Ramai Jogging, Tapi Ini Cara Lagi Mudah & Efektif Nak Bakar Lemak & Turun Berat
Sudah masuk hujung tahun 2024, pastinya ramai antara kita memilih untuk menjalani kehidupan yang lebih teratur di samping sihat sepanjang hayat. Dengan kehadiran pelbagai aneka makanan dan manisan, pada masa ini ramai yang mengubah arah hidup kepada lebih sihat memandangkan mahu kelihatan segar pada usia lanjut nanti.
Dengan mengubah gaya kehidupan, ramai yang memilih untuk mencuba pelbagai jenis senaman kardio namun ia tidak mendatangkan hasil yang memuaskan. Pernah dengar tak, kalau nak bakar kalori selepas makan gula-gula adalah dengan berlari satu padang?
Meskipun jumlah yang dimakan hanyalah sedikit dan gulanya kecil tetapi dalamnya mengandungi kalori yang memerlukan badan kita bekerja keras untuk membakarnya. Pun begitu, persoalan mungkin akan muncul, sebenarnya berapa kalori yang harus dibakar untuk menurunkan berat 1 kilogram (kg)?
Kalau nak turunkan berat badan, kita sebenarnya perlu membakar lebih banyak kalori daripada jumlah yang kita ambil. Tapi kena ingat, kadar metabolisme setiap individu berbeza, jadi pengiraan kalori tidak sama bagi semua orang. Secara amnya, 1 paun (o.45kg) lemak bersamaan kira-kira 3,500 kalori. Maka, untuk menurunkan 1 kg, anda perlu membakar sekitar 7,000 kalori.
Sekiranya kita mengurangkan kalori 500 hingga 1,000 kalori pada setiap hari, kita akan berhasil menurunkan berat badan sekitar 1 kg dalam masa seminggu. Tapi, sebenarnya tak perlu lari satu padang pun, dalam diam kita sebenarnya dah bakar lemak dengan satu perkara yang biasa dibuat.
Tahu tak, dengan hanya berjalan sahaja lemak juga dibakar? Senaman yang tidak memerlukan modal ini boleh menyumbang kepada membantu penurunan berat badan dan manfaat kepada kesihatan tubuh badan.
Jalan kaki je, mudah dan boleh bakar lemak!
Ramai yang tidak mengetahui manfaat berjalan kaki dan rata-rata orang ramai memilih untuk jogging kerana bagi mereka lebih banyak peluh yang dikeluarkan, lebih banyak lemak yang dibakar.
Peluh yang dikeluarkan tidak menunjukkan berapa kalori yang telah dibakar malah dengan hanya berjalan, banyak penyakit kronik yang dapat dielakkan sebagai contoh penyakit jantung, tekanan darah tinggi dan sebagainya.
Sebagai contoh, berjalan kaki sebanyak 10,000 langkah sehari bersamaan dengan jarak sekitar 6.5 kilometer (km) dan anggaran kalori yang dibakar adalah 400 hingga 500 kalori, yang bersamaan dengan 57 hingga 71 gram lemak. Berjalan bukan sahaja meningkatkan kecergasan, tetapi juga membantu membakar kalori dan lemak.
Untuk pengetahuan, kalau kita jalan sebanyak 1 km bersamaan dengan 1,200 langkah lemak yang dibakar adalah sebanyak 48.4kcal. Dalam seminit sahaja, kita telah berjalan sebanyak 100 langkah. Menarik, kan?
Anda juga akan perasan perubahan dalam diri, di mana diri akan kurang stres dan dapat sihatkan jantung, kurangkan paras kolesterol serta dapat mengekalkan kekuatan otot. Tak larat untuk jogging, inilah masanya untuk berjalan.
Bukan apa, semakin kita meningkat dewasa, banyak kolagen yang akan hilang dan kekuatan otot juga akan berkurangan. Jadi inilah pentingnya senaman berjalan setiap hari. Badan kita ni nak pakai lama dan kalau boleh mesti nak sihat hingga cecah umur 70 tahun, kan?
Menurut tinjauan Kebangsaan Kesihatan & Morbiditi (NHMS) 2023 mendapati 1 daripada 2 dewasa di negara ini tidak aktif. Malah, ramai yang berdepan dengan penyakit berisiko tinggi seperti kencing manis, darah tinggi dan sakit jantung.
Sementara itu, mereka yang telah didiagnosis kolesterol tinggi adalah sebanyak 33.3 peratus . Di Putrajaya, statistik menunjukkan penduduknya kurang aktif secara fizikal, menyumbang kepada kadar obesiti dan kolesterol tinggi yang semakin meningkat.
Tidak hanya itu, lebih kurang 11 juta orang alami berat badan serta obes dan boleh dikatakan rakyat Malaysia semakin gemuk selepas sebanyak 54.4 peratus rakyat Malaysia mengalami berat badan berlebihan, meningkat 3 peratus berbanding 2019.
Melihat sahaja aras peningkatan itu membuatkan ramai yang bimbang dan tidak dinafikan perkara ini perlu diberikan perhatian yang khusus. Janganlah kita menormalisasikan obes kerana ia membawa kepada faktor kesihatan yang tidak sihat.
Jadi, untuk langkah yang kecil boleh bermula dengan berjalan kaki. Kalau anda mula sekarang, anda boleh melihat perubahan pada tahun 2025 nanti. Jom kekal sihat dengan berjalan kaki 10,000 sehari.
Untuk maklumat lanjut sila layari https://infosihat.moh.gov.my/