Siakap Keli
dividen simpan sspn
Sumber : BERNAMA

Dividen Simpan SSPN Tahun 2024 Dijangka Meningkat 

Dividen Simpan SSPN Tahun 2024 Dijangka Meningkat 

1. Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebagai agensi di bawah  Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menjangkakan pemberian dividen Simpan SSPN tahun 2024 kepada pendeposit akan meningkat lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya. Peningkatan ini adalah berdasarkan kepada prestasi semasa hasil pelaburan deposit Simpan SSPN yang meningkat berikutan pengurusan pelaburan strategik serta komitmen  PTPTN dalam memastikan pulangan yang kompetitif kepada pendeposit.

2. Pada tahun 2024, PTPTN merekodkan pulangan pelaburan deposit Simpan SSPN  sebanyak RM341.54 juta bagi tempoh Januari sehingga September 2024, sekali gus  menyaksikan pencapaian hasil pelaburan yang lebih baik berbanding RM287.64 juta untuk tempoh yang sama tahun 2023. Peningkatan Kadar Dasar Semalaman (Overnight Policy  Rate (OPR)) kepada 3.00% pada 3 Mei 2023 sehingga kini telah menggalakkan nilai  pertumbuhan pelaburan dan membantu PTPTN memperolehi pulangan pelaburan yang  lebih konsisten.

3. Peningkatan keuntungan ini disokong oleh strategi pelaburan patuh syariah  berjangka pendek dan panjang di pasaran wang tempatan yang melindungi prinsipal, di samping memberikan pulangan yang tinggi dan positif. Strategi pengurusan risiko yang  berkesan serta pemilihan portfolio pelaburan yang strategik dalam simpanan tetap jangka  panjang telah berjaya meningkatkan pulangan pelaburan.

Di samping itu, penglibatan  pelaburan dalam pasaran sukuk juga membantu dalam peningkatan pulangan pelaburan  tersebut. Ia adalah bertepatan dengan hasrat kerajaan untuk memastikan simpanan dalam  Simpan SSPN sentiasa terjamin dan dilindungi serta pada masa yang sama mendapat  pulangan yang optimum selaras dengan mandat pelaburan yang diberikan.

4. Pengerusi PTPTN, Dato’ Seri Norliza Abdul Rahim berkata, “Jika dilihat pada  pemberian kadar dividen Simpan SSPN bagi tahun 2023 adalah sebanyak 3.60 peratus,  meningkat berbanding 3.05 peratus pada tahun 2022. Bagi tahun 2024, saya optimis  bahawa pemberian kadar dividen Simpan SSPN dijangka akan terus meningkat  berbanding tahun 2023 berdasarkan kepada peningkatan keuntungan pelaburan dan trend prestasi deposit Simpan SSPN yang membanggakan setiap tahun. Saya yakin dengan  kecekapan dan keupayaan pengurusan PTPTN yang diketuai oleh Ketua Eksekutif Encik  Ahmad Dasuki Abdul Majid bahawa Simpan SSPN akan terus menjadi produk simpanan  yang berdaya saing di pasaran dengan pelbagai keistimewaan dan manfaat.”

5. “Justeru itu, saya menyeru kepada ibu bapa untuk membuat simpanan dalam  Simpan SSPN sebagai langkah proaktif dalam merancang masa depan pendidikan anak anak secara berkesan untuk jangka masa panjang selain menikmati kadar dividen Simpan  SSPN tahun 2024 yang dijangkakan akan terus meningkat. Kepada masyarakat Malaysia  yang telah membuat simpan dalam Simpan SSPN, saya mengucapkan terima atas  komitmen dan usaha yang ditunjukkan dalam membudayakan amalan menabung dengan  memilih Simpan SSPN sebagai instrumen tabungan terbaik.” tambahnya lagi.

6. Selain menawarkan kadar dividen yang kompetitif, pelbagai keistimewaan dan  manfaat ditawarkan kepada pendeposit Simpan SSPN, antaranya produk simpanan ini  merupakan satu-satunya yang menawarkan pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas  simpanan bersih sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful ke atas pendeposit,  Geran Sepadan sehingga RM10,000 untuk satu keluarga yang layak, simpanan yang  dijamin kerajaan dan patuh syariah.

7. PTPTN akan terus komited meningkatkan kesedaran masyarakat agar terus menabung di dalam Simpan SSPN bagi memastikan akses kepada pendidikan tinggi  terjamin sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman pendidikan.

Nurul Naqiyah

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.