Siakap Keli
kpdn lpg
Sumber : BERNAMA

KPDN Hargai Usaha Industri LPG Membangunkan Ekonomi Negara

KPDN Hargai Usaha Industri LPG Membangunkan Ekonomi Negara

MELAKA, 29 NOVEMBER 2024 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) hari ini telah merasmikan pembukaan gudang baharu penyimpanan tong komposit LPG AGGas Cawangan Melaka. 

Astana City Group Sdn Bhd (ACGSB) merupakan salah satu syarikat pembekal Gas Petroleum Cecair (LPG) di bawah jenama ACGas di Malaysia. ACGas telah memperkenalkan teknologi silinder LPG komposit di Malaysia sejak November 2018 dan menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan LPG yang menyokong keperluan pengguna di Malaysia. 

Industri LPG di Malaysia merupakan sektor penting yang menyokong pelbagai keperluan harian rakyat dan ekonomi negara yang bertanggungjawab dalam memastikan kestabilan bekalan dan kawalan harga barangan bagi memastikan rakyat dapat menikmati bekalan LPG yang berkualiti dan mencukupi pada harga yang berpatutan.

Seiring  dengan usaha berterusan oleh KPDN dalam memastikan rantaian bekalan LPG negara berada pada tahap yang optimum, penyimpanan  yang lebih baik oleh AVGas ini diharapkan dapat meningkat kecekapan pengedaran dan meminimumkan sebarang kekurangan bekalan yang  mungkin berlaku.  

KPDN dengan kerjasama pelbagai agensi Kerajaan yang lain dalam usaha membangunkan industri petroleum khususnya industri borong  petroleum bagi memastikan rantaian pengedaran dan akses kepada bahan petroleum lebih mudah kepada pengguna.

Sehubungan itu, KPDN berharap agar setiap syarikat pembekal LPG dapat mematuhi peraturan – peraturan sedia ada Kementerian khususnya Akta Kemajuan Petroleum 1974 (PDA) dan Akta Kawalan Bekalan 1961 (AKB) yang  menekankan keutamaan terhadap aspek keterjaminan bekalan, rantaian  pengedaran dan kawalan keselamatan terhadap barang kawalan  berjadual. 

Bagi memastikan pengurusan dan pengedaran produk petroleum teratur dan jaminan terhadap keselamatan pengguna, KPDN menyeru agar  syarikat LPG sentiasa patuh dengan akta-akta yang diperuntukkan tidak  terhad hanya di bawah kawal selia KPDN malah juga di bawah Agensi  Kerajaan yang berkaitan seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat  Malaysia, Pihak Berkuasa Tempatan, Jabatan Keselamatan dan  Kesihatan Pekerjaan (DOSH). 

PELAKSANAAN OPS TIRIS 3.0 

Berdasarkan statistik penguatkuasaan OPS TIRIS 3.0 bermula 1 Januari 2024 hingga 27 November 2024, sebanyak 39,653 pemeriksaan telah dilakukan di seluruh negara. Daripada jumlah itu, sebanyak 2,570 kes telah dihasilkan dengan jumlah nilai rampasan keseluruhan sebanyak RM88.96 juta. Selain itu, sebanyak 606 orang individu telah ditangkap  sepanjang tempoh pelaksanaan OPS TIRIS 3.0 ini melibatkan warga tempatan, warga asing dan pemastautin tetap. Manakala bagi pelaksanaan OPS TIRIS 3.0 di Negeri Melaka mencatatkan 1,311 pemeriksaan.

Daripada jumlah tersebut, 53 kes telah  diambil tindakan yang melibatkan nilai rampasan sebanyak  RM479,226.55. Komitmen KPDN dalam OPS TIRIS 3.0 ini dapat  meningkatkan penguatkuasaan dan kawalan bekalan barang-barang  kawalan terutama bagi barang kawalan bersubsidi. Usaha ini perlu diteruskan dengan sokongan bersepadu antara Kerajaan dan masyarakat melalui inisiatif KITA GEMPUR, agar ketirisan dan manipulasi dapat dibanteras sepenuhnya.

KPDN akan memperhebat lagi hebahan inisiatif KITA GEMPUR melalui  program-program dan aktiviti penguatkuasaan dengan lebih meluas di  setiap negeri dan cawangan di seluruh negara. Walau bagaimanapun, usaha ini bukan sahaja tanggungjawab Kerajaan semata mata, tetapi satu seruan kepada seluruh rakyat Malaysia untuk bersatu dalam usaha kolektif ini.

Dengan sokongan dan penglibatan aktif daripada setiap individu, masyarakat, serta sektor swasta, kita mampu memastikan  barang-barang kawalan dan bersubsidi sampai ke tangan yang berhak. Mari kita bersama-sama menjayakan inisiatif ini demi masa depan yang  lebih cerah dan sejahtera untuk semua. 

Kementerian amat menghargai usaha dan komitmen yang ditonjolkan  oleh ACGSB dalam usaha memperkukuh industri LPG negara. Langkah  ini menunjukkan kerjasama antara sektor swasta dan kerajaan boleh menghasilkan impak positif kepada negara khususnya dalam aspek  pembangunan ekonomi yang mampan ke arah memastikan bekalan LPG  terus mencukupi, selamat dan boleh diakses oleh semua golongan  masyarakat tanpa mengira lokasi mengikut piawaian keselamatan yang  ditetapkan.

Nurul Naqiyah

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.