Ibu Tunggal, Anak Berusia Empat Tahun Maut Dibunuh
SULAWESI UTARA — Seorang wanita dan anaknya yang berusia empat tahun maut dibunuh seorang lelaki dalam satu kejadian di Kampung Tariang Baru, Kecamatan Tabukan Tengah pada Khamis, lapor Tribunnews.
Menurut Ketua Polis Daerah Sangihe, Asisten Komisioner Polis Michael Thamsil, motif kejadian dipercayai akibat cemburu.
Berdasarkan siasatan awal, suspek, 23, yang juga teman lelaki mangsa, 28, mengesyaki ibu tunggal terbabit ada menjalin hubungan lain selepas mendapati terdapat transaksi wang berjumlah 5 juta Rupiah (sekitar RM1,400) dan 2 juta Rupiah (sekitar RM560) ke dalam akaun bank mangsa.
Susulan itu, suspek gagal mengawal emosi dan bertindak mengambil parang lalu masuk ke dalam bilik dua beranak itu.
“Pelaku masuk ke dalam rumah mangsa melalui tingkap yang tidak berkunci bersama parang,” kata Michael.
“Ketika itu, suspek melihat mangsa yang sedang bersama anaknya yang sedang tidur. Suspek sempat bertanyakan beberapa soalan berhubung identiti lelaki itu, namun mangsa enggan menjawab,” katanya.
Suspek mendesak mangsa termasuk cuba merampas telefon bimbit sehinggalah mangsa mengaku wang tersebut diberikan oleh bekas suaminya untuk keperluan anak.
Bagaimanapun, suspek yang tidak mempercayai perkara tersebut bertindak membunuh dua beranak itu.
Kejadian itu bagaimanapun disedari oleh saksi, yang segera melaporkan kes tersebut manakala suspek melarikan diri.
Bagaimanapun, suspek berjaya ditangkap kurang 24 jam oleh pihak berkuasa tempatan di Pelabuhan Bitung.
Turut dirampas adalah senjata pembunuhan berupa sebilah parang, baju kesan darah dan telefon bimbit milik mangsa.
Kata Michael, kes disiasat di bawah Pasal 340 KUHP pembunuhan berancang dengan hukuman penjara seumur hidup.
Sumber: Tribunnews