Siakap Keli
strok haba palapes
Kredit: Bernama

Strok Haba Dikenal Pasti Punca Kematian Pelatih Palapes UiTM

Strok Haba Dikenal Pasti Punca Kematian Pelatih Palapes UiTM

SHAH ALAM (Bernama) — Kematian pelajar pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada 13 November lepas dikenal pasti kerana kegagalan organ akibat strok haba.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata siasatan awal mendapati mangsa yang menyertai unit beruniform itu sejak Oktober lepas sedang menjalani ujian kecergasan sebelum latihan asas dimulakan pada tahun hadapan.

Beliau berkata semasa hari kejadian pada 10 November, mangsa telah didenda melakukan tekan tubi oleh jurulatih kerana ketinggalan dalam sesi larian dan kali terakhir dilihat sedang melompat sebelum rebah.

BACA: Air Paras Pinggang, Lelaki Gigih Harung Banjir Demi Selamatkan Lembu Ternakan 

Hussein berkata bapa mangsa yang membuat laporan berhubung perkara itu pada 15 November, dimaklumkan mengenai kejadian tersebut oleh pihak Hospital Shah Alam yang menghubungi beliau berhubung keadaan anaknya yang tidak sedarkan diri.

“Mangsa telah dirawat di Wad Kecemasan Zon Merah Hospital Shah Alam dan semasa mendapatkan rawatan awal, si mati dalam keadaan separa sedar dan mengalami suhu badan yang tinggi.

“Rawatan awal telah diberikan dalam usaha untuk hidrasi si mati namun tidak memberikan tindak balas positif selain mengalami kekejangan dan rawatan susulan telah diberikan sebelum si mati dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

BACA: Gangguan Bekalan Air Berjadual Di Pulau Pinang Bermula Esok, 7 Kawasan Terjejas

Huseein berkata rakan mangsa turut memaklumkan bapa mangsa kejadian berlaku semasa sesi latihan di padang kawad yang dikendalikan seorang jurulatih Palapes UiTM Shah Alam dan telah pengsan sebelum dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Beliau berkata mangsa berusia 25 tahun disahkan meninggal dunia pada 2.01 pagi, 13 November dengan hasil bedah siasat tidak menunjukkan sebarang kecederaan luaran pada bahagian badannya.

“Setakat ini polis telah mengambil keterangan sembilan saksi termasuk pengadu (bapa mangsa),” katanya dan menambah kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

BACA: Banjir Kilat: Warga Emas Maut Selepas Kereta Dihanyut Arus Deras Ke Dalam Sungai

Sumber: Bernama

Azizah Najib

Menulis tanpa henti

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.