Penubuhan Pejabat UN-Habitat Dan AP-UAP Bantu Pembangunan Bandar Mampan
KUALA LUMPUR, 2 Disember 2024 – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sekali lagi melakarkan kejayaan yang membanggakan buat negara melalui URBANICE Malaysia kerana telah memeterai kerjasama dengan UN-Habitat di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi mewujudkan pejabat UN-Habitat yang berpangkalan di Malaysia.
Siri Jelajah Sentuhan Kejayaan KPKT kali ini akan meraikan kejayaan tersebut dengan mengambil kira usaha dan cadangan membuka pejabat UN-Habitat yang akan beroperasi di URBANICE Malaysia telah bermula sejak tahun 2022 lagi dan ia direalisasikan di bawah kerajaan MADANI. Bagi meraikan kejayaan tersebut, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Tuan Nga Kor Ming (YB KM) telah menyempurnakan Majlis Pelancaran Pejabat UN-Habitat Malaysia pada hari ini di URBANICE Malaysia, Kuala Lumpur yang turut dihadiri wakil sakretariat UN-Habitat.
Selain itu, YB KM turut melancarkan Asia-Pacific Urban Agenda Platform (AP-UAP) yang merupakan satu usaha kerajaan MADANI bertujuan mempercepatkan pelaksanaan Agenda Perbandaran Baharu (NUA) bagi mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) di Malaysia dan juga di Rantau Asia Pasifik. Pejabat UN-Habitat Malaysia dan AP-UAP bukan sahaja berfungsi sebagai focal point serantau pelaksanaan NUA, malah ia juga bertindak sebagai penghubung kepada UN-Habitat serta rakan kongsi untuk memperluas pengetahuan dan inovasi baru di rantau ini.
AP-UAP ini akan bertindak sebagai hab untuk pelaporan kemajuan pelaksanaan NUA yang menyokong negara anggota di rantau Asia Pasifik untuk penyediaan Laporan Suku Tahunan Ketiga yang akan dikeluarkan pada 2026 kepada Setiausaha Agung PBB. Ia juga merupakan pusat sumber, tempat perkongsian ilmu, pusat latihan dalam pelaksanaan NUA dan pembinaan kapasiti bagi pembangunan projek mampan.
Sehingga kini, hanya 41 negara daripada 194 negara yang telah menyediakan pelaporan kemajuan negara terhadap pelaksanaan NUA. Manakala di Asia Pasifik hanya lima (5) negara daripada 58 negara sahaja yang telah melapor iaitu Indonesia, Malaysia, Mongolia, Lao People’s Democratic Republic (Lao PDR) dan Korea Selatan.
AP-UAP juga merupakan inisiatif Kerajaan Malaysia melalui KPKT dan UN-Habitat untuk membantu negara anggota bekerjasama melaksanakan NUA sebagai sebahagian daripada dasar pembangunan negara mereka untuk mencapai pembangunan bandar yang mampan. Ianya telah dicadangkan oleh Malaysia dalam Mesyuarat Lembaga Eksekutif UN-Habitat Sesi Ketiga 2023 yang diadakan di Nairobi pada 28-30 November yang lalu.
Inisiatif ini dilihat sebagai usaha Malaysia untuk pencalonan Presiden UN-Habitat Assembly dan Ahli Executive Board UN-Habitat yang mana Malaysia berpeluang bekerjasama erat dengan negara-negara Anggota UN-Habitat dan negara-negara di Asia Pasifik sekaligus menjadi perintis dalam membangunkan AP-UAP serantau. Inisiatif serantau ini diurus dan dilaksanakan oleh KPKT melalui URBANICE Malaysia serta Sekretariat UN-Habitat yang diwakili oleh Multi Country Programme Office, Regional Office of Asia and the Pacific, di Bangkok, Thailand dan di Fukuoka, Jepun.
Secara keseluruhan, pewujudan Pejabat UN-Habitat Malaysia dan pembangunan platform serantau AP-UAP dapat menjalinkan kerjasama institusi dan perhubungan erat di antara negara anggota serantau dan pihak UN-Habitat. Selain itu, ia juga dapat mengenal pasti rakan kongsi yang berpotensi untuk pembangunan bandar mampan di Malaysia dan di luar negara.