Delta Works: Elak Banjir Besar, Belanda Bina Benteng Terbesar Dunia
Delta Works merupakan antara projek pembinaan terbesar di Belanda yang bertujuan melindungi kawasan tanah besar di sekitar delta Sungai Rhine-Meuse-Scheldt daripada ancaman banjir.
Dengan lima penghalang gelombang badai, dua kompleks pintu air dan enam empangan, Delta Works berjaya menutup sebahagian besar kawasan Zeeland, South Holland dan North Brabant daripada ancaman laut.
Projek mega ini yang sering dirujuk sebagai ‘keajaiban kelapan dunia’, terhasil daripada sejarah panjang banjir besar, ‘amaran yang diabaikan’ dan inovasi teknologi luar biasa.
Matlamat utamanya adalah untuk memendekkan garis pantai Belanda, sekali gus mengurangkan bilangan benteng yang perlu ditinggikan apabila berlaku ancaman banjir.
Bagaimana tercetusnya projek Delta Works?
Sejarah Delta Works bermula selepas bencana banjir besar pada tahun 1953 yang menenggelamkan kawasan seluas 200,000 hektar dan meragut 1,836 nyawa.

Kejadian ini mendorong pembentukan Suruhanjaya Delta untuk mencari penyelesaian kepada pengurusan banjir dan pantai, merancang langkah pencegahan pada masa depan.
Cadangan pertama mereka dilaksanakan dengan segera melalui pembinaan Hollandsche IJsselkering, yang menjadi titik permulaan Delta Works.
Untuk info, sejak abad ke-13, Belanda telah menghadapi lebih daripada 100 bencana banjir besar yang memberi kesan buruk kepada kehidupan penduduknya.
Kawasan seperti Zeeland sering kali terjejas, dengan banyak kawasan tanah rendahnya hilang kerana ‘ditelan’ oleh laut.
Malangnya, teknologi pada masa itu amat terhad, memaksa penduduk tempatan menyesuaikan diri dengan keadaan.
Akibatnya, tambak Westkapelse Zeedijk sering kali dipindahkan ke pedalaman untuk melindungi Pulau Walcheren daripada kemusnahan akibat banjir.
Walaupun langkah ini membantu dalam jangka pendek, ia tidak dapat menawarkan penyelesaian kekal kerana keterbatasan teknologi.
Namun, perkembangan teknologi yang lebih maju pada abad ke-17, seperti pembangunan kincir angin, membawa harapan baharu kepada penduduk Belanda.
Kincir angin bukan sahaja digunakan untuk mengepam keluar air dari kawasan rendah, tetapi juga penduduk untuk ‘menguasai’ air.
Kemajuan ini membawa kepada projek-projek yang lebih besar, seperti pembinaan tambak Afsluitdijk pada tahun 1932.
Projek ini berjaya menutup dan mengasingkan kawasan pantai dari laut terbuka, sekali gus membuka peluang untuk merancang sistem kawalan banjir yang lebih cekap, termasuklah projek Delta Works.
Salah satu tokoh penting di sebalik Delta Works ialah Johan Van Veen, seorang jurutera yang telah lama memberi amaran mengenai kelemahan tambak di kawasan barat daya Belanda.

Walaupun amaran beliau sering diabaikan, tragedi banjir 1953 membuktikan kebenarannya.
Susulan itu, hasil penyelidikan Van Veen telah menjadi asas kepada perancangan Suruhanjaya Delta. Ini termasuk cadangan untuk membina penghalang gelombang badai dan empangan bagi menutup banyak laluan laut terbuka.
Bagaimana projek Delta Works dilaksanakan?
Projek Delta Works merupakan salah satu pencapaian kejuruteraan terbesar di dunia dan bukanlah tugas yang mudah.
Untuk melindungi kawasan rendah daripada banjir, projek ini melibatkan pembinaan kombinasi empangan tetap dan penghalang gelombang badai yang boleh digerakkan.
Struktur ini diperlukan untuk menutup laluan laut yang luas dan dalam, menggunakan teknologi yang belum pernah dicapai oleh mana-mana negara lain pada masa itu.
Untuk info, projek ini memakan masa selama 25 tahun untuk disiapkan, dengan kos yang dianggarkan antara 1.5 hingga 2 bilion gulden, yang bersamaan dengan 5.6 hingga 7.4 bilion Euro selepas diselaraskan mengikut inflasi.
Dalam pelaksanaannya, Jabatan Jalan Air dan Kerja Awam Belanda mengambil pendekatan berperingkat, iaitu memulakan pembinaan daripada projek berskala kecil kepada yang terbesar.
Selain itu, struktur yang mudah dibina didahulukan sebelum beralih kepada struktur yang lebih kompleks.
Apakah perubahan besar hasil daripada projek Delta Works?
Projek Delta Works membawa pelbagai perubahan besar yang memberi manfaat kepada masyarakat dan alam sekitar Belanda.
Salah satu pencapaian utamanya ialah melindungi kawasan yang luas daripada ancaman banjir air masin, selain memastikan bekalan air tawar yang mencukupi untuk penduduk di kawasan tersebut.
Selain itu, projek ini turut menyumbang kepada pembangunan infrastruktur seperti jalan raya dan jambatan baharu.
Kemudahan ini menghubungkan kawasan terpencil dengan bahagian lain Belanda, sekali gus memendekkan masa perjalanan dan meningkatkan aksesibiliti.
Dari segi penyelidikan dan teknologi, Delta Works menjadi platform untuk inovasi dalam pengurusan banjir.
Pasukan Delta Works bukan sahaja mengkaji banjir yang telah berlaku tetapi juga membangunkan rangka kerja untuk meramal serta membina sistem pertahanan banjir yang lebih cekap pada masa hadapan.
Kejayaan ini menjadikan rangka kerja tersebut sebagai model yang digunakan oleh jurutera di seluruh dunia dalam menghadapi cabaran banjir dan perubahan iklim.
Malangnya, projek ini tidak terlepas daripada kesan terhadap alam sekitar. Tidak dinafikan, beberapa kawasan simpanan alam semula jadi terpaksa dikorbankan untuk pembinaan struktur Delta Works.
Bagaimanapun, kawasan baharu telah dicipta sebagai pengganti, termasuk ruang rekreasi seperti pantai kering yang kini menjadi tarikan popular.
Kawasan ini menawarkan aktiviti seperti berjalan kaki, memancing, menunggang kuda dan berkelah.
Apa yang menarik di Delta Works?
Delta Works terletak di kawasan dengan persekitaran yang indah, menjadikannya destinasi pilihan bagi penduduk tempatan serta pelancong.
Penghadang Ribut Scheldt Timur

Tarikan utamanya ialah Penghadang Ribut Scheldt Timur, yang terkenal sebagai penghalang ombak terbesar di dunia.
Penghalang ini direka untuk memastikan pintunya hanya ditutup semasa cuaca ekstrem.
Dengan ini, ekosistem air masin yang unik di kawasan tersebut tidak terganggu. Ini sangat penting kerana kawasan ini merupakan lokasi utama industri kerang dan tiram.
Tambahan pula, pasang surut di kawasan tersebut dikekalkan untuk menyokong pemuliharaan hidupan liar.
Strukturnya dibina menggunakan 65 tiang konkrit pratuang, dengan 62 pintu gelongsor keluli yang boleh digerakkan di antaranya.
Untuk memastikan kestabilan tanah di mana penghalang ini diletakkan, tikar sintetik yang diisi dengan batu kelikir telah digunakan sebagai asas.
Penghadang Ribut Maeslant

Selain itu, Penghadang Ribut Maeslant, salah satu komponen terakhir dalam projek Delta Works yang terletak di Holland Selatan, juga wajib dikunjungi.
Penghadang ini direka dengan menggunakan pontun terapung yang boleh diisi dengan air untuk membentuk penghadang yang kukuh dan dapat bergerak.
Sistem ini membolehkan penghadang ini ditutup atau dibuka bergantung kepada keadaan cuaca dan tahap bahaya ribut.
Projek ini sangat penting kerana ia melindungi kawasan padat penduduk di sekitar Nieuwe Waterweg dan Het Scheur, dua kawasan yang sangat terdedah kepada ancaman banjir akibat gelombang air masin.
Deltapark Neeltje Jans

Deltapark Neeltje Jans adalah sebuah taman tema air yang terletak di tengah-tengah Penghadang Ribut Scheldt Timur.
Taman ini menawarkan pengalaman yang unik, di mana pengunjung dapat merasai suasana semula jadi yang damai sambil menyaksikan teknologi canggih yang digunakan dalam projek Delta Works.
Salah satu tarikan utama di Deltapark Neeltje Jans adalah Delta Experience, di mana pengunjung boleh memahami dengan lebih mendalam mengenai tragedi banjir Laut Utara pada tahun 1953 yang telah membawa kepada pembentukan projek Delta Works.
Brouwersdam

Selain itu, pengunjung juga boleh meluangkan masa dengan melawat Brouwersdam atau Taman Negara Oosterschelde, yang menawarkan pantai yang luas dan pemandangan alam semula jadi yang menakjubkan.
Tidak hanya itu, terdapat juga tasik semula jadi yang terletak berhampiran dikenali sebagai Grevelingenmeer, tempat popular untuk aktiviti luar seperti memancing, berkanu dan berjalan kaki.
Expedition Delta

Expedition Delta adalah sebuah laluan yang meliputi jarak sepanjang 214 kilometer.
Ia direka khas untuk pengunjung yang ingin merasai pengalaman unik dengan menjelajah keindahan Delta Works.
Dengan berbasikal di sepanjang laluan ini, pengunjung akan dapat menikmati pemandangan semula jadi yang menakjubkan, termasuk tasik, jambatan dan struktur bangunan yang mengagumkan.
Setelah penat mengayuh basikal dan menjelajah keindahan sekitar, pengunjung boleh berhenti untuk berehat di restoran-restoran sekitar Zeeland. Kawasan ini terkenal dengan masakan tempatan yang segar, terutamanya hidangan laut yang lazat.
Persoalannya, perlukah ‘Delta Works versi Malaysia’ dibangunkan?
Umum diketahui, ancaman banjir di Malaysia semakin meruncing saban tahun.
Kawasan rendah seperti Pantai Timur, Lembah Klang dan negeri-negeri lain sering terkena tempiasnya.
Kesannya bukan sahaja memusnahkan harta benda, tetapi juga meragut nyawa.
Justeru, pasti timbul persoalan dalam kalangan pembaca, “Perlukah kita membina ‘Delta Works versi Malaysia’ sebagai langkah mengatasi masalah banjir?”
Tidak dinafikan, fenomena banjir kilat, banjir besar dan perubahan iklim yang semakin memburuk menunjukkan keadaan yang membimbangkan.
Mungkin, sekilas pandang, memang ada keperluan untuk mewujudkan sistem seperti ini di Malaysia.
Namun, terdapat beberapa perkara yang perlu dipertimbangkan:
- Kos yang sangat tinggi – Projek Delta Works di Belanda menelan kos lebih €5 bilion (kira-kira RM23 bilion). Malaysia perlu bersedia dari segi kewangan untuk menampung perbelanjaan yang begitu besar.
- Keadaan geografi – Berbeza dengan Belanda yang rata dan beriklim sederhana, Malaysia mempunyai iklim tropika serta bentuk muka bumi berbukit dan lembah. Ini memerlukan reka bentuk yang jauh lebih fleksibel dan bersesuaian dengan situasi tempatan.
- Teknologi dan kepakaran – Malaysia memerlukan tenaga pakar serta teknologi moden untuk membangunkan sistem sebesar ini. Kerjasama dengan negara-negara maju mungkin diperlukan.
- Penyelenggaraan jangka panjang – Sistem seperti ini memerlukan pemantauan dan penyelenggaraan berkala. Kos penyelenggaraan yang tinggi perlu diberi perhatian serius agar projek ini kekal berfungsi untuk jangka masa panjang.
Bagaimanapun, meski cabaran besar menanti, manfaat yang bakal diperoleh juga tidak boleh dipandang ringan:
- Perlindungan kawasan rendah – Kawasan-kawasan seperti Kuala Lumpur, Kota Bharu dan pesisir pantai akan lebih terlindung daripada ancaman banjir besar.
- Mengurangkan kerugian ekonomi – Kos kerosakan infrastruktur, harta benda serta gangguan ekonomi akibat banjir dapat dikurangkan dengan ketara.
- Adaptasi terhadap perubahan iklim – Sistem ini menjadi solusi jangka panjang dalam menghadapi perubahan iklim yang menyebabkan peningkatan paras laut dan taburan hujan luar biasa.
Malaysia tidak semestinya meniru Delta Works secara bulat-bulat.
Sebaliknya, kita boleh mengadaptasi konsepnya dengan mengambil kira faktor geografi, iklim dan ekonomi tempatan.
Inspirasi daripada kejayaan Belanda ini boleh dijadikan panduan untuk membina sistem yang lebih praktikal dan bersesuaian dengan keperluan negara kita.
Perlu diingat, Belanda juga mengambil masa yang lama dalam melaksanakan projek ini.
Justeru, langkah terbaik di peringkat awal adalah melaksanakan projek ini secara bersasar di kawasan yang benar-benar memerlukannya terlebih dahulu.
Akan tetapi, janganlah kita hanya “banyak tukang di mata dan di mulut, sedikit tukang di tangan”.
Untuk merealisasikan projek ‘Delta Works versi Malaysia’ ini, kerjasama menyeluruh dari pelbagai pihak amat diperlukan. Fokus utama sudah pastinya:
- Komitmen Kerajaan – Kerajaan perlu menyediakan dana yang mencukupi untuk membiayai projek ini. Tanpa sokongan kewangan yang kukuh, usaha ini sukar direalisasikan.
- Teknologi yang sesuai – Penggunaan teknologi moden yang mesra alam dan sesuai dengan ekosistem tropika penting agar alam sekitar tidak terjejas.
- Kerjasama pakar tempatan dan antarabangsa – Kepakaran daripada jurutera tempatan dan kerjasama dengan negara luar seperti Belanda dapat mempercepatkan pembangunan sistem ini.
Secara teorinya, mewujudkan ‘Delta Works versi Malaysia’ adalah satu langkah bijak bagi menangani ancaman banjir yang semakin serius.
Namun, ia hanya mampu direalisasikan jika wujud komitmen jangka panjang dari semua pihak.
Dengan perancangan yang rapi dan kerjasama menyeluruh, Malaysia mampu membina sistem pertahanan banjir yang berkesan demi masa depan yang lebih selamat dan lestari.
BACA: Gelagat Abang Ni Join Budak-Budak Main ‘Gelongsor Tanah’ Buat Ramai Terhibur
BACA: Rumah Uncle Ni Viral Sebab Deko Krismas ‘Meriah’, Ramai Datang Nak Ambil Gambar
BACA: Deretan Rumah Ini Digelar “Rumah Bunuh Diri”, Rupanya Ini Sebabnya
Sumber: NL Holland, Ice, Watersnoodmuseum