Siakap Keli
simpan sspn cukai
Sumber : BERNAMA

Rebut Peluang Sebelum 31 Disember 2024 :  Simpan SSPN Beri Pelepasan Taksiran Cukai Pendapatan

Rebut Peluang Sebelum 31 Disember 2024 :  Simpan SSPN Beri Pelepasan Taksiran Cukai Pendapatan

1. Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) telah memperkenalkan Simpan SSPN pada tahun 2004 untuk menggalakkan ibu bapa membuat perancangan kewangan awal bagi tujuan pendidikan tinggi anak-anak. Simpan SSPN menawarkan pelbagai keistimewaan dan manfaat kepada pendeposit seperti pelepasan taksiran cukai  sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful ke atas pendeposit, Geran Sepadan  sehingga RM10,000 untuk satu keluarga yang layak, kadar dividen yang kompetitif, simpanan yang dijamin kerajaan dan patuh syariah.

2. Simpan SSPN merupakan satu-satunya produk simpanan yang menawarkan manfaat pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan bersih tahun semasa  sehingga RM8,000 setahun. Ibu bapa sebagai pendeposit Simpan SSPN layak mendapat  pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan bersih sehingga RM8,000 setahun  setiap seorang sekiranya membuat taksiran cukai secara berasingan. Manakala, ibu bapa  sebagai pendeposit yang membuat taksiran cukai bersama layak mendapat pelepasan  taksiran cukai sehingga RM8,000 setahun untuk satu pasangan.

3. Pengerusi PTPTN, YBhg. Dato’ Seri Norliza Abdul Rahim berkata, “PTPTN sentiasa  komited melaksanakan pelbagai insentif bagi memastikan ibu bapa mempunyai  perancangan kewangan untuk masa depan anak-anak mereka. Dengan memperkenalkan  Simpan SSPN, kita telah membuka ruang serta peluang kepada ibu bapa untuk memulakan penabungan khususnya bagi tujuan pendidikan dan memupuk amalan menabung dari awal  usia anak-anak.”

4. “Justeru itu, saya menyeru kepada masyarakat Malaysia untuk segera membuat  simpanan dalam Simpan SSPN sebelum 31 Disember 2024 agar berpeluang menikmati  insentif pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun bagi tahun  taksiran 2024. Ia merupakan insentif istimewa kepada pendeposit Simpan SSPN yang  memberikan kelebihan berbeza berbanding produk simpanan lain di pasaran selain  menikmati pelbagai manfaat lain yang ditawarkan. Saya juga berterima kasih kepada  Kerajaan kerana telah melanjutkan insentif pelepasan taksiran cukai ini kepada  pendeposit Simpan SSPN sehingga tahun taksiran 2027,” tambah beliau. 

5. Pelbagai usaha dan strategi juga telah dilaksanakan oleh PTPTN bagi  membudayakan amalan penabungan. Sebagai tanda penghargaan dan menggalakkan  penabungan kepada masyarakat Malaysia, PTPTN mengadakan Kempen Cabutan  WOW! Simpan SSPN 2024 yang menawarkan hadiah wang tunai yang lumayan dengan  jumlah keseluruhan bernilai lebih RM1.3 juta menanti 983 orang pemenang. Tempoh  promosi bermula pada 1 Januari 2024 dan akan berakhir pada 31 Disember 2024. 

6. Sehingga 30 November 2024, deposit Simpan SSPN yang diterima adalah berjumlah RM19.44 bilion dengan 6.69 juta akaun direkodkan. Ini menunjukkan Simpan  SSPN menjadi pilihan utama masyarakat Malaysia untuk membuat penabungan bagi  tujuan pendidikan tinggi. 

7. Pembukaan akaun atau penambahan simpanan boleh dibuat melalui aplikasi  myPTPTN bagi urusan yang lebih mudah, cepat dan selamat. Pendeposit juga boleh  melayari portal rasmi PTPTN di www.ptptn.gov.my untuk mengetahui maklumat lanjut  mengenai keistimewaan dan manfaat produk Simpan SSPN. 

Nurul Naqiyah

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.