Siakap Keli
Ke mana duit zakat
Gambar Hiasan

Pembayar Zakat Dah Boleh Pilih Duit Zakat Disalurkan Ke Mana, Ini Cara & Kategorinya

Pembayar Zakat Dah Boleh Pilih Duit Zakat Disalurkan Ke Mana, Ini Cara & Kategorinya

Zakat merupakan salah satu kewajipan penting dalam agama Islam, yang wajib dilaksanakan oleh setiap umat Islam yang memenuhi syarat-syarat tertentu. 

Ia merupakan Rukun Islam ke-4 yang ditegaskan oleh Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud: “Dan dirikanlah solat serta tunaikanlah zakat.” (Surah Al-Baqarah, ayat 43). 

Umum diketahui, mengeluarkan zakat bukan sahaja memberi manfaat kepada pembayar zakat, tetapi juga kepada orang lain yang memerlukan.

Dengan menunaikan zakat, kita bukan hanya menyucikan harta kita, tetapi juga memberi peluang kepada golongan yang kurang bernasib baik untuk menerima bantuan. 

Justeru, untuk memastikan kutipan zakat diurus dengan baik, badan atau organisasi khas ditubuhkan bagi menjalankan tanggungjawab ini secara telus dan amanah.

Tapi, pernahkah anda terfikir, “Ke mana sebenarnya duit zakat saya pergi?” atau “Adakah wang zakat ini digunakan dengan betul untuk membantu mereka yang memerlukan?” Jika ya, anda tidak keseorangan. 

Zaman sekarang, ramai yang semakin peka tentang pengurusan kewangan, lebih-lebih lagi apabila melibatkan sumbangan seperti zakat. 

Ini kerana masing-masing ingin memastikan setiap sen yang diberikan sampai kepada pihak yang betul dan digunakan dengan cara yang sebaiknya. 

Berita baiknya, kini pembayar zakat mempunyai hak untuk memilih sendiri ke mana dana zakat mereka disalurkan.

CROWDZAKAT adalah jawapan kepada soalan “Ke mana wang zakat saya?”

Zakat Selangor kini memperkenalkan satu platform baru yang dinamakan CROWDZAKAT, iaitu saluran pembayaran zakat yang berkonsepkan crowdfunding.

Inisiatif ini adalah yang pertama seumpamanya di Malaysia, malah mungkin di dunia, dan sebelum ini lebih biasa digunakan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Melalui platform CROWDZAKAT, pembayar zakat diberi pilihan untuk mengagihkan sendiri ke mana wang zakat mereka akan disalurkan. 

Ini memberikan peluang kepada pembayar zakat untuk memilih jenis bantuan yang mereka ingin wang zakat mereka sumbangkan.

Selain itu, ini sekali gus menjawab keperluan mereka untuk mengetahui dengan lebih jelas ke mana dana zakat mereka digunakan.

Untuk info, antara kategori bantuan yang boleh dipilih oleh pembayar zakat termasuklah:

1. Tempat tinggal: Bantuan untuk mereka yang memerlukan tempat tinggal yang lebih baik.

  • Pembinaan Rumah: Sediakan Tempat Berteduh untuk Asnaf (Bantu fakir, miskin dan muallaf memiliki rumah yang selamat dan selesa).
  • Baik Pulih Rumah: Tempat Selamat untuk Keluarga Asnaf (Bantu asnaf memperbaiki rumah yang rosak untuk keselamatan dan keselesaan).
  • Bantuan Sewa Rumah: Tempat Berlindung untuk Asnaf (Bantu asnaf membayar sewa rumah bagi tempat berlindung yang selamat).

2. Makanan: Sumbangan untuk memastikan golongan yang memerlukan mendapat bekalan makanan.

  • Bantuan Makanan Bulanan: Bekalan Asas Keluarga Asnaf (Bantu fakir, miskin dan muallaf mendapat bekalan makanan yang mencukupi).

3. Pendidikan: Bantuan untuk pendidikan, termasuk pembiayaan pendidikan anak-anak yang kurang mampu.

  • Biasiswa Pelajaran: Peluang Kejayaan untuk Anak Asnaf (Bantu pelajar asnaf meneruskan pengajian dan mencapai impian akademik).
  • Elaun Guru KAFA: Menghargai Pendidik Asas Agama (Sokongan kewangan untuk guru KAFA dalam mendidik asas agama).
  • Bantuan Pelajaran: Sokongan Ilmu untuk Asnaf Fisabilillah (Bantu asnaf fisabilillah menampung kos pendidikan dan teruskan pengajian). 
  • Bantuan Pendidikan OKU: Peluang Ilmu, Masa Depan Terjamin (Sokong OKU dengan membiayai yuran dan kelengkapan pembelajaran).
  • Dermasiswa Huffaz: Sokongan Ilmu untuk Penjaga Kalamullah (Bantu pelajar huffaz menghafal al-Quran dengan sokongan kewangan pendidikan).
  • Bantuan Pendidikan: Peluang untuk Masa Depan Anak Asnaf (Bantu mereka dengan membayar yuran dan menyediakan kelengkapan belajar).

4. Institusi: Bantuan kepada institusi yang memerlukan sokongan untuk menjalankan aktiviti mereka.

  • Rumah Perlindungan: Selamatkan Kanak-Kanak Berisiko (Bantu bina rumah perlindungan untuk kanak-kanak yang hidup dalam bahaya).
  • Rumah Perlindungan – Menyemai Harapan, Membina Masa Depan (Tempat perlindungan dan pendidikan holistik bagi anak-anak asnaf untuk memastikan mereka mendapat peluang pendidikan dan kehidupan yang lebih baik). 
  • Rumah Perlindungan Muallaf: Tempat Selamat, Iman Terjaga (Sediakan perlindungan dan bimbingan agama untuk muallaf yang memerlukan). 
  • Pusat Latihan Muallaf: Bimbingan dan Sokongan Berterusan (Bantu muallaf mendapatkan latihan dan bimbingan untuk istiqamah dalam Islam). 
  • Pusat Pemulihan Akidah: Bimbingan Kembali ke Jalan Benar (Bantu pemulihan akidah untuk mereka yang ingin kembali ke pangkal jalan). 
  • Pusat Pemilihan Dadah: Peluang Kedua untuk Kehidupan Bermakna (Bantu pemulihan penagih untuk kembali ke jalan yang sihat dan bermaruah).
  • Pusat Pemulihan Akhlak: Peluang Kedua untuk Kehidupan Lebih Baik (Bantu individu memulihkan akhlak melalui bimbingan, kaunseling, dan sokongan). 
  • Pusat Latihan Asnaf: Bina Kemahiran, Ubah Kehidupan (Bantu asnaf meningkatkan kemahiran untuk peluang pekerjaan dan berdikari).
  • Rumah Orang Tua: Tempat Teduh dan Kasih Sayang Warga Emas (Bantu warga emas yang tiada keluarga mendapat penjagaan dan perlindungan).
  • Sokongan Institusi Islam: Kemudahan untuk Semua (Bantu sekolah dan institusi Islam dengan peralatan, baik pulih, dan kewangan).

5. Kecemasan & Bencana: Sumbangan kepada mereka yang terjejas akibat bencana alam atau kecemasan.

  • Bantuan Kecemasan: Selamatkan Mereka di Saat Genting (Bantu fakir, miskin, muallaf, dan fisabilillah ketika musibah melanda).
  • Bantuan Kecemasan: Untuk Mereka yang Ditimpa Musibah (Bantu mangsa bencana alam dan keadaan darurat dengan keperluan asas).

6. Kewangan: Bantuan kewangan untuk membantu mereka yang memerlukan dalam keadaan sukar.

  • Bantuan Kewangan Bulanan: Sokongan Kelangsungan Hidup (Bantu asnaf fakir, miskin, dan muallaf dengan kewangan bulanan). 
  • Bantuan Penyelesaian Hutang: Harapan Bebas dari Beban (Ringankan beban hutang fakir, miskin, dan muallaf untuk hidup lebih stabil).

7. Musafir & Pelarian: Bantuan kepada mereka yang dalam perjalanan atau pelarian yang memerlukan sokongan.

  • Bantuan Musafir & Pelarian: Sokongan di Saat Genting (Bantu musafir dan pelarian mendapatkan rawatan serta bantuan penginapan).

8. Pembangunan: Sumbangan untuk pembangunan komuniti dan projek pembangunan lain.

  • Bantuan Modal: Peluang Perniagaan Ubah Taraf Hidup (Bantu asnaf dengan modal perniagaan, pertanian, perikanan, dan penternakan).

9. Perubatan: Bantuan perubatan untuk mereka yang memerlukan rawatan tetapi tidak mampu menanggung kosnya.

  • Bantuan Dialisis: Bebaskan Pesakit dari Beban Hutang Perubatan (Bantu pesakit buah pinggang kronik melangsaikan hutang rawatan dialisis).
  • Bantuan Kos Perubatan: Bebaskan Pesakit dari Beban Hutang (Ringankan beban hutang kos perubatan agar dapat rawatan tanpa gangguan).
  • Bantuan Perubatan: Sokongan untuk Rawatan dan Pemulihan (Bantu biaya rawatan perubatan, pembedahan, dan peralatan pesakit).

Melalui CROWDZAKAT, pembayar zakat dapat melihat sendiri perubahan positif hasil sumbangan mereka. Ini seterusnya mendorong mereka dengan lebih bersemangat untuk menunaikan tanggungjawab zakat secara konsisten dan berterusan. 

8 langkah mudah memilih ke mana zakat anda disalurkan

Berikut adalah 8 langkah mudah untuk melaksanakan pembayaran zakat melalui platform CROWDZAKAT:

1. Layari laman web CROWDZAKAT – Kunjungi laman web CROWDZAKAT di sini

2. Pilih kategori agihan zakat – Klik pada pilihan “Tunai Zakat” untuk memilih kategori pilihan anda.

3. Masukkan jumlah dana – Tentukan jumlah zakat yang ingin disalurkan.

4. Klik ikon bakul – Di bahagian atas kanan laman, klik ikon bakul untuk melaksanakan bayaran. Anda juga boleh memilih beberapa kategori bantuan sebelum membuat pembayaran.

5. Pilih jenis zakat dan haul – Tentukan jenis zakat yang ingin dibayar dan tahun yang sesuai.

6. Semak bakul pembayaran – Pastikan jumlah dan kategori agihan zakat yang dipilih adalah betul.

7. Lengkapkan maklumat pembayaran – Isi maklumat yang diperlukan untuk proses pembayaran.

8. Pengesahan dan pembayaran – Klik pada butang pengesahan dan teruskan untuk melakukan pembayaran zakat.

Inisiatif CROWDZAKAT oleh Zakat Selangor merupakan bukti komitmen mereka dalam memastikan pengurusan dana zakat dijalankan dengan telus dan berintegriti. 

Platform ini menyediakan kemudahan serta kejelasan kepada pembayar zakat untuk memastikan setiap sumbangan mereka sampai kepada golongan yang memerlukan.

Dengan adanya CROWDZAKAT, pembayar zakat tidak perlu lagi ragu atau tertanya-tanya mengenai ke mana duit zakat mereka disalurkan. 

Mereka kini diberikan pilihan untuk memilih sendiri jenis bantuan yang ingin disalurkan menggunakan zakat mereka. 

Ini adalah satu langkah inovatif dalam pengurusan zakat di Malaysia yang memperlihatkan kesungguhan Zakat Selangor dalam meningkatkan sistem pengurusan zakat.

Inisiatif ini bukan sahaja memberi kemudahan kepada pembayar zakat, tetapi juga menjadikan Zakat Selangor sebagai model teladan dalam sistem zakat, tidak hanya di Malaysia, malah di peringkat global.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.