Siakap Keli
20 tahun tsunami aceh
Kredit: Handout/ ANTARA NEWS AGENCY/ AFP

Mengenang 20 Tahun Tsunami Aceh

Mengenang 20 Tahun Tsunami Aceh

20 tahun telah berlalu, luka tragedi Tsunami terbesar yang melanda Aceh dan beberapa lagi negara lain pada 2004 masih lagi membekas. Manakan tidak, tragedi itu mengorbankan lebih 200,000 orang bukan sahaja di Indonesia malah di Thailand, India, Maldives dan Sri Lanka.

Tsunami tersebut tercetus susulan gempa berukuran 9.3 skala Richter di bawah dasar laut ke barat pulau Sumatera.

Ia juga telah membawa ombak tsunami ke Pulau Pinang sehingga menyebabkan puluhan mangsa yang sedang mandi-manda dan berkelah di pantai termasuk di Batu Ferringhi, Balik Pulau dan juga Kuala Muda terkorban.

Mengenang Tsunami Aceh 2004

Menelusuri kembali tragedi pilu itu, kehidupan masyarakat Aceh pada 26 Disember 2004 dihiasi dengan aktiviti harian seperti bersenam, bercuti dan berkumpul bersama keluarga. Namun, tiada siapa menduga bahawa pagi itu, tepat jam 7.59 pagi, gempa bumi tiba-tiba menggegarkan Aceh.

Dengan kekuatan gempa yang amat dahsyat, bangunan-bangunan bergoncang dengan sangat kuat dan orang ramai mula bertempiaran lari mencari tempat berlindung.

Bangunan juga sudah mula runtuh, jalan raya terbelah dan pokok serta tiang elektrik tumbang dalam sekelip mata.

Kredit: Okezone

Gegaran berakhir selepas beberapa minit dan tentunya memberikan kelegaan kepada orang ramai. Namun, kejadian itu belum betul-betul berakhir, ia sebenarnya adalah permulaan kepada bencana yang lebih besar.

Air laut surut secara drastik dan selepas itu muncul ombak besar setinggi pokok kelapa datang menerjah. Dengan kelajuan ombak yang menenggelamkan kawasan tersebut dengan pantas, penduduk tidak sempat untuk menyelamatkan diri.

Selepas gelombang tersebut berakhir, Aceh bertukar menjadi padang kerana bangunan, rumah dan kenderaan sudah diratakan oleh ombak tsunami setinggi 30 meter tersebut.

BACA: Hilang Setelah Tragedi Tsunami Aceh 2004, Polis Ini Dilapor Ditemui Semula Di Rumah Sakit Jiwa Setelah 17 Tahun

Apabila bencana itu berakhir, mata dunia tertumpu kepada Aceh dan India. Seluruh dunia mengucapkan takziah dan sebanyak 56 negara telah menghantar bantuan.

Di Aceh sendiri, tsunami tersebut telah meragut lebih 130,000 nyawa dan 500,000 penduduk telah kehilangan tempat tinggal. Ia menjadi bencana terbesar di abad ke-21.

Pasca Tsunami

Pemulihan Aceh pasca tsunami pula bukanlah satu perjalanan yang mudah. Bangunan dan infrastruktur yang musnah perlu dibina semula dari awal. Rumah-rumah yang ranap menyembah bumi terpaksa diganti dan ia mengambil masa bertahun-tahun untuk kembali seperti biasa.

Kredit: YASUYOSHI CHIBA/AFP

Bagaimanapun, peristiwa kelam itu telah mencetuskan kesedaran mengenai bencana dalam kalangan masyarakat dan juga kerajaan. Mereka sedar bahawa Indonesia adalah negara yang terdedah kepada bencana, justeru, langkah mitigasi juga dikaji. Kerajaan negara itu juga telah mewujudkan Undang-Undang Bencana pada 2005 dan Badan Pengurusan Bencana Negara (BNPB) pada 2008.

Peninggalan dari bencana ini juga masih boleh ditemui di sekitar Banda Aceh seperti kapal di atas rumah Lampulo, kapal PLTD terapung, Masjid Rahmatullah Lampuuk, objek tsunami di Muzium Tsunami dan banyak lagi.

Walaupun ia bencana yang penuh dengan kesedihan, ia tetap dikenang oleh seluruh masyarakat di dunia pada setiap tahun. Pada tahun ke-20 ini, pelbagai cara dilakukan bagi memperingati kejadian dahsyat itu.

Kredit: CHAIDEER MAHYUDDIN/AFP

Di Aceh, pihak berkuasa mengajak seluruh masyarakat untuk berdoa dan berzikir dalam satu majlis. Selain itu, siren tsunami akan diaktifkan selama tiga minit di seluruh Aceh sebagai tanda mengenang tragedi itu.

Sumber: CNBC Indonesia, Diskominfo dan Sandi Aceh

Sofea

Iqra'.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.