Ini Sebab Lantai Masjidil Haram Sentiasa Sejuk
Sejak berkurun lama, Masjidil Haram menerima kunjungan tetamu Allah dari seluruh pelusuk dunia, sama ada datang untuk mengerjakan Haji, Umrah mahupun solat sebentar.
Menariknya rumah Allah ini, terletaknya Kaabah, yang menjadi penanda arah solat atau kiblat untuk umat Islam menunaikan solat termasuk melakukan tawaf di sini.
Tetapi perasan atau tidak, para jemaah yang menjejakkan kaki di sana, rata-ratanya hanya berkaki ayam mengelilingi Kaabah.
Tentunya timbul persoalan mengenai adakah lantai di Masjidil Haram tidak panas? Memandangkan Mekah terkenal sebagai sebuah negara beriklim panas.
BACA: Arab Saudi Pasang Jalan Asfalt Di Sekitar Arafah, Boleh Kurangkan Suhu Panas
Tahukah anda, sebenarnya lantai di Masjidil Haram kekal sejuk walaupun seolah-olah matahari berada sejengkal di atas kepala.
Keajaiban ini merupakan ciri unik yang ada pada bahan binaan lantai tersebut yang diimport jauh dari Thasos, iaitu sebuah pulau di timur Greece, berdekatan Kavala di Laut Aegean.
Batu marmar Thassos
Batu marmar Thassos yang turut dipanggil marmar “putih salji” ini mempunyai kadar penyerapan haba yang paling rendah antara kesemua jenis batu marmar. Keunikan ciri ini datang bersama nilai yang tinggi.
Harga sekeping jubin boleh mencecah antara USD250 (RM1117) hingga USD400 (RM1787) setiap meter per segi.
Batu marmar ini telah digali dari pulau tersebut sejak zaman purba lagi dan sehingga kini, kuari tersebut masih lagi aktif.

Setiausaha Agung bagi hal ehwal teknikal, operasi dan penyelenggaraan di Pejabat Presiden Umum untuk Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, Jurutera Fares Al-Saedi berkata, marmar Thassos mempunyai ciri unik dengan kesejukannya yang melampau sehingga dapat mengekalkan kesejukan ketika panas terik bersuhu antara 50 hingga 55 darjah Celsius pada musim panas.
Menurutnya lagi, Presiden Umum bertanggungjawab menyelia kerja-kerja penyelenggaraan marmar di seluruh kawasan. Mereka perlu merawat, memulihkan dan menggilap marmar, malah turut menggantikan jubin yang lama dan tidak lagi boleh digunakan.
“Penyelenggaraan dilakukan 24 jam seminggu oleh lebih 40 jurutera dan juruteknik. Setiap keping marmar setebal lima sentimeter, dan apa yang menyerlahkannya ialah keupayaannya menyerap lembapan melalui liang-liang halusnya pada waktu malam. Ia kemudian melepaskan lembapan itu pada siang hari, menjadikannya lebih sejuk di bawah suhu tinggi,” katanya.
Ciri unik marmar Thassos
Untuk pengetahuan anda, terdapat kajian yang membuktikan ciri termofizikal marmar Thassos. Batu marmar ini mempunyai tahap pantulan cahaya matahari yang sangat tinggi dengan kadar kekonduksian terma yang tinggi, berbanding batu kapur.
Ciri-ciri ini terbukti mampu mengekalkan suhu permukaan yang sejuk walaupun ketika musim panas. Bukan itu sahaja, pada waktu malam, marmar Thassos dapat mengurangkan pelepasan haba ke atmosfera melalui perolakan secara menyeluruh.
Dalam satu kajian yang lain, marmar Thassos digelar ‘marmar pintar penyebar haba’ berikutan waranya yang begitu putih disebabkan pembentukan kristal yang kaya dengan kandungan dolomit.
Sejarah penggunaan jubin di Masjidil Haram
Rupa-rupanya, tapak Masjidil Haram telah ‘diturap’ sejak zaman Umar Al Kattab lagi.
Menurut penulis dan pengkaji warisan, Abdullah Al-Batati, lantai berbatu dan tidak berbumbung di sekeliling Kaabah (mataf) berbentuk melengkung. Jadi, ketika dahulu, batu kerikil yang bersaiz sebiji kacang diisi bagi memenuhkan ruang di celah antara jubin-jubin besar.
“Omar Ibn Al-Khattab merupakan orang pertama yang menurap lantai Masjid dengan batu selepas pembesaran mataf pada 119 Hijrah (737-738 Masihi). Pada zaman pemerintahan Al-Walid bin Abdul-Malik, mataf itu ditutup dengan batu marmar. Pada tahun 145 Hijrah (762-763 Masihi), lantai lama itu dilapisi pula dengan marmar pada zaman Abu Jaafar Al-Mansour, dan dijubin dengan batu marmar pada era Kekhalifahan Abbasiyah pada tahun 284 Hijrah (896-897 Masihi).
“Pada tahun 1003 Hijrah (1594-1595 Masihi), batu flin digantikan dengan batu alabaster, manakala marmar putih cerah menutupi lantai mataf pada 1006 Hijrah (1597-1598 Masihi) semasa pemerintahan Sultan Mohammad Khan. Pada tahun 1344 H (1925-1926 M),” katanya.
Walau bagaimanapun, jubin marmar lama telah dikeluarkan dari mataf lama ketika pemerintahan Raja Saud. Mataf baru kemudiannya diratakan dan diturap. Kedua-duanya dipisahkan oleh garis pemisah marmar hitam yang dibawa masuk dari beberapa kuari dari seluruh Arab Saudi.
Profesor Sejarah Purba di Universiti Raja Saud, Dr Salma Hawsawi berkata, perluasan Masjidil Haram dan Masjid Nabawi dijalankan oleh Raja Abdulaziz. Perluasan ini disambung sehingga pemerintahan Raja Khalid antara 1970-an hingga 1980-an.
Raja Khalid kemudiannya mengeluarkan arahan untuk mengembangkan Masjidil Haram sehingga menjadi seperti sekarang.
BACA: Selipar Jepun Kini ‘Sandal Trendy’, Dijual Lebih RM5,000 Di Arab Saudi

Ketika itulah jubin lantai Masjidil Haram mula diturap dengan marmar istimewa dari Greece yang diimport pada tahun 1978. Raja Khalid turut memerintahkan agar batu kerikil tidak lagi digunakan bagi mengisi ruang antara jubin.
“Peluasan kedua Masjidil Haram berlaku antara 1985 dan 1986 semasa pemerintahan Raja Fahd, yang turut memerintahkan pemasangan jubin di halaman sekeliling Kaabah dan dataran yang mengelilingi Masjidil Haram menggunakan marmar putih sejuk dalam bentuk bulatan dan bergaris, menjadikannya sesuai untuk solat,” jelas Hawsawi.
Kemudian, Raja Salman meneruskan projek itu dengan menyiapkan perluasan ketiga selain membangunkan lebih banyak projek lain.
Menurutnya lagi, marmar Thassos diimport dalam bentuk bongkah besar. Kemudian, marmar tersebut diproses dan dikilangkan di kilang-kilang Kerajaan milik Kumpulan Binladen. Syarikat ini bertanggungjawab menyelia pembinaan dan pembangunan masjid-masjid di Mekah.
“Jurutera dan juruteknik melakukan lawatan pemeriksaan dan kerja penyelenggaraan secara berkala dengan kecekapan tinggi. Jubin marmar yang tidak lagi dalam keadaan baik serta sudah hilang ciri kesejukannya digantikan dengan yang baharu. Jenis marmar ini merupakan semula jadi. Tidak ada antara Kerajaan Arab Saudi mahupun Greece yang memasukkan sebarang bahan tambahan, dan ia juga tidak mempunyai sebarang kekotoran.
“Marmar ini jenis yang jarang ditemui dan harganya mahal. Sekeping marmar berukuran lima sentimeter tebal, 120 sentimeter panjang dan 60 sentimeter lebar. Ia menyerap lembapan dan sejuk pada waktu malam melalui liang-liangnya untuk disimpan pada siang hari. Justeru, permukaan lantai di Masjidil Haram kekal sederhana sejuk sepanjang tahun untuk dinikmati semua orang,” tambahnya.
Sumber: Arab News