Beberapa Laluan Di Tanah Merah Ditutup, Jalan Terputus Akibat Banjir
TANAH MERAH, 29 November (Bernama) — Beberapa jalan di daerah Tanah Merah ditutup untuk semua kenderaan berikutan banjir yang menenggelami jalan selepas hujan lebat berterusan sejak beberapa hari lalu.
Ketua Polis Dearah Tanah Merah Supt Mohd Haki Hasbullah berkata antara jalan persekutuan yang ditutup kepada semua kenderaan adalah Jalan Panglima Bayu-Rantau Panjang di Kilometer (km) 7.40 sehingga km 8.40 ditenggelami.
BACA: Banjir: Pemuda Ikat Tong Dram Bawah Katil Untuk Keselesaan Bapa Sakit Terlantar
Selain itu, terdapat tiga jalan negeri yang masih ditutup, iaitu Jalan Bukit Panau-Bendang Nyior di km 10 Kampung Bukit Kechik ke arah Kampung Bukit Muring, yang merupakan jalan alternatif ke Jeli, Pasir Mas dan Tanah Merah.
“Jalan Tanah Merah-Kampung Ipoh Batu 8 di km 3.0 sehingga km 7.10 berdekatan Kampung Kusial, dan Jalan ke Loji Membersih Air Bukit Remeh di km 0.3 sehingga 0.80 berdekatan Pejabat Angkatan Pertahanan Awam Tanah Merah,” katanya kepada Bernama hari ini.
Beliau berkata pihaknya meminta pengguna jalan raya agar tidak mengambil risiko meredah jalan yang banjir untuk meneruskan perjalanan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.
BACA: Banjir: Lima Keluarga Berdepan Detik Cemas Kenderaan Dinaiki Dihanyutkan Arus Deras
Susulan itu, masyarakat di Tanah Merah tidak perlu berlengah untuk berpindah jika terkesan banjir bagi mengelakkan kesukaran kepada agensi penyelamat memberi bantuan.
“Sejak Selasa sehingga Rabu semalam, kami telah berjaya memindahkan seramai 3,248 mangsa ke 24 Pusata Pemindahan Sementara (PPS) di daerah ini.
“Saya dan pasukan bertungkus-lumus untuk memberikan bantuan semaksimum yang boleh kepada masyarakat yang terkesan,” katanya.
BACA: Hujan Berterusan Sejak Malam Tadi, Meru Dilanda Banjir
Mohd Haki berkata beliau bersama pegawai dan anggota memulakan operasi menyelamat dan memindahkan mangsa banjir sejak pukul 6.30 pagi sehingga 9 malam tadi.
“Kami mengingatkan masyarakat yang terkesan banjir untuk tidak berlengah dalam membuat persiapan dan berpindah dengan kadar segera dengan membawa bersama dokumen-dokumen penting ke PPS,” katanya.
Sumber: Bernama