Wanita Kongsi Rutin Produktif Di Kampung Walau Tak Makan Gaji
Dalam hidup, sudah menjadi rencah apabila kita ditimpa sedih dan pilu. Ada kalanya, perasaan ini hadir sekejap sahaja. Ada kala, kekal berpanjangan dek ujian yang dihadapi. Walaupun hati terasa penat untuk mengharungi apa yang bakal berlaku, namun seharusnya kita bangkit melawan perasaan.
Perlahan-lahan, selangkah demi selangkah. Kita perlu lakukan aktiviti yang membantu mengurangkan rasa sedih. Jika masih tidak mampu untuk ke luar rumah dan bertemu orang lain, memadai dengan beraktiviti di sekeliling rumah.
Begitulah yang dilakukan oleh seorang pengguna Facebook, Nuha Sein yang melakukan pelbagai aktiviti bagi mengatasi kesedihan yang dialaminya, bermula dengan aktiviti berkebun.
Ketika ditanya SK, Nuha memaklumkan sebelum ini dia tinggal di bandar. Dia mengambil keputusan untuk pulang tinggal di kampung apabila kehilangan kerja ketika negara dilanda pandemik suatu ketika dahulu.
“Dulu saya kerja di bandar. Lepas tu perkhidmatan ditamatkan masa MCO. Saya balik kampung. Saya habiskan masa menulis posting setiap hari, bercerita aktiviti harian saya. Cuba jadi pencipta kandungan.
“Tulis pasal tip berkebun, resepi memasak, pasal urus wang, bebas hutang pengalaman kerja, pasal ekonomi. Pasal agama, akhir zaman, perang, isu semasa dan melancong juga. Lama-lama ramai pengikut baca post saya sebab suka kongsi maklumat. Bila duit simpanan hampir habis, saya cari kerja. Tapi terpaksa berhenti sebab selalu demam panas dan sakit,” kongsinya.
Menurut Nuha, dia menulis setiap hari di media sosial sehingga ada pihak mencadangkan kepadanya untuk menghasilkan e-buku berkaitan maklumat-maklumat tersebut.
“Jadi saya guna duit simpanan terakhir beli komputer riba terpakai dan tulis e-buku, jual. Sebab yang suruh tulis e-buku tu pengikut lama saya. Mereka tahu susah-payah saya. Saya kongsi pengakuan di IIUM Confession nak bagi semangat dekat penganggur untuk bangkit balik.
“Empat tahun saya berlatih menulis di Facebook sebelum berani menulis e-buku dan jual. Dekat reels pula saya kongsikan video saya berkebun dan memasak,” tambahnya lagi.

Mari ikuti perkongsian kisah Nuha bangkit dari kesedihannya berstatus penganggur menjadi seorang yang kini berdiri di kaki sendiri.
BACA: Pelik Tapi Menjadi, Wanita Kongsi Cara Simpan Beras Yang Tak Pernah Dibuat Orang
Ada satu filem Korea atau Jepun (aku lupa) tentang seorang gadis muda yang dibuang kerja, balik ke kampung halaman tinggal di rumah pusaka. Dia menghabiskan masa berkebun dan belajar memasak. Aku tertarik melihat life dia berjimat cermat dan menguruskan kehidupan dalam keadaan kekurangan duit.
Aku suka tengok dia tangkap ikan, kutip telur, tanam sayur tomato, tanam padi kemudian tuai, masak dan hias cantik macam kat restoran mahal.
Ketika aku bersedih, aku cangkul tanah di tepi rumah dan mula menanam bibit-bibit sayur. Setiap pagi itulah rutin aku. Kemudian aku memasak sarapan dan menikmatinya sendiri. Kadang aku bungkus dan hantar ke rumah jiran tetangga.
Waktu petang aku habiskan masa online mencari info, belajar resepi baru, menonton ceramah agama dan sebagainya. Ada masa aku brisk walk atau berbasikal sendirian berhampiran rumah. Kadangkala riadah ke playground berdekatan. Aku suka duduk melepak di pintu belakang sambil merenung pokok sayur berjam-jam lamanya. Memerhati pertumbuhan, daun, tunas, berbunga dan berbuah.
Hasil kebun secoet, aku tuai dan sedekahkan kepada jiran tetangga dan kaum kerabat. Tak sangka tanaman aku subur sehingga aku boleh menjualnya. Aku simpan dalam tabung ‘kebun’ sehingga berjumlah RM250.
Aku suka melihat makanan berwarna-warni dan dihias cantik. Aku beli dan kutip sayuran aku tanam dan mengolahnya menjadi masakan berwarna-warni. Aku elak guna perasa dan pewarna tiruan. Aku cuba praktikkan bahan semula jadi. Ambil tahu tentang diet sihat dan nutrisi pemakanan.

BACA: Semua Kena Lengkap, Wanita Kongsi Panduan Lakukan “Solo Travel” Di Luar Negara
Ada hari tertentu, aku siapkan hidangan istimewa. Makan malam berteman cahaya lilin. Berangan seolah-olah makan di restoran mewah.
Sejak menjaga makan minum dengan teratur aku rasa lebih sihat. Tidak lagi terkena gastrik atau diarrhea macam dulu. Sekarang aku dah boleh masak pelbagai resepi lauk pauk, kuih muih, aneka dessert dan pastry. Resepinya aku post ke group masakan.
Di dalam parit air berhampiran rumah, ada hidupan akuatik. Aku masuk menggagau etak dan masak lemak. Waktu malam, suasana sangat sunyi sepi. Biasanya aku makan malam selepas maghrib. Lepas Isyak, masuk bilik tidur sambil online. Sebelum tidur baca Al Mulk dan 10 ayat terakhir Al Kahfi. Penutup aktiviti harian.
Seusai solat subuh dan melipat sejadah, aku berbaring atas katil sambil berzikir dan baca surah Waqiah serta 10 ayat awal Al Kahfi. Hujung minggu, aku ke pasar mencari lauk pauk, buah-buahan dan sayur-sayuran. Mahu mencuba pelbagai masakan.
Aku suka cendawan. Aku beli bongkah cendawan. Dapat bekalan cendawan segar. Melihat pertumbuhan cendawan setiap hari pun dah buat aku rasa gembira dan tersenyum.
BACA JUGA: Tak Perlu Bahan Kimia, Wanita Kongsi Cara Halau Nyamuk Guna 2 Tanaman Ni
Seharian online, aku search semua pasaraya dan kedai berdekatan yang menjual barang dapur dan lauk dengan harga murah. Follow page pasaraya untuk melihat jualan murah setiap hari. Masa murah, aku beli buat stok prep.
Gitulah cara aku habiskan masa supaya tidak bosan. Setiap hari jugak aku akan menulis posting pelbagai isu. Salah satunya tentang perbelanjaan dan urus wang.
Apabila duit simpanan hampir habis, aku mula cari kerja. Tanpa menggunakan sijil degree, dapat kerja di sebuah tempat. Gaji tak besar pun tapi berjaya simpan 1k sebulan. Makanan disediakan di sana. Sebab tu aku boleh jimat duit.
Dulu aku suka bercuti tapi keadaan kewangan tak mengizinkan bercuti jauh-jauh. Jadi aku staycation je. Lebih jimat.
Aku dapat idea buat review hotel-hotel di daerah tempat tinggalku. Mudah untuk sahabat mukabuku memilih penginapan apabila datang ke sini. Aku ambik pakej sekali dengan breakfast sebab nak buat review makanan. Nak promosikan hotel terbaik di negeri aku. Dengan niat semoga posting aku tu membantu sektor pelancongan negeri juga.
Hampir setahun bekerja, aku terpaksa resign sebab masalah kesihatan. Aku kembali menganggur dan fokus membuat posting dan pelbagai content di media sosial. Berharap satu hari nanti boleh jadi sumber pendapatan. Berbekal duit simpanan seribu ringgit terakhir, aku beli laptop terpakai dan mula menulis. Dalam masa 2 bulan, berjaya siap 3 ebook.
Begitulah hidup ini. Tak semua mudah seperti orang lain. Setiap dari kita ada rezeki dan ujian berbeza. Nikmati saja hidup ini. Ia sangatlah singkat.
Sumber: Nuha Sein