Khairul Aming Masuk Hospital Kerana E-Coli, Kini Dah Pulih
Pempengaruh dan usahawan terkenal, Khairul Aming (KA) mengesahkan bahawa dia dimasukkan ke hospital beberapa hari lalu kerana terkena jangkitan E-Coli. Bagaimanapun, keadaannya kini stabil dan sudah dibenarkan untuk keluar dari hospital.
KA memaklumkan perkara itu menerusi perkongsian di laman X pagi tadi.
“Baru lepas discaj dari hospital. Nak dipendekkan cerita, terkena jangkitan E-Coli masa buat bantuan banjir minggu lepas,” katanya.
Tambahnya lagi, dia juga mengalami cirit-birit yang teruk selama lima hari sehingga menyebabkan badannya dehidrasi.
“Kini Alhamdulillah dah pulih sepenuhnya dan kembali bekerja,” katanya.
Imbas kembali, KA dilaporkan telah dimasukkan ke hospital dan dirakam berada dalam keadaan yang lemah.
Kebanyakan netizen mengatakan bahawa KA mungkin sudah terlalu penat kerana menguruskan bantuan banjir di Kelantan sejak dua minggu lalu.
Bantuan banjir yang dikendalikan oleh KA dan pasukannya telah memberi manfaat kepada mangsa-mangsa banjir yang memerlukan.
BACA: Khairul Aming Catat Rekod, Dapat 100 Juta “Like” Ketika “Live”
Ketika menguruskan bantuan tersebut, KA juga setiap hari melakukan siaran langsung di TikTok miliknya, sekaligus menunjukkan ketelusan pemberian bantuan tersebut.
Selain dari KA sendiri, barang-barang yang disalurkan kepada mangsa banjir juga telah diberikan oleh orang ramai termasuk organisasi dan usahawan-usahawan yang turut sama meringankan beban.
Terdahulu, Kelantan menjadi salah satu negeri yang mengalami banjir selepas hujan lebat berterusan akibat Monsun Timur Laut.
Lebih 100,000 mangsa telah dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di negeri itu.
Sementara itu, banjir tersebut juga telah mencetuskan trauma dalam kalangan penduduk yang teringat mengenai kejadian banjir terburuk atau ‘bah kuning’ pada 2014. Ia susulan paras air Sungai Golok dilapor mencecah 11.42 meter, melepasi catatan pada tahun terbabit.
BACA JUGA: Khairul Aming ‘Turun Padang’, Agih Bantuan Makanan Untuk Mangsa Banjir Di Kelantan
Dalam pada itu, keadaan di Terengganu pada ketika ini juga semakin membimbangkan kerana angka mangsa banjir yang dipindahkan ke 12 PPS bertambah kepada 3,951. Ia selepas hujan lebat yang melanda negeri itu malam tadi.
Menurut Bernama, angka mangsa banjir di Pahang juga telah meningkat sedikit iaitu kepada 40 orang berbanding 34 orang semalam.
Sumber: Khairul Aming