Ballon d’Or dan FIFA The Best Dua Anugerah Yang Berbeza
Awal pagi tadi telah berlangsung Anugerah FIFA The Best 2024 yang menyaksikan Vinicius Jr dinobat sebagai pemain terbaik FIFA.
Kekecewaan beliau sedikit terubat selepas gagal memenangi anugerah Ballon d’Or beberapa bulan lalu tewas dengan Rodri.
Ada soalan yang SK terima di ruangan komen, apa beza anugerah Ballon d’Or dengan anugerah FIFA The Best?
Ballon d’Or
Anugerah Ballon d’Or diasaskan oleh wartawan sukan Gabriel Hanot dari Majalah France Football.
Kali pertama anugerah ini diberikan pada 1956 dan pemain dari England, Stanley Matthews diumum sebagai pemenang.
Pada awalnya, anugerah ini hanya diberikan kepada pemain-pemain bola sepak sekitar eropah sahaja.
Namun, format anugerah ini seringkali berubah untuk menunjukkan globalisasi bola sepak itu sendiri.
Pemain bukan Eropah pertama yang memenangi anugerah ini adalah George Weah dari Liberia yang bermain di kelab AC Milan pada tahun 1995.
Bergabung dengan FIFA
Pada tahun 2010 hingga 2015, Ballon d’Or bersetuju untuk bergabung dengan anugerah FIFA World Player of The Year.
Gabungan itu mengubah nama anugerah ini menjadi FIFA Ballon d’Or.
Sepanjang gabungan itu, Messi memenanginya empat kali dan Cristiano menang dua kali.
Gabungan ini bertahan sehingga 2015 sahaja sebelum kembali berpisah pada tahun 2016 sehingga sekarang.
Pemain Paling Banyak Menang
Lionel Messi menjadi pemain paling berjaya memenangi anugerah ini sebanyak lapan kali (2009, 2010, 2011, 2012, 2015, 2019, 2021 dan 2023).
Manakala, Cristiano Ronaldo memenangi anugerah ini sebanyak 5 kali (2008, 2013, 2014, 2016 dan 2017).
Michel Platini, Johan Cruyff fan Marco van Basten masing-masing memenanginya sebanyak tiga kali.
Kritikan dan Kontroversi
Anugerah Ballon d’Or sering terpalit dengan pelbagai kritikan dari pemerhati bola sepak sehingga peminat.
Ini kerana, pemenang Ballon d’Or ditentukan dengan undian wartawan dan sering kali dianggap berat sebelah.
Namun, anugerah ini masih diiktiraf sebagai anugerah paling berprestij dalam sukan bola sepak.
FIFA World Player of The Year/ FIFA The Best
Anugerah FIFA Player of The Year mula dianjurkan oleh badan induk bola sepak dunia itu sejak 1991 hingga 2009.
Ia bertujuan untuk memberi pengiktirafan kepada pemain bola sepak lelaki dan wanita yang menunjukkan prestasi terbaik di dunia.
Pada mulanya, hanya kategori pemain lelaki sahaja diberikan anugerah sebelum FIFA menambah kategori wanita pada tahun 2001.
Proses pemilihan pemenang adalah daripada undian oleh jurulatih dan ketua pasukan kebangsaan dari seluruh dunia.
Anugerah FIFA dianggap lebih melibatkan komuniti bola sepak profesional berbanding Ballon d’Or yang hanya melibatkan undian wartawan sukan.
Pemenang Terkenal
Pemenang pertama anugerah ini adalah Lothar Matthaus pada tahun 1991 yang beraksi untuk Inter Milan.
Ronaldo Nazario pula menjadi pemain pertama memenangi anugerah ini sebanyak tiga kali (1996, 1997,2002).
Zinedine Zidan juga memenangi anugerah ini sebanyak tiga kali (1998,2000, 2003) diikuti Ronaldinho sebanyak dua kali (2004 dan 2005).
Dijenamakan Semula
Selepas ‘bercerai hidup’ dengan Ballon d’Or pada tahun 2016, FIFA menjenamakan semula anugerah ini sebagai FIFA The Best Award.
Dengan matlamat yang masih sama, anugerah FIFA The Best juga menambah kategori baharu seperti anugerah PUSKAS, Jurulatih Terbaik, Peminat Terbaik dan FIFA FIFPro World11.
Setakat ini, Lionel Messi menjadi pemenang terbanyak sebanyak tiga kali, diikuti Cristiano dua kali dan Lewandowski dua kali.
Dan yang terbaru, Vinicius Jr dari Brazil dinobat sebagai pemenang awal pagi tadi.
Apa yang menariknya, gol Faiz Subri pernah mencatat sejarah memenangi anugerah Puskas iaitu anugerah gol terbaik 2016.
Begitulah secara ringkas perbezaan kedua-dua anugerah berprestij bola sepak ini yang sering mengelirukan segelintir peminat sukan bola sepak.
Kesimpulannya, kedua-dua anugerah ini adalah pengiktirafan dan format pemilihan yang berbeza dan dalam kelas mereka tersendiri.