KPKT Salur RM156 Juta Untuk Pembangunan Dan Kesejahteraan Rakyat Di Negeri Kelantan
KOTA BHARU, 27 November 2024 – Kerajaan MADANI telah mengumumkan peruntukan pembangunan sebanyak RM156 juta untuk negeri Kelantan, termasuk RM150.4 juta daripada KPKT dan RM5.5 juta daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM).
Peruntukan ini disalurkan bagi tujuan pembangunan dan kerja-kerja menaik taraf kemudahan awam sempena siri jelajah Sentuhan Kasih 2.0 ke Negeri Kelantan hari ini.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Tuan Nga Kor Ming (YB KM) bersama pasukan KPKT telah turun padang meninjau projek menaik taraf Pasar Siti Khadijah. Beliau telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM1.5 juta untuk projek menaik taraf Pasar Siti Khadijah. Ini menambah jumlah peruntukan untuk pasar tersebut sehingga RM6.5 juta dan akan digunakan untuk kerja-kerja mengecat struktur besi bumbung Laman Siti Khadijah dan membaik pulih struktur konkrit dalam pasar besar Siti Khadijah.
Selain itu, KPKT juga telah memperuntukkan RM48 juta untuk projek pembangunan Landskap Perbandaran Kota Bharu serta RM12 juta untuk projek menaiktaraf gerai dan dataran Pantai Cahaya Bulan.
Secara keseluruhannya, peruntukan KPKT sebanyak RM150.4 juta untuk pembangunan dan menaik taraf infrastruktur awam di negeri Kelantan, antaranya meliputi projek-projek seperti berikut:
i. RM48 juta untuk projek pembangunan landskap perbandaran Kota Bharu di Pusat Bandar Kota Bharu;
ii. Projek Rumah Mesra Rakyat (RMR) sebanyak RM35.9 juta untuk 448 unit rumah di bawah Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB). Kesemua RMR ini telah siap dibina pada tahun 2024;
iii. RM30.1 juta untuk projek-projek di bawah Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT), termasuklah:
a) pembinaan pasar baru di Jalan Binjai, Kota Bharu (RM4 juta);
b) Pasar Siti Hajar, Pasir Puteh (RM3.34 juta) dan;
c) projek-projek pembangunan yang lain seperti baik pulih tandas awam, naik taraf gerai dan pembaikan jalan.
iv. RM13.2 juta di bawah Bahagian Perancangan Perumahan KPKT termasuklah:
a) Program Residensi Rakyat (PRR) Kadok;
b) Program Perumahan Rakyat (PPR) Ayer Lanas, Jeli;
c) Program Perumahan Rakyat (PPR) Gual Ipoh, Tanah Merah dan;
d. Program Perumahan Rakyat (PPR) Machang
v. RM10.8 juta di bawah Bahagian Kesejahteraan Komuniti untuk membaik pulih 410 unit rumah usang atau daif serta membina 31 unit rumah baharu di kawasan bandar Kelantan.
vi. RM4.3 juta bagi projek bina baharu dan baik pulih Kampung Baru.
vii. RM3.5 juta di bawah Jabatan Landskap Negara untuk pelaksanaan projek-projek pengindahan taman-taman awam di bawah projek Taman Rekreasi MADANI. Antaranya adalah:
a) Kajian pelan induk landskap Machang;
b) Pembinaan taman awam Pasir Puteh dan;
c) Projek Pembangunan persekitaran kehidupan Kelantan
viii. RM2.4 juta untuk projek di bawah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), termasuk bengkel kejuruteraan serta penaiktaraf Balai Bomba Kamahang dan Balai Bomba Tok Bali.
ix. RM2.2 juta bagi pelaksanaan dua (2) projek di bawah Jabatan Perumahan Negara yang melibatkan kerja-kerja naik taraf melalui Program Penyelenggaraan Perumahan (PPP) Kelantan di bawah Tabung Penyelenggaraan Perumahan Malaysia (TPPM).
YB KM turut melawat projek pembangunan landskap perbandaran Kota Bharu di Pusat Bandar Kota Bharu. Projek ini telah bermula sejak 4 Jun 2024 dan dijangka siap pada 8 Februari 2027. Pembangunan landskap ini dilaksanakan mengikut zon iaitu Zon Warisan DiRaja, Zon Warisan Budaya, Zon Perniagaan dan Zon Institusi.
Projek ini meliputi kerja-kerja membangunkan kawasan lapang, membina jaringan laluan pejalan kaki yang selamat dan mesra Orang Kelainan Upaya (OKU), menaik taraf lorong belakang bangunan kedai, kerja-kerja mekanikal dan elektrikal serta pengindahan landskap menerusi kerja-kerja penanaman pokok.
KPKT turut cakna tentang kemudahan awam dan gerai di Pantai Cahaya Bulan yang perlu dibina demi keselesaan pengunjung. Projek ini melibatkan kerja-kerja awalan, membina dataran dan pentas, membina 23 unit gerai, 23 unit kiosk kekal, landskap, kemudahan awam dan tempat letak kenderaan.
YB KM turut meninjau projek bina baharu dan baik pulih rumah di Kampung Tok Sadang, Kota Bharu. Peruntukan membaik pulih rumah adalah sebanyak RM20,000 yang bertujuan membaik pulih rumah usang yang disebabkan oleh bencana alam dan kebakaran. Manakala sebanyak RM85,000 diperuntukkan untuk bina baharu rumah bagi menggantikan rumah keluarga miskin yang terbakar atau usang dan tidak selamat diduduki.
YB KM dalam ucapannya berkata “KPKT tidak meminggirkan mana-mana golongan dan peruntukan diberikan berdasarkan kepada keperluan semasa. Kita berharap menerusi program Sentuhan Kasih ini lebih banyak pihak dapat dibantu tanpa mengira fahaman politik dan latar belakang agama mahupun kaum”.
Dalam siri lawatan kerja ke negeri Kelantan ini, YB KM turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM300,000 kepada 15 buah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di negeri Kelantan bagi tujuan penambahbaikan fasiliti dan pembangunan pendidikan. Majlis penyampaian telah diadakan di SJK (C) Chung Hwa, Kota Bharu dan turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Pendidikan, YB Wong Kah Woh.
KPKT akan terus memfokuskan kepada pelbagai usaha dan inisiatif yang dilaksanakan secara bersepadu dan inklusif bagi merealisasikan perancangan pembangunan yang mampan demi meningkatkan aspek daya huni dan kesejahteraan rakyat.