Siakap Keli
potensi pelaburan
Sumber : BERNAMA

Lawatan Perdana Menteri Ke Republik Korea Raih RM32.8 Bilion Potensi Pelaburan, RM1.3 Bilion Potensi Eksport 

Lawatan Perdana Menteri Ke Republik Korea Raih RM32.8 Bilion Potensi Pelaburan, RM1.3 Bilion Potensi Eksport  

Lawatan Rasmi Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim ke Republik Korea (ROK)  dari 24-26 November 2024 telah berjaya menjana potensi pelaburan sebanyak RM32.8 bilion dan potensi eksport sebanyak RM1.3 bilion untuk Malaysia.  

Potensi pelaburan merangkumi sektor-sektor kimia, automotif termasuk kenderaan  elektrik (EV), logam untuk aplikasi EV, biofarmaseutikal, serta teknologi hijau seperti  teknologi pemerangkapan, dan penyimpanan karbon (Carbon Capture and Storage – CCS) dan hidrogen/ammonia hijau. Bagi potensi eksport pula, produk yang bakal  diimport oleh ROK dari Malaysia termasuk minyak sawit, bahan bakar bio, produk makanan serta bahan kegunaan industri francais (seperti sarung tangan industri). 

Kejayaan ini mencerminkan keyakinan pelabur dan pengimport Korea terhadap landskap ekonomi Malaysia, sekali gus memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai  rakan dagang yang dipercayai oleh ROK. YAB Perdana Menteri turut diiringi oleh YB  Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Aziz, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan  Industri. 

Potensi pelaburan dan potensi eksport ini telah berjaya dijana dari enam sesi pertemuan  bersama syarikat-syarikat utama ROK yang telah diaturkan oleh Kementerian  Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI). Antara syarikat-syarikat tersebut adalah  Hyundai Motor Company, OCI, Samsung Group, SK Group, POSCO Group dan Lotte  International Co. Ltd. Selain itu, MITI juga telah mengatur satu sesi khas (C-suite Insight  Session) untuk YAB Perdana Menteri bertemu dengan Pengerusi Federation of Korean  Industries (FKI), pengerusi, presiden dan ketua pegawai eksekutif dari 7 syarikat utama  di ROK, yang telah berkongsi pelan-pelan projek mereka di Malaysia.

Tengku Zafrul berkata, “ROK merupakan rakan perdagangan yang penting dan salah  satu pelabur yang utama di Malaysia. Justeru, kami mengalu-alukan potensi pelaburan  RM32.8 bilion, serta potensi eksport RM1.3 bilion oleh syarikat-syarikat ROK yang pasti  akan memperdalamkan hubungan perdagangan dan pelaburan dua hala Malaysia-ROK. 

Kami mengalu-alukan kerjasama dalam pelbagai bidang baharu dan berpotensi tinggi seperti otomotif, tenaga boleh baharu, teknologi hijau, industri halal, pembuatan maju  dan kecerdasan buatan (artificial intelligence), terutamanya dengan hubungan diplomatik dinaif taraf ke Kerjasama Strategik (Strategic Partnership). Kerjasama ini  akan membolehkan kita merebut peluang baharu dan seterusnya mencapai objektif  Pelan Induk Perindustrian Baharu Malaysia (NIMP) 2030 yang bakal memberi impak positif kepada ekonomi.” 

MITI melalui MATRADE juga mengaturkan penyertaan 9 syarikat Malaysia dan 1 dewan  perniagaan dalam lawatan rasmi ke ROK. Sebanyak 50 program padanan perniagaan  yang diaturkan telah membolehkan syarikat Malaysia dan ROK membina kerjasama dan  kolaborasi perniagaan pada masa hadapan. 

Sebuah Forum Perniagaan Malaysia-Korea juga telah diadakan dengan penyertaan  seramai 210 peserta, mewakili 147 syarikat Korea dari pelbagai industri seperti  semikonduktor, perlombongan, teknologi kewangan (fintech), aeroangkasa, bahan  kimia, dan makanan. Forum Perniagaan ini telah memberi peluang kepada syarikat syarikat ROK untuk berinteraksi secara aktif dengan YAB Perdana Menteri dan YB Menteri MITI.

Semasa Forum Perniagaan tersebut, YAB Perdana Menteri telah berkongsi  mengenai dasar-dasar Malaysia serta komitmen Kerajaan untuk kekal dengan  pendekatan mesra perniagaan dan pelabur, di samping mempromosi Malaysia sebagai  negara perdagangan dan industri global yang kompetitif. 

Mengambil kesempatan ini, YB Menteri MITI juga mengadakan mesyuarat dua hala  dengan Menteri Perdagangan, Kementerian Perdagangan, Industri dan Tenaga (MOTIE) ROK, TYT Cheong Inkyo untuk membincangkan pelbagai isu, termasuk status rundingan  Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Korea (MKFTA) yang dijangka dimuktamadkan  pada tahun hadapan. Kedua-dua Menteri turut menyaksikan pertukaran tiga (3) Memorandum Persefahaman (MOU) antara syarikat-syarikat Malaysia dan Korea dalam bidang promosi perdagangan, komunikasi maklumat dan teknologi serta hidrogen dan  pembangunan bandar pintar.  

Malaysia dan ROK mempunyai hubungan perdagangan dan pelaburan yang kukuh serta dinamik sepanjang dekad yang lalu. Bagi sepuluh bulan pertama tahun ini, prestasi  perdagangan global Malaysia menunjukkan daya tahan yang membanggakan, dengan  peningkatan sebanyak 9.3% berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu. Dalam  tempoh ini juga, perdagangan dua hala antara Malaysia dan ROK mencapai RM91.11  bilion (USD19.84 bilion), terdapat sedikit penurunan sebanyak 0.8% berbanding  tempoh yang sama pada tahun 2023. Meskipun begitu, ROK tetap kekal sebagai salah  satu daripada sepuluh rakan dagang utama Malaysia. 

Dari segi pelaburan asing pula, ROK adalah salah satu negara sumber pelabur terpenting  dalam sektor pembuatan sejak tahun 1980. Sehingga Jun 2024, jumlah nilai pelaburan  dengan penyertaan ROK yang telah dilaksanakan adalah sebanyak 399 projek bernilai  RM43.9 bilion (USD11.7 bilion) dan telah mewujudkan sebanyak 49,234 peluang  pekerjaan. Daripada jumlah pelaburan tersebut, sektor pembuatan melibatkan 392  projek bernilai RM43.1 bilion (USD11.5 billion) manakala sektor perkhidmatan melibatkan 7 projek bernilai RM800 juta (USD183.3 juta).  

Nurul Naqiyah

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.