Pangkalan Bintulu Sarawak: Ini Punca Wujudnya & Kenapa Penting Untuk Malaysia
Malaysia merupakan sebuah negara berdaulat, kaya dengan pelbagai sumber alam yang melimpah-ruah.
Kerajaan sepanjang masa mengambil pelbagai langkah proaktif untuk melindungi tanah air tercinta, terutamanya mempertahankan khazanah negara seperti minyak dan gas (O&G) yang ada di Bintulu, Sarawak.
Antara projek terkini yang dirancang adalah untuk mendirikan sebuah Pangkalan Laut Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) atau Markas Wilayah Laut 4 (MAWILLA 4) di Samalaju.
Dijangka siap pada 2030, pangkalan ini kelak akan memainkan peranan yang amat penting dalam mempertahan kedaulatan negara, khususnya anasir-anasir luar yang mahu menceroboh Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) di Sabah dan Sarawak.
Mungkin ramai yang tidak tahu dan tertanya-tanya apa yang sedang berlaku di berlaku di sana sampai kita perlukan sebuah pangkalan tentera di sana, kan?
Sebenarnya, ketegangan sering berlaku khususnya melibatkan wilayah perairan kita di Sarawak yang terletak di kawasan Laut China Selatan.
China iaitu sebuah negara kuasa besar dunia, menuntut seluruh kawasan lautan tersebut sebagai miliknya.
Untuk menguatkan tuntutan berkenaan, China mengekalkan kehadiranya di lautan tersebut dari semasa ke semasa, sama ada menerusi rondaan kapal milik agensi penguatkuasaan maritim (CCG) atau angkatan tentera lautnya (PLAN).
Pencerobohan oleh China, beri tekanan kepada negara-negara di Asia Tenggara
Malangnya, kita turut menerima tempias apabila kapal-kapal milik China ini melanggar dan menceroboh wilayah perairan kita, terutamanya ZEE yang berada di kawasan pantai Sarawak.
Kalau ikut laporan media tempatan, berlaku peningkatan ketara pencerobohan oleh kapal-kapal China di perairan negara, iaitu dari 163 buah kapal kepada 200 buah antara akhir Ogos hingga September tahun ini.
Antara insiden pencerobohan yang paling membimbangkan adalah kehadiran kapal frigat milik PLAN dan CCG yang berlegar berdekatan pelantar minyak di Sarawak pada 7 September lepas.

Menurut Asia Maritime Transparency Initiative (AMTI), terdapat sekurang-kurangnya sembilan buah kapal berbeza dari China menghabiskan masa membuat rondaan di ZEE milik Malaysia bagi tempoh 1 Januari hingga 30 September 2024.
Lebih merisaukan, terdapat sekurang-kurangnya sebuah kapal CCG ditempatkan di kawasan tersebut untuk tempoh sehingga enam minggu, sebelum digantikan dengan kapal yang lain.
Dalam kebanyakan masa, kapal-kapal ini berada berhampiran Terumbu Luconia yang berada dalam ZEE Malaysia di Sarawak.
Pencerobohan oleh China ini bukan terhad dekat perairan Malaysia sahaja, sebaliknya tekanan yang sama turut dirasai negara-negara jiran lain di Asia Tenggara, seperti Filipina.
Pada Ogos lepas, terdapat tiga insiden dimana kapal pengawal pantai Filipina dilanggar tanpa sebab oleh kapal kapal China dalam kawasan ZEE Filipina di Laut China Selatan.
Vietnam juga tidak terkecuali apabila kapal China dilapor telah menceroboh perairan negaranya pada September lepas dan berlaku pertembungan dengan nelayan tempatan hingga kecederaan berlaku.
Kenapa kapal China selalu meronda di kawasan ZEE Malaysia di Sarawak?
Seperti yang kami kongsikan tadi, China menuntut seluruh Laut China Selatan sebagai miliknya berdasarkan peta ‘Sembilan Garisan Putus-putus’.
Dalam peta ini, terkandung banyak ZEE Malaysia di Sabah dan Sarawak, termasuklah Terumbu Luconia.

Baru-baru ini juga, tular sebuah nota diplomatik dari China yang dihantar ke Malaysia, yang menyuarakan rasa tidak puas hati Beijing dengan aktiviti negara di kawasan tersebut.
Untuk pengetahuan pembaca, Terumbu Luconia ini merupakan kawasan yang kaya dengan sumber O&G yang terletak kira-kira 100 kilometer dari persisiran pantai Bintulu.
Dekat Medan Kasawari (dalam kawasan Terumbu Luconia) sahaja, dianggarkan terdapat kira-kira 90.61 billion meter padu gas asli.
Ketika ini, pelbagai projek O&G utama negara, khususnya yang dikendalikan oleh PETRONAS sedang berjalan di sana.
Jadi tak hairanlah jika China menunjukkan minat ketara di kawasan tersebut sehingga kehadiran kapal-kapal milik negara itu di kawasan berkenaan boleh dikesan hampir sepanjang masa.
Pangkalan Bintulu penting untuk kekang dan halang penceroban kapal asing
Disinilah pentingnya untuk negara memiliki pangkalan laut di Laut China Selatan, khususnya di kawasan-kawasan ZEE yang kaya dengan sumber alam.
Pangkalan Bintulu ini kelak akan menjadi penambahan kepada tiga pangkalan laut sedia ada di Malaysia Timur, iaitu Labuan, Teluk Sepanggar, dan Sandakan.
Kedudukan Pangkalan Bintulu ini pula sangat strategik kerana sebab berada berdekatan dengan Terumbu Luconia dan Medan Kasawari.
Jadi, pangkalan ini apabila siap kelak, tentera kita boleh bertindak balas dengan lebih pantas untuk menangani sebarang pencerobohan yang mengancam kedaulatan negara.

Sarawak pun memang sudah lama memohon daripada Kerajaan Persekutuan untuk dibina sebuah pangkalan tentera di Bintulu.
Permintaan ini ada alasan yang kukuh kerana Bintulu secara perlahan-perlahan berkembang menjadi sebuah bandar dan kawasan yang penting dengan industri O&G.
Bila kehadiran pasukan keselamatan seperti tentera di kawasan itu bertambah, ia akan beri keyakinan kepada semua pihak untuk terus beroperasi di sana.
Leganya juga, selain Pangkalan Bintulu, Kementerian Pertahanan juga sudah pun mengumumkan akan membina sebuah Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berdekatan Lapangan Terbang Bintulu.
Kompleks pengeluaran LNG antara terbesar di dunia ada di Bintulu
Bukan apa, Bintulu ini juga sebenarnya adalah rumah kepada Kompleks LNG (gas asli cecair) PETRONAS, iaitu salah satu fasiliti pengeluaran LNG terbesar di dunia dengan keluasan 276 hektar.
Kompleks ini mempunyai fasiliti pengeluaran hampir 30 juta tan metrik setahun (MPTA), dengan penghantaran lebih 400 BCe (big cargo equivalent) dibuat setiap tahun.
Ia sekaligus membuktikan Bintulu mempunyai industri yang menjadi antara penyumbang utama kepada hasil pendapatan negara.

Pada 2023, Malaysia juga mencatatkan kejayaan luar biasa apabila PETRONAS merekodkan 21 penemuan cari gali, yang mana 16 daripadanya terletak di Lembangan Balingian, Barat dan Luconia Tengah di Sarawak.
Sebagai rekod, 61 peratus peratus rizab minyak negara terletak di Sarawak, berbanding Semenanjung sebanyak 20 peratus dan Sabah 19 peratus.
Jadi, melindungi Bintulu dan ZEE di kawasan ini adalah satu perkara yang mustahak jika kita mengambil kira kepentingan industri O&G yang ada di sana serta pulangannya kepada ekonomi negara.
Diplomasi tetap jadi jalan penyelesaian utama
Biarpun Malaysia bakal ada Pangkalan Bintulu untuk menangani sebarang pencerobohan ke atas ZEE di Sarawak kelak, diplomasi tetap menjadi jalan penyelesaian utama negara.
Malaysia sejak dulu lagi, memang komited untuk menyelesaikan sebarang isu di Laut China Selatan secara konstruktif dengan menggunakan forum dan saluran diplomatik.
Selaku Pengerusi ASEAN dan penyelaras Dialog ASEAN-China dari Ogos 2024 hingga Julai 2027, Malaysia akan terus menyuarakan pendirian tegas berhubung isu keselamatan perairan negara termasuk pencerobohan China di Sarawak.
Manakala, Kod Tatalaku (COC) di Laut China Selatan juga sedang dimuktamadkan menerusi mesyuarat Kumpulan Kerja Bersama ASEAN-China, dimana Malaysia bertindak sebagai pengerusi bersama.
Negara juga secara konsisten mengemukakan nota bantahan kepada negara-negara yang terlibat sekiranya Malaysia mendapati aset atau kapal mereka menceroboh perairan kita.
Apa apun, ayuh sama-sama kita doakan agar pembinaan Pangkalan Bintulu ini berjalan lancar untuk kebaikan negara.