Siakap Keli
penyakit ketika banjir
Kredit: Bernama

Jangan Ambil Mudah, Ketahui Risiko Penyakit Ketika Musim Banjir

Jangan Ambil Mudah, Ketahui Risiko Penyakit Ketika Musim Banjir

Bencana alam banjir yang sedang melanda negara berikutan Monsun Timur Laut mengakibatkan beberapa negeri terjejas. Ada yang terpaksa berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS), ada juga yang tidak terkesan secara langsung.

Biarpun ramai yang memandang bencana ini sebagai satu peluang ‘bermain air’, namun masyarakat perlu tahu, pelbagai penyakit mudah tersebar melalui bawaan air dan makanan pada musim banjir. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, ikuti perkongsian ringkas yang diambil dari Bernama di bawah.

Antara penyakit yang paling mudah terkena pada mangsa banjir ialah keracunan makanan. Ia berpunca apabila makanan dan minuman yang diambil sudah tercemar tanpa diketahui. Antara gejala yang amat ketara ialah sakit perut, cirit-birit, rasa loya atau muntah-muntah, sakit kepala dan rasa pening.

Bercakap tentang cirit-birit, jika anda mengalami gejala demam dan cirit-birit berdarah atau berlendir, itu tidak lagi menunjukkan anda keracunan makanan. Ini satu-satunya gejala bagi penyakit cirit-birit berdarah atau disentri.

BACA: Ini 7 Tip Penting Sebelum Makan & Minum Semasa Musim Banjir

Selain itu, ada satu penyakit yang sangat terkenal dengan kawasan berair, iaitu kencing tikus atau leptospirosis. Menurut Bernama, penyakit ini berpunca daripada bakteria leptospira dalam air kencing haiwan mamalia yang dijangkiti. Antara haiwan yang berisiko menjadi pembawa ialah tikus, kucing, anjing, kambing dan lembu. Kesemua haiwan ini diketahui umum amat mudah ditemui di sekitar kita.

Antara gejala yang jelas boleh dilihat apabila seseorang itu terkena jangkitan kencing tikus ialah demam, sakit kepala, loya atau muntah, sakit otot atau abdomen. Selain itu, kemerahan pada mata, ruam, juandis dan air kencing berwarna kehitaman juga merupakan gejala jangkitan.

Tahukah anda, selain penyakit yang disebutkan, terdapat satu penyakit berbahaya yang amat mudah berjangkit. Penyakit tersebut ialah taun, atau kolera yang berpunca daripada kuman vibro cholerae. Apa yang menakutkan tentang taun ialah gejalanya iaitu cirit-birit dan dehidrasi teruk hanya dapat dilihat seawal beberapa jam hingga lima hari selepas terkena jangkitan.

BACA: Pasangan Pengantin Edar Makanan Kenduri Selepas Lokasi Majlis Dilanda Banjir

Di samping itu, terdapat satu lagi penyakit yang sering ditekankan apabila berkaitan penyediaan makanan, iaitu demam kepialu atau typhoid. Demam kepialu ini berpunca daripada kuman kepialu iaitu salmonella typhi yang terdapat pada kencing dan najis individu yang telah dijangkiti atau pembawa.

Penyakit ini boleh tersebar melalui makanan dan minuman yang tercemar najis dan muntah pesakit atau pembawa demam kepialu. Malah, makanan yang terdedah dan dihinggapi lalat juga antara faktor penyakit ini tersebar. Selain itu, tangan yang terkena najis atau muntah pesakit atau pembawa juga antara medium penyebaran demam kepialu.

Bagaimana untuk ketahui sama ada anda telah terkena penyakit ini? Perhatikan sama ada anda mengalami sakit kepala yang kuat, sakit perut, sembelit yang diikuti cirit-birit dan demam panas berpanjangan. Jika anda mengalami ruam, mata layu dan cengkung serta tidak sedarkan diri, ketahuilah ini juga antara gejala demam kepialu.

BACA: Hanya Mampu Berzikir Tengok Rumah Roboh Depan Mata Akibat Banjir

Dalam musim banjir ini juga, penyakit mata amat mudah menjangkiti sesiapa sahaja yang berkongsi alat peribadi seperti tuala, bantal dan sapu tangan. Penyakit ini juga mudah berjangkit jika anda bergaul rapat dengan orang yang sakit mata.

Antara gejala anda terkena sakit mata ialah mata anda menjadi merah, berair dan pedih. Tahi mata juga sering terbentuk dan dalam jumlah yang berlebihan. Mata anda juga akan terasa gatal dan sensitif terhadap cahaya.

Penyakit terakhir yang berisiko menjangkiti sesiapa sahaja ketika musim banjir ini ialah Hepatitis A. Penyakit ini berpunca daripada jangkitan virus Hepatitis A. Penyakit ini tersebar apabila individu itu tidak mencuci tangan dengan sabun, membuang najis di tempat selain tandas dan memakan makanan yang dihinggapi lalat.

Gejala yang dapat dilihat apabila dijangkiti penyakit ini ialah demam, loya atau muntah dan kurang selera makan. Antara gejala lain lagi ialah air kencing seakan-akan warna coklat, sakit perut dan mata atau kulit anda menjadi kuning atau lesu.

Sebagai langkah berjaga-jaga supaya anda kurang berisiko mendapat penyakit-penyakit bawaan air dan makanan ini, pastikan anda sentiasa menjaga kebersihan diri.

https://x.com/bernamadotcom/status/1863897438018584721

Sumber: Bernama

Azizah Najib

Menulis tanpa henti

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.

error: