Fosil Bayi Mamut “Rare” Ditemui Di Siberia
Fosil bayi mamut yang sangat jarang ditemui, ditemukan oleh saintis Rusia, di kawasan permafros Yakutia, Siberia, lapor AFP.
Difahamkan, fosil spesies haiwan gergasi purba itu ditemui masih dalam keadaan baik ketika musim panas baru-baru ini.
Fosil mamut betina berusia 50,000 tahun ini diberi nama “Yana”, sempena lembah sungai di mana ia dijumpai.
Pakar menyatakan bahawa “Yana” adalah fosil mamut yang paling terpelihara di dunia dan merupakan salah satu daripada hanya tujuh fosil lengkap yang pernah ditemui.
Walau bagaimanapun, kajian usia sebenar kematian haiwan itu sedang dijalankan, yang dianggarkan sekitar satu tahun atau lebih tua sedikit.
Fosil haiwan gergasi purba itu dipamerkan di Universiti Persekutuan Timur Laut di ibu kota wilayah Yakutsk.
“Kami semua terkejut dengan keadaan fosil mamut yang luar biasa ini,” kata rektor Anatoly Nikolayev.
Sementara itu, Penyelidik Maxim Cheprasov menyifatkannya sebagai satu penemuan unik.
Fosil Yana mempunyai berat 180 kilogram (397 paun), setinggi 1.2 meter (empat kaki), dan sepanjang 2 meter.
Lokasi penemuan fosil Yana, berhampiran stesen penyelidikan Batagaika yang turut menemukan pelbagai fosil haiwan prasejarah lain seperti kuda, bison, dan lemming.
Sebelum penemuan ini, hanya enam fosil mamut yang pernah ditemui di dunia, lima di Rusia dan satu di Kanada.
Yakutia adalah sebuah wilayah terpencil yang bersempadan dengan Lautan Artik. Permafros di kawasan ini merupakan lokasi yang menyimpan fosil-fosil haiwan prasejarah.
Fakta mengenai Mamut
Mammoth atau Mamut merupakan spesies haiwan gergasi purba yang mempunyai gading panjang dan bengkok seakan menyerupai gajah, namun mempunyai bulu yang panjang.
Haiwan ini dikatakan hidup pada zaman Piliocene hingga zaman Holocene kira-kira lima juta tahun lalu hingga 4,500 tahun lalu.