada pelbagai segi yang juga terpaksa kita hadapi.

Antaranya adalah cabaran global yang secara tidak langsung akan mempengaruhi pelbagai perkara di negara kita. Kita ambil contoh seperti perang tarif yang semakin tidak dapat diramalkan sehingga kini, ditambah pula dengan konflik yang seakan tidak habis-habis di Timur Tengah, serta perubahan iklim yang dilihat semakin teruk. Kesemua cabaran ini juga secara tidak langsung akan menjejaskan rantaian bekalan barang, di mana ia akan memberi kesan kepada kenaikan harga barang. Sudah pasti kita tak mahu perkara ini berlaku, sebab itulah perlu ada perancangan yang rapi untuk menangani cabaran ini. Bukan apa, jika tidak ditangani dengan serius, pelbagai sektor akan terkesan, dan lebih parah jika yang menanggungnya adalah rakyat Malaysia sendiri. Harga barang akan naik, tiada pelancong yang masuk ke negara ini, tiada pelaburan yang dibuat, inilah perkara yang mahu kita elakkan.

Ya, kita sudah jangkakan perkara ini, tak kan lah Malaysia nak duduk diam ja tanpa sebarang perancangan yang rapi kan? 

Pernah dengar tentang kerangka Ekonomi MADANI? Ya, inilah resipi yang akan kita gunakan untuk berhadapan dengan cabaran-cabaran ekonomi pada tahun 2025. Kerajaan telah menggariskan tiga teras utama dalam rangka kerja ini untuk meningkatkan nilai ekonomi Malaysia dan juga memastikan taraf hidup rakyat Malaysia juga ditambah baik. Melalui teras-teras ini jugalah Malaysia akan dapat mempertingkatkan ekonomi dan juga keselamatan makanan negara jadi lebih terjamin.

Tiga teras yang dimaksudkan adalah Menaikkan Siling, Menaikkan Lantai dan juga Tadbir Urus. Menariknya, ketiga-tiga teras ini dijadikan sebagai elemen terpenting dalam Belanjawan 2025 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada 18 Oktober yang lalu, bagi merealisasikan kerangka Ekonomi MADANI ini.

Tahun Hadapan Makin Mencabar

Menaikkan Siling

Secara ringkasnya, kerajaan berpendirian untuk tidak lagi menumpukan kepada projek ‘mega’ berskala besar yang menyebabkan pertambahan hutang negara, namun manfaat yang terhad kepada penduduk yang semakin ramai. Kini, Kerajaan akan memberi lebih tumpuan kepada projek yang menjana pulangan ekonomi yang lebih tinggi di samping memberi manfaat kepada rakyat. Sebagai contohnya, peluang pekerjaan akan terbuka luas dan taraf hidup rakyat akan semakin baik.

Disebabkan itu, pelbagai rancangan untuk meningkatkan produktiviti dengan mengutamakan sektor nilai seperti Elektrik & Elektronik (E&E), industri hijau dan semikonduktor. Kita ambil semikonduktor sebagai contoh, tahu tak yang permintaan global bagi semikonduktor dijangka mencecah AS$1 trilion (RM4.69 trilion) menjelang 2030 dengan unjuran pertumbuhan berterusan. Setakat sekarang, eksport semikonduktor ini menyumbang  40% daripada jumlah eksport negara menjadikan Malaysia di tempat keenam sebagai pengeksport terbesar dalam sektor ini.

Melihat kepada perkembangan teknologi seperti kecanggihan robotik, FinTech dan juga kecerdasan buatan (AI), Kerajaan telah menawarkan potongan cukai khas untuk institusi swasta yang membangunkan kursus-kursus ini.

Teras ini juga akan memangkin kepada perkongsian Awam-Swasta (PPP) dengan mengutamakan strategik projek infrastruktur seperti RTS Link Johor-Singapura, perluasan Kulim Hi-Tech Park dan juga pembangunan khusus negeri lain seperti Taman Perindustrian Hijau Bersepadu di Perak. Tak hanya itu, rangkaian 5G kedua pun sedang giat dilaksanakan kerana dijangka ia akan mewujudkan peluang pekerjaan baharu yang berpendapatan tinggi.

Teras ini juga turut memfokuskan terhadap teknologi hijau & tenaga yang boleh diperbaharui dan juga memberi kemudahan kepada perusahan kecil dan sederhana (PKS). Selain itu, teras ini turut melibatkan pelaburan strategik oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan juga memberi fokus terhadap pembuatan termanju/automasi. Keselamatan tenaga yang dipertingkatkan, pendidikan dan pembangunan kemahiran serta Cukai Minimum Global (GMT) turut menjadi aspek di dalam teras yang pertama ini.

Pergolakan 2025

Menaikkan lantai 

Bagi berdepan dengan cabaran global yang dijangka menjadi lebih mencabar, Kerajaan melalui kerangka Ekonomi MADANI juga tidak mengetepikan elemen menaikkan taraf hidup dan mengukuhkan keselamatan sosial. Melalui teras ini, kerajaan akan berusaha meningkatkan produktiviti, meningkatkan pendapatan negara dan menjadikan Malaysia sebagai destinasi yang lebih menarik pelaburan bernilai tinggi.

Tapi bagaimana? Secara formulanya, jika taraf hidup rakyat bertambah baik, dan keselamatan sosial semakin kukuh, maka produktiviti akan bertambah dan secara tak langsung dapat mencapai hasrat-hasrat tersebut. Salah satunya, kerajaan akan menaikkan gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700 bermula 1 Februari 2025. Jangan hanya memandang pada angkanya sahaja, tapi cuba lihat kepada kesannya terhadap ekonomi domestik pada masa akan datang. Rakyat akan berbelanja dan secara tak langsung beri manfaat kepada sektor seperti Perusahan Kecil dan Sederhana. Kenaikan gaji ini juga dianggap seiring dengan pertumbuhan ekonomi jangka panjang.

Dalam rangka kerja ini, Kerajaan juga akan memperuntukkan dana tambahan untuk membasmi kemiskinan tegar supaya mereka ini dapat keluar daripada kelompok itu dan menaik taraf kehidupan yang lebih baik. Sebagaimana contoh, Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) boleh meringankan beban kewangan rakyat Malaysia yang layak. Menariknya, peruntukan untuk kedua-dua sumbangan ini akan ditambah kepada RM13 bilion, daripada RM10 bilion.

Hasrat Kerajaan mahu menaikkan taraf kehidupan rakyat bukanlah hanya cakap kosong, kerana pelbagai lagi inisiatif yang akan direalisasikan. Antaranya adalah menyediakan skim perlindungan sosial, menawarkan perumahan mampu milik, membuka lebih banyak peluang pekerjaan, penambahbaikan pengangkutan awam, memberikan pendidikan kepada golongan kurang berkemampuan dan banyak lagi yang korang boleh ikuti melalui pembentangan Belanjawan 2025 pada 18 Oktober lalu.

Tadbir Urus

Melalui kerangka Ekonomi MADANI, Kerajaan meletakkan komitmen tinggi bagi membaiki kewangan kerajaan yang sebelum ini agar dapat ditambah baik. Perkara ini supaya wang kerajaan tidak akan dibazirkan lagi dan hanya dibelanjakan semata-mata untuk kepentingan rakyat sahaja.

Kerajaan berpendirian untuk tidak lagi menumpukan kepada projek ‘mega’ berskala besar yang menyebabkan pertambahan hutang negara, namun manfaat yang terhad kepada penduduk yang semakin ramai. Perkara ini sudah pasti boleh dilakukan melalui proses tadbir urus yang memberi tumpuan kepada usaha untuk memulihkan disiplin fiskal, perkemaskan penyampaian perkhidmatan awam dan memastikan sumber digunakan secara cekap dan telus.

Bertepatan dengan usaha untuk mengawal hutang negara, Kerajaan komited untuk mengurangkan defisit daripada 5% pada 2023 kepada 4.3% tahun ini dan dianggarkan untuk menurun lagi kepada  3.8% menjelang 2025 — dengan matlamat lebih panjang untuk mencapai angka 3% atau lebih baik. Ini akan dicapai melalui pengurangan berperingkat dalam peminjaman, dengan hutang bersih baharu dijangka turun kepada RM80 bilion menjelang 2025.

Bagi merealisasikan usaha ini, Kerajaan juga turut membuat reformasi terhadap subsidi yang sebelum ini diberikan secara menyeluruh, namun kali ini hanya akan memfokuskan terhadap isi rumah yang berpendapatan rendah. Ini termasuk subsidi untuk bahan api RON95, elektrik dan diesel yang dipelihara untuk 85% daripada penduduk, bagi yang berpendapatan tinggi & bukan warganegara akan menanggung kos penuh.

Usaha ini dimulakan melalui pendaftaran ID Digital yang dibangunkan dengan membawa objektif sebagai suatu platform pengesahan yang dipercayai baka dimanfaatkan oleh sektor awam dan swasta dalam mengesahkan identiti pengguna masing-masing. Pada peringkat awalnya, kerajaan telah memperuntukkan RM80 juta untuk menyegerakan pelaksanaan ID Digital Nasional ini. Menurut Perdana Menteri, jika mahu diberi subsidi bersasar atau kemudahan lain, ia mesti bermula dengan pendaftaran ID Digital.

Nak pastikan tadbir urus yang telus, mestilah elemen rasuah perlu diteliti sedalam-dalamnya kan. Korang jangan ingat tiada apa-apa tindakan daripada Kerajaan berkenaan perkara ini tau. Korang nak tahu, Suruhan Pencegahan Rasuah (SPRM) mendapat belanjawan yang lebih besar bagi memerangi jenayah ini. Tak cukup dengan itu, Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR) telah ditubuhkan bagi tangani ketidakcekapan dalam perkhidmatan awam. Seperti elemen seterusnya dalam teras ini, Kerajaan sedang komited memperbaharui proses perolehan awam dengan perkenalkan RUU Perolehan Kerajaan (Rang Undang-Undang Perolehan Kerajaan) supaya semua perolehan adalah telus, adil dan bertanggungjawab.

Antara lain dalam teras ini adalah pengauditan dan ketelusan kewangan, pengawasan parlimen dan pengukuhan institusi, reformasi undang-undang, dan juga meningkatkan keselamatan siber.

Jika dilihat semula ketiga-tiga teras di dalam kerangka Ekonomi MADANI ini, jelasnya Kerajaan lebih cenderung untuk menangani isu yang telah lama wujud dalam ekonomi sambil menumpukan kepada peningkatan kualiti hidup rakyat Malaysia. Setiap teras mempunyai objektif masing-masing, dan begitu jugalah usaha Kerajaan bagi memastikan apa yang dibentangkan melalui Belanjawan 2025 dapat direalisasikan agar mengangkat martabat rakyat dengan lebih tinggi.

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.