Resipi Puding Roti Tanpa Oven, Bakar Atas Dapur Je
Puding roti antara pencuci mulut yang mudah disediakan. Dengan tekstur rangup di luar bila dibakar, ditambah dengan lembut roti di dalam, hasilnya pasti memikat hati tetamu yang berkunjung.
Tidak dinafikan, sudah banyak resipi puding roti yang dikongsi di internet. Namun, kebanyakan resipi ini sama ada menggunakan ketuhar atau pengukus. Jadi, tidak semua yang dapat mencuba resipi-resipi puding roti disebabkan tidak mempunyai peralatan yang sesuai.
Berbeza dengan resipi yang SK bawakan kali ini, pembaca dapat cuba hasilkan puding roti yang dibakar tanpa menggunakan ketuhar. Berikut merupakan bahan yang diperlukan untuk buat puding roti berkuah mengikut resipi perkongsian Mizah Ngatiman di Kumpulan Facebook Masak Apa Hari Ini.
BACA: Resipi Nachos Paling Ringkas, Boleh Buat Sendiri Kat Rumah
Untuk sediakan puding roti ini, mulakan dengan menyiapkan kuah puding roti dahulu kerana kuah perlu disimpan di dalam peti sejuk sebelum boleh dihidang. Anda perlukan satu tin susu cair, satu cawan air, dua sudu besar gula, dua sudu besar tepung kastard dan secubit garam.
Pertama sekali, tuang susu cair dalam periuk dan campurkan dengan air. Tambahkan bancuhan tepung kastard bersama gula dan garam. Setelah itu, hidupkan api kecil dan kacau perlahan-lahan. Pastikan anda sentiasa mengacau campuran tadi hingga mendidih. Kemudian, tutup air dan ketepikan sebentar.

Simpan kuah puding yang dah sedikit sejuk ke dalam peti sejuk.
Sementara itu, bancuh susu untuk dicampur dengan roti pula. Masukkan susu segar dalam mangkuk dengan gula. Bancuh telur dengan esen vanila sebelum dicampur bersama bancuhan susu tadi. Kacau hingga sebati dan ketepikan.
BACA: Belajar Dari Cef, Ini Rupanya Resipi Coleslaw Yang Sedap & Menjadi
Sekarang, sediakan 10 keping roti untuk buat puding. Selalunya kita guna roti putih, tetapi kali ini, Mizah kongsikan sukatan yang sesuai untuk roti berperisa iaitu Roti Kismis Cokelat dan Butterscotch. Sediakan dua biji telur, dua cawan susu segar, dua sudu besar gula dan sedikit esen vanila.
Ambil loyang dan sapukan sedikit planta seperti gambar di bawah.

Kemudian, susun cebisan roti yang telah dipotong. Tuangkan bancuhan susu dalam loyang dan tekan sedikit roti supaya susu diserap. Ulang langkah ini beberapa kali sehingga loyang penuh. Kemudian, roti boleh mula dibakar.
“Saya letakkan loyang atas kuali leper. Buka api kecil, tutup loyangnya. Saya bakar selama setengah jam,” kongsi Mizah.
Selepas setengah jam, terbalikkan loyang untuk garingkan roti di bahagian atas pula. Sambung bakar selama 10 minit. Selepas siap membakar, biarkan puding roti menyejuk seketika sebelum dihidang.
BACA: Bekalan Anak Di Asrama, Ini Resipi Sambal Cornflakes Anti Lemau
Sebelum hidangkan puding, ada satu kelainan dalam resipi perkongsian Mizah. Ambil beberapa biji pisang dan kupas kulitnya. Goreng pisang menggunakan sedikit planta sehingga keperangan kemudian angkat.
Hidang puding roti bersama pisang yang sudah dimasak. Tuang kuah puding, siap untuk dimakan.

Sumber: Mizah Ngatiman via Kumpulan Facebook Masak Apa Hari Ini