17 Kawasan Di Terengganu Diramal Banjir Bermula Minggu Depan
Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS) menerusi Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) telah mengeluarkan amaran banjir yang bakal melanda beberapa kawasan di Terengganu. Amaran ini menjangkakan permulaan bencana tersebut pada 16 Disember, 4 petang hingga 19 Disember, 11 malam.
Menerusi muat naik di laman X, kawasan yang diramal terlibat ialah daerah Hulu Terengganu berposkod 21700.
BACA: Lembangan Sungai Utama Di Kelantan Diramal Banjir Pada 16-19 Dis – JPS
“Kawasan-kawasan rendah dalam lingkungan 5 kilometer di sekitar Sungai Telemong. Antara yang terlibat ialah Kampung Paloh Nyior, Kampung Bukit Taduk, Kampung Matang dan Kampung Kepah. Kampung Pasir Dula, Kampung Tengkawang, Kampung Kuala Ping, Kampung Tok Lawit, Nibong dan Kuala Telemong turut terlibat.
“Selain itu, kawasan-kawasan rendah dalam lingkungan 5 kilometer di sekitar Sungai Tersat juga diberi amaran banjir. Kawasan tersebut ialah Kampung Sekayu, KM 11 Jalan Sekayu, Kampung Pelandan, Kampung Cheting dan Kampung Menjing. Jalan Sekayu KM 8 dan Kampung Durian Bador turut tersenarai,” maklum JPS.
BACA: Pemasangan Pam Bergerak Bantu Mempercepatkan Proses Surut Air Banjir
Amaran yang dikeluarkan pada jam 7 pagi tadi merupakan susulan amaran Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) berkenaan hujan berterusan pada tahap waspada pada tengah malam tadi. Amaran ini juga turut mengambil kira status air sungai yang diramalkan meningkat dan bakal melebihi aras bahaya di Terengganu.
“Banjir yang diramalkan boleh berlaku lebih awal atau lewat daripada masa yang dijangkakan. Amaran ini dikeluarkan bagi membolehkan semua penduduk terutamanya di kawasan yang dijangka banjir berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa atau agensi-agensi pengurusan bencana banjir,” tambahnya.
BACA: Singapura: Laluan Imigresen Kod QR Untuk Penumpang Bas Mulai 16 Disember
Sehubungan dengan itu, orang ramai dinasihat untuk mengambil langkah berjaga-jaga dan bersiap siaga bagi menghadapi pelbagai kemungkinan.
Terdahulu, pihak MetMalaysia telah mengeluarkan amaran hujan berterusan pada tahap waspada bagi empat negeri bermula 16 Disember sehingga 19 Disember nanti. Negeri yang dijangka menerima cuaca buruk berterusan termasuk Perak, Kelantan, Terengganu dan Pahang.
Sumber: Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS), Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia)